KUALA LUMPUR - Lebih 2,000 orang menghadiri majlis pelancaran kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Astro di sini semalam.
Kempen yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi itu turut mendapat perhatian artis- artis terkemuka tanah air.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika merasmikan kempen itu berkata, usaha yang dilakukan melalui kempen itu perlu disokong semua pihak.
Menurutnya, statistik pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak pada ketika ini cukup menyedihkan.
"Sejak empat tahun lalu, sebanyak 407 kes pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan dilaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Nor Hayati Sulaiman; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz dan Presiden Karyawan, Freddie Fernandez.
Sementara itu, Aziz dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu berkata, kempen kemanusiaan tersebut akan diperluaskan dengan pelbagai program bermatlamat membantu menangani gejala sosial.
"Usaha ini dapat dilakukan dengan penyemaian akhlak mulia di kalangan generasi muda," katanya.
Beliau berharap semua pihak dapat berganding bahu mengatasi masalah tersebut dengan mengamalkan konsep jaya waris iaitu 'anak orang anak kita'.
Pada 22 Mac lalu, akhbar Utusan Malaysia menggerakkan kempen Kami Prihatin ekoran gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi yang semakin menjadi-jadi.
Melalui projek itu, satu klip video lagu Harapan Tanpa Suara dihasilkan oleh komposer S. Atan dan lirik oleh Habsah Hassan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: