|
|
Kaum wanita juga banyak membangunkan masjid, khaniqah, ribat dan sekolah di Andalusia, Iraq, Hijjaz, Syam (Syria) dan Palestin, semuanya dibangunkan dengan menggunakan nama-nama mereka". Demikian menurut Muhammad Al Ghazali dalam bukunya Warisan Pemikiran Islam, Menurut Syarak dan Akal (muka surat 218 Cresent News, 2009)
Apabila disebut perkataan khaniqah dan ribat, ia menarik perhatian untuk kita mengetahui lebih lanjut apakah kisah di sebaliknya. Kedua-dua perkataan yang mewakili sebuah institusi penting yang agak asing bagi kita.
Sukar bagi mendapatkan maksud dan istilah sebenar khaniqah dan ribat dalam bahasa Melayu. Namun apabila kita menyelusuri lembaran-lembaran sejarah dalam sumber-sumber mengenai khaniqah dan ribat, ternyata kedua-duanya adalah nama besar dalam sejarah khazanah silam Islam.
Khaniqah atau khanqah (atau disebut juga khaneqa atau dalam bahasa Parsi disebut khanegah atau khaneghah) dan ribat (malah disebut juga di sesetengah tempat lain sebagai Zawiya dan Tekke) adalah umpama penginapan asrama khas untuk ahli sufi atau tarekat.
Malah khaniqah atau ribat ini mempunyai fungsi utama menjadi pusat pemulihan rohani dan karakter kepada mereka yang bermasalah.
Pada zaman dahulu juga malah sehingga kini, khaniqah menawarkan tempat tinggal seperti itu untuk ahli-ahli sufi (salik) yang sering mengembara dan para pelajar (at-tullab) yang mengikuti pengajian agama di merata-rata tempat dalam jarak yang jauh.
Lazimnya khaniqah adalah bangunan yang dibina bersebelahan dargah (tempat untuk bersuluk), masjid-masjid, madrasah yang lazimnya boleh ditemui di negara-negara Islam di bawah pengaruh Parsi terutamanya Iran dan Asia Tengah.
Hanya di bahagian dunia Arab sahaja terutamanya di utara benua Afrika, institusi seperti itu dikenali sebagai zawiya atau zaouia. Di Turki dan negara-negara bekas empayar Uthmaniah seperti Albania dan Bosnia, dikenali sebagai tekke atau tekye.
Malah dikatakan terdapat juga di bahagian Asia Tenggara terutamanya Indonesia yang lebih dikenali sebagai khanqah dan dargah.
Begitupun tidak dapat dipastikan bila wujudnya golongan sufi yang mendiami khaniqah atau ribat ini.
Namun dalam tulisannya, Jonathan Berkey berkata: "Salah satu ciri atau karakter penting mengenai sufisme di abad pertengahan adalah apabila bercambahnya sebuah institusi yang dikenali sebagai khanqah atau ribat. Iaitu sebuah kompleks bangunan yang mengandungi rumah-rumah kediaman dan dihidupkan dengan pelbagai aktiviti yang mistik. Kemunculan awal golongan ini tidak dapat dipastikan tarikhnya tetapi dikatakan telah mula berakar sejak awal abad ke 9 dan 10 lagi." (Berkey 2003, muka surat 157)
Bagaimanapun, jika dirujuk kepada Ensiklopedia Brittanica, khaniqah atau ribat dimaksudkan sebagai bangunan penting yang mesti dibina oleh hampir setiap negara Islam seawal dari abad ke-8. Ia bertujuan sebagai kubu pertahanan daripada pihak luar yang cuba menyerang dari arah pedalaman dan sempadan negara.
Untuk tujuan itu, ribat yang paling masyhur diperkatakan dan sering dikunjungi para pelancong ialah Ribat Sousse dan Ribat Al Monastir di bandar Tunisia, Afrika Utara yang dibina sejak seawal abad kesembilan lagi.
Kedua-duanya adalah kompleks kubu pertahanan yang sangat menakjubkan kerana mempunyai nilai-nilai seni bina yang sangat tinggi dan kukuh sehingga ke hari ini.
Ribat Sousse misalnya tidak sahaja berperanan sebagai kubu tetapi dwi fungsi sebagai rumah api untuk memberi isyarat komunikasi yang boleh diterima hingga ke Mesir.
Akan tetapi tumpuan khaniqah atau ribat itu lebih menarik juga dilihat melalui catatan yang ditulis oleh tokoh ilmuwan Islam terkenal, Al Ghazali.
Menurutnya, khaniqah atau ribat mengikut kajiannya adalah premis atau institusi yang dibina khas untuk kaum wanita oleh wanita. Maksudnya, tokoh-tokoh wanita sesebuah kawasan berperanan membina khaniqah melalui harta miliknya yang diwakafkan atas kesedaran dan tanggungjawab membela kaum sejenisnya.
Hal itu jelas pada tulisan dalam sebuah khaniqah yang didirikan di Damascus (Damsyik) sekitar tahun 650 H/1252M iaitu: "Khaniqah ini diwakafkan oleh Fatimah binti Al Malik al Adil Muhammad bin Al Adil bin abi Bakr bin Ayyub kepada para wanita fakir yang menghuninya, juga untuk tempat menunaikan solat lima waktu dan untuk bermalam di dalamnya."
Maka dia adalah tokoh yang memikirkan nasib kaum sejenisnya lalu mendirikan Khaniqah yang khusus untuk menampung dan mendidik kaum wanita terutama yang kurang bernasib baik seperti yang baru diceraikan, janda, balu, mangsa kemiskinan dan penderaan untuk mereka selamat dan mendapat perlindungan.
Sementara di sebuah pusat pelancongan terkenal di Mesir, dikenali sebagai Al Qrafah al Kubra turut mempunyai kisah tersendiri mengenai khaniqah atau ribat.
Walaupun kawasan itu mempunyai penduduk yang sangat padat namun istimewanya ia mempunyai banyak masjid, kawasan rehat dan taman rekreasi sehingga menjadi tumpuan pelancong terutama pada malam-malam yang disinari cahaya bulan terang.
Namun yang uniknya, Al Qarafah Al Kubra itu banyak didirikan ribat. Antara yang terkenal adalah Ribat Al Khawas dan Ribat Al Asyraf yang dibina khusus untuk para wanita daripada kalangan keluarga keturunan Nabi Muhammad (Al Asyraf).
Sementara banyak ribat lain dibina oleh tokoh-tokoh wanita sebagai tempat tinggal para wanita miskin dan janda.
Menurut Al Ghazali, khaniqah atau ribat turut berperanan memastikan para penghuninya mengikuti pengajian ilmu-ilmu yang seharusnya dikuasai oleh kaum wanita.
Maka menjadi tanggungjawab para pemilik premis menyediakan guru bagi memastikan para penghuninya dapat menghabiskan masa dengan pelbagai perkara yang berfaedah.
Namun hayat atau perjalanan premis-premis yang sebaik itu tidak lama. Fungsinya semakin berkurang dan sehinggalah di zaman Turki Uthmaniah, tiada lagi khaniqah dan ribat daripada harta yang diwakafkan.
Ini menyebabkan, kata Al Ghazali kebanyakan bangunannya tidak lagi mendapat perhatian mana-mana pihak. Ada yang dibiarkan rosak teruk dan tidak kurang hanya menjadi tinggalan atau khazanah silam untuk tatapan generasi akan datang.
Walau apa pun fungsinya, sama ada sebagai pusat perlindungan wanita, asrama ahli-ahli sufi bersuluk sehinggalah menjadi kubu-kubu pertahanan, institusi khaniqah atau ribat ini telah menjadi sebahagian puncak kegemilangan tamadun Islam.
Hari ini ia hanya meninggalkan puing-puing runtuhan dan bekas sedangkan masih ada manfaatnya yang sangat berguna kepada umat Islam zaman sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: