DAHULU, dia seperti budak gelandangan lain di Indonesia yang lebih banyak menghabiskan masa di pinggir jalan raya. Bukan melepak ataupun untuk bersuka ria, Putra Aziz Abdul Aziz sebenarnya gigih mencari rezeki dengan menjual surat khabar di sebalik debu dan asap kenderaan yang bertebaran.
Dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, Putra, 34, kehilangan ayah tercinta ketika berusia lapan tahun lagi.
Sejak itu, dia terpaksa berhujan dan berpanas untuk membantu keluarganya. Apa jua kerja yang ditawarkan jarang ditolaknya.
"Walaupun saya anak ketujuh daripada lapan adik-beradik, istilah duduk goyang kaki di rumah tidak pernah ada. Malahan, kami adik-beradik terpaksa bekerja sendiri untuk mendapat duit belanja," kata Putra yang berasal dari Aceh, Indonesia.
Pada usia mentah itu, Putra mengakui dirinya tidak ubah seperti kanak-kanak jalanan yang sering berkeliaran di kota-kota besar Indonesia.
Putra akan keluar rumah bersama rakan-rakan sekampung untuk menjual surat khabar di setiap lampu isyarat persimpangan.
"Saya juga sibuk membersihkan kebun dan menghantar kuih yang dibuat oleh emak ke kantin sekolah.
"Pada musim perayaan pula, saya akan ambil upah cat rumah dan membersihkan halaman," jelasnya yang mempunyai karakter yang cukup disenangi.
Berhijrah
Cerita Putra, meskipun kehidupannya dibayangi kemiskinan, dia sangat berterima kasih kepada ibunya yang memberikannya pelajaran yang sempurna.
Ibunya, Siti Zaharah Abdullah, 72, mahu semua anaknya membesar dengan ilmu pengetahuan kerana katanya, hanya ilmu yang dapat mengubah kehidupan seseorang.
"Itulah jasa terbesar ibu kepada anak-anaknya. Masih segar di ingatan peristiwa saya tidak boleh menduduki peperiksaan.
"Di Indonesia, pelajar yang tidak membayar yuran tidak dibenarkan mengambil peperiksaan.
"Perkara sebegitu bukan sangat asing bagi saya," kenang Putra dalam nada sedih.
Setelah puas bekerja di kampung, Putra memberanikan diri melangkahkan kaki keluar dari kampung halamannya.
|
|
Menjangkau usia 20 tahun, dia dibenarkan ibunya untuk mencuba nasib mencari rezeki di kota raya Jakarta.
Dia tekad untuk mendapatkan pekerjaan yang mampu menjamin masa depan. Mungkin disebabkan keikhlasannya, Putra diterima bekerja di sebuah kilang tekstil.
"Selain itu, saya juga melakukan kerja sampingan dengan bekerja di pusat kecantikan, syarikat pemasaran dan pengurusan acara.
"Di situlah saya mula terdedah dengan kehidupan berkaitan dunia fesyen," katanya yang mengakui tidak gemar bersosial di tempat hiburan.
Sambil menghirup kopi panas, Putra memberitahu, bagi mengecap kejayaan sehingga ke tahap membanggakan, seseorang mesti berani mencuba perkara baru.
Berpegang dengan prinsip itu, dia sekali lagi melangkah jauh. Kali ini meninggalkan negara asalnnya dan berhijrah ke Malaysia untuk membuktikan keupayaannya dalam bidang fesyen.
Sejak itu, dengan ilmu fesyen di dada, Putra bukan lagi anak remaja yang pernah meraih rezeki dengan bergelandangan di jalan raya.
Hari ini dia ialah pereka fesyen label Cosry.
"Saya datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2004 atas jemputan saudara saya, Ariff Quasri Md. Nor. Beliau melihat hasil rekaan busana saya dan mengakui ia mempunyai potensi untuk menambat hati wanita Malaysia.
"Berbekalkan modal RM2,000 dan meniti pelbagai rintangan, akhirnya kami berjaya membina jenama Cosry seperti yang anda kenali hari ini," kongsinya penuh semangat.
Rekaan golongan atasan
Kini, bukan calang-calang insan yang menyarungkan busana hasil sentuhan jenama Cosry. Rata-rata pelanggan Cosry merupakan golongan kenamaan dan selebriti.
Sejujurnya, Putra menyatakan busana pengantin paling rendah di Cosry bernilai RM8,000. Bukannya sesuka hati meletakkan harga tinggi, nilai busana Cosry sukar ditandingi.
Susunan berselerak patung model di dalam premis butiknya itu dipakaikan busana yang sarat dengan gemerlapan manik dan mempunyai identiti rekaan tersendiri.
"Rahsia saya dalam setiap rekaan ialah mengutamakan penggunaan manik dan batu permata. Fabrik les kosong tanpa sebarang manik akan menjadi pilihan.
"Saya meletakkan sendiri manik satu persatu di atas sehelai busana. Itu merupakan simbol rekaan Cosry yang lain daripada lain," ungkapnya yang turut mendapat tempahan dari Dubai, New Zealand dan Switzerland.
Terangnya, kesesuaian mainan warna manik turut penting untuk menghasilkan sepasang busana yang menyerlah. Idea itu, kata Putra, juga banyak disumbangkan oleh teman-temannya di Jakarta.
|
|
Tidak lupa diri
Seperti bermimpi, Putra tidak menyangka kehidupannya kini penuh warna-warni, yang bermula dengan zaman kesusahan dan kemelaratan sehingga dilimpahi kemewahan dan pengiktirafan.
Ucapan syukur sentiasa meniti bibir jejaka itu. Hasratnya kali ini ialah untuk mengerjakan lagi ibadah umrah bersama ibunya.
Ditanya adakah ibunya pernah datang ke Kuala Lumpur dan menyaksikan sendiri kejayaan yang telah dirangkulnya, katanya: "Sebaik sahaja ibu melihat sendiri kesenangan saya, dia terus memeluk dan menangis. Tidak mahu berselindung, sehingga kini ibu saya masih menitiskan air mata."
|
|
Terbaru, Putra telah mengumumkan rekaan termahal iaitu kebaya eksklusif kerana perinciannya bertatahkan ratusan permata dan berlian jenama Mouawad yang cukup terkenal di dunia.
Pengiktirafan diberikan kepada penghibur ternama negara, Datuk Sheila Majid untuk digayakan ketika membuat persembahan sempena Malam Gala Ratu: Penghargaan Untuk Wanita Malaysia, April lalu.
"Sheila Majid dipilih kerana saya cukup mengagumi bakatnya, lagipun dia sangat terkenal di Indonesia.
"Saya mengambil masa selama hampir dua bulan untuk memasang permata itu manakala pergerakan saya dipantau oleh pihak polis," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: