Monday, July 19, 2010

Isu yang belum selesai




MALAYSIA sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dalam isu pelarian. Mungkin masih ramai yang teringat isu pelarian Vietnam yang mendarat di negara ini mencari perlindungan daripada pemerintahan Komunis sebaik Perang Vietnam pada April 1975 tamat.

Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam berlindung di khemah pelarian di sebuah pulau kecil di Terengganu, Pulau Bidong sebelum kebanyakan mereka diterima di negara ketiga termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Perancis, New Zealand, Sweden, Finland, Denmark dan Norway.

Kira-kira 9,000 pelarian Vietnam kembali ke Vietnam dengan bantuan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian (UNHCR).

Selepas khemah Pulau Bidong ditutup pada Oktober 1991, Malaysia masih menjadi tumpuan dan tempat perlindungan untuk pelarian dari beberapa negara lain sehingga ke hari ini.

"Pelarian ialah masalah sejagat. Berdasarkan statistik, hampir setiap negara terjejas dengan pelarian dan Malaysia tidak terkecuali.

"Negara terbesar yang menghasilkan pelarian yang memberi kesan kepada Malaysia pada masa ini ialah Myanmar dan fenomena ini berlarutan lebih sepuluh hingga 15 tahun," kata Alan Vernon, 56, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia ketika diwawancara di pejabatnya di Bukit Petaling baru-baru ini.

UNHCR memulakan operasi di Malaysia pada tahun 1975 pada peringkat awal untuk menangani masalah pelarian Vietnam. Ia juga membantu kerajaan Malaysia menerima dan menempatkan semula lebih 50,000 orang Islam Filipina dari Mindanao ke Sabah pada tahun 1970-an dan 1980-an.

UNHCR juga membantu kerajaan dalam menempatkan semula beberapa ribu orang Islam Cham dari Kampuchea pada tahun 1980-an dan beberapa ratus pelarian Bosnia pada 1990-an.

Menurut Vernon, terdapat kira-kira 50 juta pelarian di seluruh dunia. Di Malaysia, terdapat sekitar 88,100 pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik berdaftar dengan pejabat UNHCR sehingga penghujung Mei 2010. Mereka diberi kad UNHCR sebagai tanda pengenalan diri.

Daripada jumlah itu, 81,600 ialah dari Myanmar. Mereka terdiri daripada 38,900 suku kaum Chin, 18,900 Rohingya, 6,400 orang Muslim Myanmar, 3,800 Mon, 3,600 Kachin dan selebihnya minoriti etnik lain dari Myanmar.

"Lebih ramai pergi ke Thailand dan negara itu berkemungkinan mempunyai empat hingga lima juta pelarian dari Myanmar memandangkan kedua-dua negara berkongsi sempadan.

"Untuk datang ke Malaysia, mereka perlu mengharungi pelbagai pahit getir. Mereka juga datang ke negara ini kerana mereka tahu mereka boleh hidup di sini jika tidak, sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian.

"Jadi saya fikir Malaysia adalah mangsa kepada kejayaannya. Jika ekonomi negara ini teruk, mungkin rakyat negara ini juga akan menjadi pelarian," kata Vernon.

Seramai 6,600 pelarian dan mereka yang mencari suaka politik lain ialah dari negara seperti Sri Lanka (3,500 pelarian), Somalia (930), Iraq (580) Afghanistan (530) dan Palestin (200).

Komuniti pelarian

Dari segi jantina, 70 peratus pelarian dan mereka yang mencari suaka politik adalah lelaki sementara 30 peratus wanita.

Terdapat juga pelarian dan pencari suaka politik yang tidak berdaftar dan jumlah mereka dianggarkan sekitar 10,000 orang.

Untuk rekod, pelarian ialah mereka yang diiktiraf sebagai pelarian sementara pencari suaka politik ialah mereka yang datang ke pejabat UNHCR untuk menuntut taraf pelarian.

Pencari suaka politik akan ditemu bual dan kes mereka dikaji berdasarkan maklumat UNHCR mengenai negara mereka sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada mereka boleh diiktiraf sebagai pelarian.

Satu perkara yang elok tentang pelarian di Malaysia ialah mereka tidak tinggal di dalam khemah. Komuniti pelarian tinggal di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara, dan sering kali bilangan yang besar terpaksa berkongsi tinggal di dalam ruang yang sempit.

"Kadangkala orang berfikir khemah adalah penyelesaian yang baik untuk pelarian tetapi pada dasarnya tinggal di khemah pelarian akan menambahkan lebih banyak penderitaan.

"Lagi pun banyak isu jika diletakkan mereka di khemah, ramai yang bergantung kepada bantuan, kebajikan dan penjagaan.

"Seringkali juga apabila khemah pelarian diwujudkan, ia akan berpanjangan berbanding situasi lain kerana khemah mempunyai kehidupan yang tersendiri," jelas Vernon yang menyandang jawatan wakil UNHCR di Malaysia sejak November 2008.

Pembabitan Vernon dalam isu pelarian sebenarnya bermula sejak tahun 1978 ketika beliau mengajar di AS.


GAMBAR yang diambil lebih dua dekad lalu ini menunjukkan aktiviti gotong-royong di kem pelarian Pulau Bidong, Terengganu.


Beliau menyertai UNHCR pada tahun 1987 dan menyandang jawatan Pegawai Penempatan Semula Bersekutu di pejabat lapangan UNHCR, Kuala Terengganu dari tahun 1987 hingga 1991.

Sepanjang kariernya bersama UNHCR, beliau juga pernah ditempatkan di Sri Lanka dan Geneva.

Menurut Vernon, kerajaan Malaysia mengambil langkah positif dengan tidak menyekat pergerakan pelarian yang bererti mereka boleh berusaha untuk mencari nafkah bagi menyara keperluan kehidupan mereka.

Pelarian dan pendatang

Vernon mahu rakyat Malaysia memahami bahawa pelarian bukan pendatang dan terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya.

Pelarian jelas beliau, tidak memilih untuk meninggalkan tanah air mereka tetapi sebaliknya dipaksa berbuat demikian.

Menurut definisi UNHCR, pelarian ialah orang yang mempunyai ketakutan yang berasas akan ditindas atas sebab pendapat politik, etnik, agama atau keahlian dalam sesebuah kumpulan tertentu.

"Malaysia amat bertuah kerana tidak mempunyai situasi yang sedemikian. Malaysia belum menghasilkan pelarian. Pihak kami amat gembira dengan keadaan ini tetapi berharap rakyat negara ini mempunyai toleransi terhadap hakikat bahawa pelarian tidak membuat pilihan untuk datang ke negara ini.

"Mereka dipaksa meninggalkan kampung halaman dan tidak boleh kembali sehingga keadaan di negara mereka pulih dan mereka tidak lagi berdepan dengan risiko dipenjara atau kemungkinan dibunuh,"katanya.

Sebaliknya, pendatang membuat pilihan meninggalkan negara mereka untuk peluang ekonomi atau pendidikan yang lebih baik.

Sesetengah pihak menganggarkan terdapat tiga hingga empat juta pendatang di Malaysia dengan 50 peratusnya berada di negara ini secara sah.

Memandangkan masalah pelarian mungkin tidak selesai dalam masa terdekat, cabaran umum ialah mencari jalan bagi memenuhi keperluan pelarian dan melindungi kepentingan tuan rumah secara keseluruhan.

Sebagai rekod, Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian.

"Memang penting untuk menandatangani Konvensyen Pelarian tetapi jika sesebuah kerajaan itu tidak bersedia untuk berbuat demikian kita masih boleh mengadakan dasar dan

"Perkara ini belum ada lagi buat masa ini dan ia adalah kesulitan besar bagi kami kerana tanpa dasar dan prosedur, semua perlu dibuat berdasarkan budi bicara. Ia juga tidak memberi panduan kepada semua peringkat kerajaan.

"Perlu ada rangka kerja perundangan. Ini penting untuk memastikan pelarian dilindungi dan selamat sehingga sampai masanya mereka boleh pulang ke negara mereka. Sesetengah daripada mereka boleh ditempatkan semula di negara lain tetapi ia bukan penyelesaian untuk setiap pelarian," tambahnya.

prosedur dalam menangani isu pelarian.


SEBAHAGIAN daripada anak-anak pelarian yang menghadiri sekolah atas daya usaha Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa untuk Pelarian (UNHCR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Kuala Lumpur.


Vernon memberitahu, jumlah tempat penempatan semula adalah kurang daripada bilangan pelarian yang ada di Malaysia. Pihaknya mengemukakan lebih daripada 10,000 pelarian untuk penempatan semula tahun lalu, tetapi mengulangi bahawa ia bukan penyelesaian untuk semua orang.

Penyelesaian terbaik untuk pelarian ialah pulang ke negara asal.

Vernon melahirkan rasa optimisnya bahawa kejayaan yang dicapai dengan orang bot Vietnam dan pelarian Acheh dapat diraih.

"Ketika bot-bot Vietnam mula mendarat di Malaysia pada tahun 1975 dan meningkat empat tahun kemudian, isu pelarian seolah-olah akan berterusan selama-lamanya. Namun pada tahun 1991 ia selesai. Satu lagi contoh ialah pelarian Acheh dan selepas tsunami mereka semua pulang ke negara mereka," katanya.

Menurut beliau, Myanmar ialah sebuah negara yang berkemungkinan mengeluarkan pelarian untuk beberapa ketika mendatang.

"Tahun ini ada proses pilihan raya dan masih banyak masalah di negara itu tetapi kami amat berharap keadaan akan menjadi lebih baik," tambahnya.

Realitinya, Malaysia perlu berfikir cara untuk menangani keadaan di Myanmar kerana Malaysia ialah sebahagian daripada ASEAN dan perlu mengambil kira perkara itu dalam dasar luarnya.

"Satu daripada cabaran untuk Malaysia dalam aspirasinya untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 ialah ia perlu mendukung tanggungjawab global dan satu daripadanya ialah membantu pelarian.

"Cara untuk melakukannya ialah secara rakan kongsi. UNHCR ada di sini. NGO dan komuniti antarabangsa yang lain boleh juga membantu dan saya rasa banyak ruang untuk menguruskan isu ini dengan cara yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: