DIRINYA tergolong dalam kelompok pelakon bertudung di Indonesia.
Sesuai dengan imej Islamik itu, Zaskia Adya Mecca, 22, sentiasa diberikan watak sopan dalam sinetron (drama TV) dan filem di Indonesia.
Namun suatu ketika pernah tercetus cerita hangat apabila gambar Zaskia memegang rokok muncul di Internet.
Gambar itu menunjukkan aski Zaskia yang bertudung ungu sedang asyik menghisap rokok bersama pengarah terkenal, Hanung Bramantyo di lokasi penggambaran satu sinetron pada Jun 2008.
Ia nyata satu pukulan hebat buat Zaskia kerana dianggap keterlaluan. Ditambah pula gosip percintaannya dengan Hanung yang akhirnya menjadi suaminya.
Namun semua itu dibiarkan saja hinggalah mereka disatukan dalam satu majlis pernikahan mengejut pada 14 September tahun lalu di Masjid At Taqwa, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.
Zaskia menerima mas kawin Rp80,987,000 sebagai mencerminkan tarikh lahirnya pada 8 September 1987.
Selepas kembali dari berbulan madu selama 10 hari di Bali dan Jogjakarta, pasangan ini bersemangat kembali meneruskan kerjaya masing-masing.
Pengarah yang mencatat kejayaan menerusi sekuel Get Married yang ditayangkan di pawagam September tahun lalu, kini sibuk dengan projek barunya, menghasilkan filem Sang Pencerah, biografi Kyai Haji Ahmad Dahlan.
Ceritanya mengenai usaha Kyai Haji Ahmad Dahlan mendirikan Muhammadiyah.
Begitu juga projek filemnya yang tertunda sejak 2007, Asmaul Husnah yang asalnya diberi judul Sunan Kali Jaga.
Hanung, 35, juga mengaku tidak pernah melarang isterinya daripada terus berlakon.
Katanya, dia memberi sepenuh kebebasan kepada Zaskia dan tidak mahu mengubah isterinya.
Mereka juga cuba mencari waktu untuk bersama walaupun seorang daripada mereka sibuk bekerja. Ada waktunya, Hanung menghantar isterinya ke lokasi.
"Biar dia (Zaskia) sendiri berubah. Setakat ini, dia berusaha menjadi isteri yang terbaik," kata Hanung yang turut menghasilkan filem Perempuan Berkalung Sorban berasaskan novel karya Abidah Al Khalieqy.
Sebagai pasangan yang baru melalui kehidupan berkeluarga, Hanung mengakui rumah tangga mereka juga tidak terlepas dari konflik.
Katanya, perkara itu dirasakan kerana kini menyedari perbezaan antara mereka berdua dan mereka kini dalam proses menyesuaikan diri.
"Kalau dari segi perbezaan memang menimbulkan konflik, malah wujud sejak kami bercinta lagi.
"Tapi kami cuba mengatasinya sebaik mungkin. Sebagai dua manusia berbeza dan kini hidup bersama, tentulah melalui masalah dan mengambil waktu menyesuaikan diri.
"Kami berdua juga mula merasakan tekanan apabila masing-masing sibuk dengan kerja. Zaskia 'shooting' hingga larut malam, jam 12 belum pulang. Bukan saya seorang yang bimbang, tapi juga orang tuanya.
"Tapi saya kagum dengan dia kerana tidak marah malah, sabar dengan saya. Tapi apabila keluarga saya turut bimbang, pastinya menimbulkan konflik pada kami," katanya.
Kata Hanung, dia bangga kerana walaupun penat pulang dari kerja, Zaskia cuba menambat hatinya, sekali gus menebus kesalahannya dengan mencuci kakinya.
Zaskia yang memanggil suaminya Abi (Hanung pula memanggilnya Umi) menegaskan kehidupan baru yang mereka alami kini sama seperti kebanyakan pasangan baru lainnya. Katanya, menjadi isteri itu tidak perlu belajar dari kebanyakan orang kerana ilmu menjadi isteri itu tidak ada sekolah tertentu.
"Kalau bukan ibu, suami yang membimbing isteri. Apa yang pasti, kehidupan kami hampir sama dengan kebanyakan orang lain," katanya.
Atas kesibukan kerja, mereka belum bercadang mempunyai anak dalam waktu terdekat ini.
Zaskia memberi tempoh dua tahun lagi untuk menjadi ibu.
"Kami sepakat untuk fokus pada kerja dulu dan mahu berdua sepuasnya. Waktu ini juga kami gunakan untuk lebih mengenali satu sama lain dengan lebih dekat lagi.
"Kami seperti masih berbulan madu, ke mana-mana berdua seperti menonton filem dan menyaksikan konsert. Untuk mempunyai anak, nanti dulu, mungkin dua tahun lagi. Saya rasa ketika itu saya sudah siap fizikal dan mental," katanya.
Sejak dari awal sememangnya Zaskia menyatakan ingin bergelar isteri dalam usia 20 tahun.
Gadis berdarah Sunda-Aceh-Jerman ini pernah dikaitkan dengan pelakon Sahrul Gunawan. Zaskia juga pernah intim dengan Tommy Kurniawan dan selepas itu dengan pria Turki, Alaa Muthalib.
Ternyata jodohnya dengan duda anak satu. Hubungan Zaskia dan Hanung dikatakan bermula di lokasi Ayat-ayat Cinta kerana Hanung sebagai sutradara dan Zaskia turut berlakon.
Bagaimanapun, baik Zaskia mahupun Hanung, memilih untuk bermain teka-teki mengenai hubungan cinta mereka.
Malah, ketika proses perceraian Hanung dengan isteri, Yanesthi Hardini pada Disember 2008, Zaskia disebut-sebut sebagai puncanya.
Namun dinafikan Zaskia kerana perceraian mereka terbengkalai selama tiga tahun.
Mereka berkahwin pada 1 Oktober 2000 dan mempunyai seorang anak lelaki, Bramastya Bhumi. Pada awal Februari 2009, Hanung rasmi bercerai.
Zaskia memulakan kerjaya lakonan melalui sinetron Bidadari bersama Marshanda selepas menang tempat kedua Model Kawanku 2001.
Bagaimanapun, namanya mula melonjak melalui sinetron arahan Deddy Mizwar, Kiamat Sudah Dekat sebagai Sarah sehingga bermula kehidupannya dengan imej itu pada 2005. Sinetron lain lakonannya ialah Cinta SMU, Habibi dan Habibah, Senandung Masa Puber, Lorong Waktu, Munajah Cinta dan Para Pencari Tuhan.
Pada 2007, Zaskia beralih ke layar perak melalui filem dakwah, Kun Fayakun dari karya ustaz Yusof Mansyur diikuti Ayat-ayat Cinta yang diangkat dari novel Habiburrahman El Shirazy.
Dalam filem turut dijayakan Fedi Nuril sebagai Fahri, Rianti Cartwright (Aisha) dan Carissa Putri (Maria), Zaskia diberi peranan antagonis buat kali pertama sebagai Noura yang mendakwa diperkosa Fahri hingga lelaki warak itu dipenjarakan.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Zaskia Adya Mecca
TARIKH LAHIR: 8 September 1987
USIA: 22 tahun
TEMPAT LAHIR: Jakarta, Indonesia
ADIK BERADIK: Anak kedua daripada tujuh beradik
PENDIDIKAN: Fakulti Psikologi di Universitas Paramadina, Jakarta (2005)
STATUS: Kahwin (14 September 2009)
SUAMI: Hanung Bramantyo, 35
SINETRON: Bidadari, Cinta SMU, Kiamat Sudah Dekat, Habibi dan Habibah, Senandung Masa Puber, Kubersimpuh PadaMu, Jangan Ambil Nyawaku, Lorong Waktu, Para Pencari Tuhan, Aqso dan Madina.
FILEM: Ayat-Ayat Cinta (2007), Kun Fayakuun (2008), Doa Yang Mengancam (2008)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: