Friday, March 19, 2010

Zaliha hakis dominasi lelaki


Zaliha Asmael bersama masakan daripada air tangannya.


WALAUPUN baru pertama kali bersua muka, gaya serta tingkahnya yang ceria menjadikan urusan temu bual dengan Zaliha Asmael, 46, begitu mudah.

Apa yang menarik ibu kepada dua cahaya mata ini nyata bersungguh-sungguh memanfaatkan diploma dalam Pengurusan Hotel dan Katering yang diraih dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar segala ilmu dan pengetahuan yang dihimpun tidak menjadi sia-sia.

Malah kejayaannya hari ini sedikit sebanyak telah mengikis dominasi kaum Adam sebagai 'raja dapur' di hotel-hotel besar mahupun restoran-restoran lima bintang di negara ini.

Walaupun jumlahnya boleh dikira dengan jari tetapi sekurang-kurangnya kehadiran chef-chef wanita seperti Zaliha membuktikan bahawa golongan Hawa juga sebenarnya layak memikul tugas mengepalai bahagian dapur hotel-hotel besar .

''Mudah untuk memasak tapi bukan senang hendak bergelar tukang masak profesional yang menyediakan pelbagai juadah mengikut selera dan permintaan pelanggan.

''Selain jadual kerja tidak menentu terutama apabila tiba musim perayaan, sebagai chef kreativiti diperlukan dalam menyediakan hidangan baru yang sentiasa berubah.

''Anggapan yang mengatakan apabila sudah bergelar chef, tahu serba-serbi mengenai ilmu masakan sebenarnya tidak tepat kerana selain perlu peka terhadap cita rasa pelanggan, chef juga kena bijak mencipta pelbagai resipi baru untuk merancakkan dunia masakannya," ujarnya Zaliha yang merupakan chef pakar masakan Melayu Hotel One World, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau juga merupakan satu-satunya chef wanita di hotel tersebut.

Gembira dengan kerjaya yang dibina, wanita kelahiran Batu Pahat, Johor ini, lega kerana berjaya membuktikan kepada keluarga bahawa tukang masak juga merupakan salah satu kerjaya yang menjamin masa depan.

"Tidak dinafikan setiap ibu bapa pastinya mahu anak mereka jadi doktor, peguam atau sekurang-kurangnya sebagai guru.

"Jadi apabila saya memilih untuk jadi chef ada ahli keluarga yang kurang yakin dengan pilihan saya," katanya.

Berbicara lanjut mengenai kerjaya pilihannya hari ini, menurut Zaliha, segala-galanya berlaku tanpa dirancang.

Malah beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang tukang masak, apatah lagi di sebuah hotel terkemuka.

Namun kerana minat dan 'cinta' yang mendalam, kerjaya tersebut ternyata telah mampu membawa Zaliha hingga ke peringkat yang boleh dibanggakan.

Menurut Zaliha, seperti kebanyakan chef-chef terkenal lain perjalanan kerjayanya juga bermula dari bawah iaitu sebagai seorang tukang masak third commis.

Selama 16 tahun berkecimpung dalam bidang yang telah sebati dengan dirinya, banyak pengalaman pahit manis dilalui yang dianggap khazanah paling berharga dalam hidupnya.

Antaranya, beliau pernah dipertanggungjawabkan memperkenalkan masakan Melayu untuk 'tekak' orang Barat di Paris, London, Jepun dan Switzerland.

Dalam pada itu, Zaliha bercita-cita ingin menghasilkan buku resipinya sendiri selain ingin berkongsi resipi masakan Melayu dengan orang ramai.

Sebelum mengakhiri pertemuan beliau sempat menitipkan pesanan kepada anak-anak gadis yang menyimpan keinginan menjadikan chef sebagai kerjaya utama.

Katanya, menjadi seorang tukang masak selain mempunyai semangat untuk belajar serta kreatif, kebolehan bekerja dalam tekanan amat penting.

"Berada di tahap sekarang tugas paling sukar bukan lagi mengendalikan periuk belanga di dapur.

"Sebaliknya menguruskan seluruh bahagian dapur yang memerlukan kemahiran dari segi perhubungan dengan manusia.

''Tetapi apa yang pasti saya akan terus masak kerana dapur adalah dunia saya,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: