Friday, July 2, 2010

Bakal akhiri zaman solo?




SEHARUSNYA, dia teruja meraih kesempatan muncul buat kali pertama di layar perak. Menerusi filem terbitan syarikat penerbitan Galaksi Seni Sdn. Bhd. (GSSB), Momok - Jangan Panggil Aku, satu watak diperuntukkan kepada Farah Asyikin Zulkifli. Tiada lain, ia bagi mempersembah sisi tersembunyinya selepas berstatus penyanyi, komposer dan penulis lirik.

Bahkan, artis berusia 31 tahun itu dijadualkan untuk bergandingan dengan ratu dangdut goyang gerudi Indonesia, Inul Daratista untuk beberapa babak dalam filem tersebut. Peluang itu tidak dinafikan, cukup besar. Sesiapa sahaja terutama pendatang baru tidak mampu menolaknya. Ia umpama rezeki datang bergolek di depan mata.

Malang sekali, penyanyi popular dengan lagu Seribu Penipuan itu terpaksa menolak tawaran daripada pengarah Momok - Jangan Panggil Aku iaitu M. Jamil sehari selepas memberi kata persetujuan. Mengaku agak kecewa tidak dapat terbabit dalam karya genre seram itu, Farah bagaimanapun harus merelakan keputusannya setelah berbincang dengan ahli keluarga.

Selain terdengar alasan Farah terikat dengan komitmen sebagai pemain di gelanggang seni, ada juga gosip bertebaran kononnya dia sedang sibuk melakukan persediaan majlis pernikahannya bakal berlangsung tidak lama lagi.

Waktu penggambaran dijangka bermula 19 Julai dan berakhir 5 Ogos ini, dikatakan menjadi penyebab utama Farah menolak peluang keemasan itu.

Dan sekitar tempoh itu juga, Farah dilaporkan bakal menamatkan zaman 'solo' selepas bekas suaminya, Dr. Fariz Yahya, 32, menjatuhkan talak pada 26 Mei 2008.

Khabarnya, individu menjadi pilihan Farah, tidak lain tidak bukan adalah duda berusia 36 tahun berasal dari Singapura seperti dihebah oleh media tempatan sekitar Oktober lalu.

Ketika pertanyaan sama dihadapkan kepada Farah, dia hanya tergelak kecil. Yang pasti, sepanjang perbualan hampir satu jam menerusi corong telefon pada Isnin lalu, suara Farah kedengaran cukup tenang. Tiada istilah dia cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

"Lebih baik jika saya tidak komen tentang hal (pernikahan) ini. Sebelum ini, ada juga wartawan bertanyakan kepada saya tentang gosip mendirikan rumah tangga selepas bercerai dua tahun lalu. Tetapi, saya ambil pendekatan malas hendak ulas lebih lanjut.

"Biarlah orang tahu tentang kualiti kerja saya dalam industri berbanding cerita personal. Lagipun saya bukan popular seperti artis lain sampai perlu berkongsi cerita peribadi termasuk soal perkahwinan. Terus-terang, saya sudah ambil iktibar selepas menjalani pengalaman perkahwinan terdahulu.

"Jangan bimbang, kalau sampai masa mendirikan semula rumah tangga, saya pasti akan beritahu berita baik ini kepada peminat. Tidak mahu cakap lebih, hal kahwin sifatnya tergantung. Kalau ada jodoh dalam waktu terdekat ini, saya terima seadanya," jelas Farah yang mengaku belum serik berdampingan dengan predikat perkahwinan dalam hidupnya.

Dia tahu, ada sesetengah pihak bakal mempertikai alasan kurang munasabah, dia mengenepikan tawaran beradu sebagai pelakon filem. Enggan mempeduli persepsi nakal dilempar kepada diri, kudrat Farah buat masa ini - hanya mampu membenarkan orang lain terus membuat konklusi sendiri.


SENANG dan selesa dengan penampilan terbarunya ini.


"Saya terima peluang berlakon dalam Momok - Jangan Panggil Aku dengan hati gembira kira-kira dua minggu lalu. Tetapi, saya tidak beri pengesahan penuh. Selepas tengok balik jadual penggambaran, saya tidak yakin dapat beri sepenuh komitmen ditambah kena buat persediaan banyak benda termasuk album penuh.

"Ironinya, gambar saya sudah dicetak pada poster Momok - Jangan Panggil Aku dalam waktu singkat. Begitupun, saya sudah memohon maaf kepada M. Jamil dan seluruh tenaga produksi kerana menghampakan impian mereka untuk lihat saya melibatkan diri dalam projek ini," jelas Farah yang sepatutnya memegang karakter sebagai anak bunian di samping Inul sebagai pembawa watak ibu bunian.

Menjadi diri sendiri

Berbicara tentang penampilan baru, Farah segera mengisyarat bahawa tiada perubahan total pada dirinya. Yang jelas, permukaan luaran berubah dengan imej wanita berbaju kurung serta solekan lebih nipis. Namun, dalamannya, dia masih Farah Asyikin sama masyarakat kenali sejak beberapa tahun lalu.

"Semua yang peminat tahu tentang saya, ia masih sama. Cuma, mungkin pergerakan saya ketika buat persembahan di atas pentas sedikit terbatas berbanding sebelum ini. Kalau dulu boleh melompat atau bergerak ke sana ke mari, kini saya tidak boleh berlebih-lebihan.

"Penerimaan orang ramai amat positif tentang perubahan diri ini. Malah, ada golongan wanita berusia bagi kata perangsang kepada saya semasa buat pertunjukan di Bentong, Pahang baru-baru ini. Mungkin bagi sesetengah orang tidak mengenali saya, mereka agak terkejut melihatkan kelainan ini. Tetapi, bagi yang rapat, mereka tahu saya terbiasa menyarung baju kurung.

"Lantaran itu, keluarga juga tidak pernah halang saya melakukan penghijrahan bermula awal tahun ini. Sejujurnya, saya berada dalam bidang ini sebab mahu melampias bakat seni yang dimiliki. Saya bukan hendak jadi selebriti yang perlu berpakaian cantik dan kena sentiasa nampak menyerlah.

"Sebelum ini, saya akui, sering ikut telunjuk atau ingin menggembirakan hati orang lain. Lama-kelamaan, saya fikir semula, sampai bila kena jadi macam ini sedangkan jiwa saya entah siapa peduli. Sekarang, saya lebih suka ikut kata hati sendiri melakukan apa jua perkara," terang Farah yang memiliki lebih 100 baju kurung dalam gerobok miliknya.

Selain berbaju kurung, Farah masih memiliki naluri berfesyen seperti wanita Muslim lain. Biarpun menggaya seluar tirus, dia tetap menggabungkan baju panjang menutupi bahagian tertentu agar tidak menampakkan sosok badannya.

Berduet dengan Shamrin

Konsistensi Farah dalam bermuzik dilihat mula terhakis sedikit demi sedikit apabila jalur lagu pop rock sinonim dinyanyikan olehnya, kini dialir deras pada karya bercorak kerohanian atau pop fusion, sejalan dengan pembaharuan imejnya yang lebih bersopan.


TETAP berbaju kurung biarpun di pentas persembahan. Farah Asykin sedang beraksi pada acara Konsert Pancaindera sempena Fiesta Jom Sihat - Sungguh Bermakna di Bentong, Pahang.


"Sebelum ini, saya ada bikin lagu dan hasilkan lirik berkonsep keagamaan, alam sekitar dan patriotik. Namun, saya segan dan terlalu fikir penerimaan khalayak hendak menonjolkan karya-karya ini. Tetapi, selaras dengan penukaran personaliti, saya memberani diri tampil dengan hasil nukilan sendiri termasuk dalam album penuh nanti.

"Kini, saya lebih suka muncul di belakang tabir termasuk buat lagu untuk artis lain. Saya buat lagu Ada-Mu untuk single pertama manakala Penjaga-Ku bakal dilancar sebelum Ramadan ini. Selain itu, saya dalam proses menyiapkan lagu duet bersama vokalis Fotograf, Shamrin berjudul Kamu, Aku, Satu yang berirama rancak.

"Selepas Shamrin menyatakan minat ingin berkolaborasi dengan saya dalam sebuah lagu semasa kami buat persembahan di Pasir Gudang, Johor, awal tahun ini, saya fikir sudah tiba masa mempamer kebolehan diri. Nasib baik, dia suka dengan lagu kedengaran rock ini yang berkisar percintaan golongan lelaki dan wanita serta persahabatan.

"Jika susunan muzik untuk lagu ini dapat disiapkan, kami akan segera masuk studio rakaman pada minggu depan. Saya sendiri tidak sabar hendak bekerjasama dengan Shamrin. Bukan saja disifatkan sebagai penyanyi tampan menurut pendapat teman-teman saya, dia juga sentiasa merendah diri walaupun lama berada dalam lapangan hiburan," akhiri Farah sambil mengungkap keperibadian Shamrin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: