Thursday, March 18, 2010

Woods kembali ke Augusta

BAGI Tiger Woods, kejohanan Masters kali ini cukup luar biasa.
Semalam, Woods berkata bahawa dia akan menamatkan tempoh pengasingan selama empat bulan dan beraksi di Augusta National tiga minggu lagu dalam tahap keselamatan tertinggi dan bersaing buat kali pertama selepas skandal seks menghancurkan imejnya.

pix_middle
“Kejohanan Masters ialah pertandingan di mana saya memenangi gelaran utama pertama dan saya amat menghormati pertandingan ini,” kata Woods melalui kenyataannya.


“Selepas berehat begitu lama daripada sukan ini, saya fikir saya sudah bersedia untuk memulakan pembabitan saya musim ini di Augusta.


Kejohanan Masters akan bermula 8 April ini.


Tiada sebarang kejohanan utama pun yang berjaya menarik jumlah penonton televisyen lebih besar, semua itu dalam keadaan biasa.


Biarpun Woods sudah menjadi ikon paling popular dalam golf dengan 82 kemenangan seluruh dunia dan 14 gelaran utama, empat daripadanya dalam kejohanan Masters, kepulangannya kali ini sebagai bintang yang diaibkan dan di bawah pemerhatian paling teliti sepanjang kariernya.


“Kami tidak sabar menanti kepulangannya. Kami mahukan dia beraksi,” kata Jim Furyk. “Saya pasti semuanya mengharapkan keadaan berjalan seperti biasa dan ia akan mengambil masa. Saya sedar mengenai perkara itu.


Woods kali terakhir menyertai kejohanan 15 November lalu di mana dia menjuarai kejohanan Masters Australia di Melbourne. Dua belas hari kemudian, kereta yang dipandunya melanggar pili bomba sebelum merempuh pokok di luar rumahnya di Florida, satu kemalangan yang kemudiannya mencetuskan rentetan kisah kecurangan rumah tangganya. Woods mengumumkan pada 11 Disember lalu bahawa dia akan berehat untuk tempoh yang tidak diketahui demi menyelamatkan rumah tangganya.


“Kejohanan utama sering mendapat perhatian istimewa sepanjang karier saya dan sebagai pemain profesional, saya fikir saya perlu berada di Augusta, biarpun sudah lama saya tidak beraksi,” kata Woods.


“Saya sudah menjalani terapi selama dua bulan dan saya akan meneruskan rawatan ini,” katanya. “Biarpun saya akan kembali menyertai pertandingan, masih banyak yang perlu dilakukan dalam kehidupan peribadi saya.” Pengerusi Augusta National, Billy Payne, berkata kelab itu menyokong keputusan Woods untuk mula bertanding semula di Masters dan menjelaskan bahawa “kami menyokong dan menggalakkan komitmen yang disuarakannya untuk meneruskan usaha bagi membina semula kehidupan peribadi dan profesionalnya.” Pesuruhjaya Jelajah PGA, Tim Finchem juga gembira apabila mengetahui mengenai kepulangan Woods.


Laporan media minggu lalu menyatakan Woods tidak akan beraksi sehingga kejohanan Masters biarpun terdapat laporan lain yang menyatakan dia akan kembali bertanding minggu ini dalam kejohanan Jemputan Arnold Palmer di Orlando, Florida.


Timbul spekulasi mengenai perkara itu ketika Finchem mengadakan sidang video, Isnin lalu, ia dipenuhi panggilan media yang menjangkakan pengumuman kemunculan semula Woods. Sebaliknya Finchem hanya mengumumkan penaja utama baru.


Malah tidak menghairankan apabila presiden rangkaian Sukan CBS, Sean McManus berkata mengenai kepulangan Woods dalam sukan golf minggu lalu: “Satu-satunya ramalan saya ialah apabila dia kembali, ia akan menjadi antara tontonan paling ramai dalam sejarah, seperti juga pelantikan Obama.


ESPN akan menyiarkan dua pusingan kejohanan Masters itu manakala Sukan CBS akan menyiarkan saingan hujung minggu. Rating televisyen tertinggi untuk kejohanan Masters dalam era siaran kabel ialah 14.1 pada Ahad 1997, di mana Woods yang ketika itu berusia 21 tahun menjadi juara paling muda dalam sejarah kejohanan itu dengan rekod kemenangan 12 pukulan.


“Wow, saya menerima banyak panggilan daripada rakan hari ini yang memutuskan untuk menyaksikan Masters tahun ini,” kata juara Terbuka Britain, Stewart Cink menerusi Twitter.


“Jelas sekali, rating itu akan melangkaui carta,” kata pemain Jelajah PGA, Heath Slocum. “Ia perlawanan menarik untuk disaksikan bukan saja membabitkan reaksinya tetapi juga daripada penyokong, media dan pemain. Saya berani mengatakan dia mungkin gementar.” Kejohanan Masters, “Tradisi tidak seperti yang lain” - tema CBS sejak sekian lama, mempunyai sekatan tidak seperti kejohanan utama lain. Pas media begitu terhad, biarpun ketika waktu biasa dan kelab berkenaan mempunyai kawalan ketat terhadap sesiapa yang memasukinya. Sesetengah penonton dengan lencana bermusim boleh kehilangan hak itu buat selama-lamanya jika didapati menggunakan telefon bimbit atau kamera. Antara peraturan lain: Dilarang berlari.

Kebanyakan pemain menjangkakan Woods akan diserbu dalam kejohanan Masters biarpun tidak sebegitu ramai, itupun jika ada.


“Itulah sebabnya Augusta cukup bermakna,” kata Furyk. “Ia tidak seperti kejohanan lain, Semua orang takut kehilangan tiket mereka. Etika serta kelakuan penonton jauh lebih baik berbanding tempat lain kerana faktor kebimbangan itu.” Apa yang belum dapat ditentukan ialah tahap permainannya.


Woods berkunjung ke sebuah klinik di Mississippi untuk terapi pada 31 Disember lalu, sehari selepas menyambut hari lahir ke-34 dan kembali pada 11 Februari untuk membuat persediaan penampilan pertama di khalayak ramai di TPC Sawgrass di mana dia memohon maaf atas kelakuannya dan mengakui bersikap curang. Dia enggan menerima sebarang soalan.


Dia menghabiskan seminggu lagi di Arizona untuk terapi keluarga dan kembali pada 27 Februari, kembali ke lapang latihan untuk kembali mencari rentaknya. Jurulatihnya, Hank Haney, turut bersamanya di Isleworth minggu lalu.


Timbul laporan bahawa dia akan beraksi dalam pertandingan pertunjukan Piala Tavistock di Orlando, minggu depan, diikuti kejohanan Jemputan Arnold Palmer di Bay Hill, di mana dia adalah juara bertahan dan pemenang enam kali pertandingan itu.


“Apabila saya berfikir untuk kembali menyertai kejohanan golf, nampaknya kejohanan Masters adalah yang terdekat yang mungkin saya sertai,” kata Woods.


Sudah dua kali Woods menyertai kejohanan utama selepas tidak bertanding akibat berehat begitu lama iaitu sembilan minggu dan mencapai keputusan yang tidak menentu.


Dia gagal melepasi penyingkiran di Winged Foot untuk Terbuka Amerika Syarikat 2006 selepas kematian bapanya dan menjuarai Terbuka AS 2008 di Torrey Pines dengan beraksi ketika lutut kirinya cedera yang seterusnya memaksa dia berehat sepanjang tahun itu.


“Kepulangannya adalah sesuatu yang baik untuk golf,” kata juara kejohanan utama tiga kali, Padraig Harrington.


“Ia menunjukkan komitmennya terhadap keluarga. Jika dia kembali lebih awal, peluangnya di Augusta lebih cerah. Dia mungkin mengutamakan golf tetapi dia meletakkan kepentingan keluarga dengan tidak menyertai kejohanan pemanas badan sebelum Augusta. Ia pernyataan yang baik.” Woods menjadi tarikan utama dalam kejohanan Masters sejak kemenangan yang menjadi titik tolak kemuncak kariernya pada 1997. Bagaimanapun perbandingan itu tidak akan sama seperti tahun ini.


Kehidupannya tidak menentu sejak 27 November lalu sebaik meninggalkan rumahnya pada tengah malam, satu insiden mengundang persoalan yang Woods tidak mungkin menjawabnya: Ke mana dia hendak pergi? Apa yang menyebabkan dia melanggar pokok itu? Apakah kecederaan yang menyebabkan dia dibawa ke hospital? Bagaimana seorang atlit paling popular boleh merahsiakan begitu banyak hubungan sulit? Woods kehilangan tiga tajaan korporat iaitu Accenture, AT&T dan Gatorade hingga menjadi bahan lawak pada rancangan bual bicara televisyen hingga produksi pentas Disney.


Ini adalah kali pertama Woods tidak beraksi di Bay Hill sebagai pemain profesional, satu-satunya acara Jelajah PGA yang selalu disertainya setiap tahun. Palmer memberitahu The Golf Channel bahawa Woods menghubunginya dan meminta maaf tidak dapat ke sana.


“Dia berbual begitu baik. Ada ketenangan di sebalik suaranya,” kata Palmer. “Dia tahu apa yang perlu dilakukan dengan kehidupannya dan cara dia menanganinya, dan saya fikir kami menghormatinya. Saya tidak fikir ia begitu sukar bagi Tiger. Dia akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri.” Palmer berkata Woods memberitahunya bahawa permainannya tidak begitu baik dalam tempoh terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: