|
|
“TUHAN berada di dalam najis lembu,” kata Kesari Gumat semasa dia berjalan melintasi makmal yang dipenuhi para penyelidik yang sibuk.
Ada yang tekun mencampurkan bahan buangan haiwan itu bersama herba tertentu sementara beberapa orang lain mengawasi air kencing lembu yang sedang menggelegak di dalam sebuah bikar.
Makmal yang terletak bandar Ahmedabad di barat India itu merupakan salah satu pusat penyelidikan yang mengangkat status suci lembu dan membawa hasil kajian mereka ke satu tahap baru.
Dalam usaha mempromosi aspek praktikal seiring dengan keyakinan spiritual, mereka telah mengembangkan perubatan berasaskan najis dan air kencing haiwan itu. Ini sekali gus menjadikannya satu rangkaian produk yang dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit daripada masalah mulut berbau hinggalah kanser.
“Formula ini bukannya sesuatu yang baru,” kata Gumat. “Ia terkandung dalam kitab suci Hindu. Kami hanya mengembangkannya melalui kajian saintifik.”
Bahan mentahnya dihasilkan daripada bahan buangan lebih 300 ekor lembu di sekitar kawasan pusat berkenaan.
Pengunjung dikehendaki membuka kasut dan stokin sebelum masuk dan memberanikan diri berjalan berkaki ayam melintasi hamparan najis separa lembut yang mula mengering akibat pancaran matahari.
“Berjalan di atas najis lembu yang masih baru amat menyihatkan,” tegas Gumat. “Ia mampu membunuh kuman dan bakteria serta menyembuhkan luka. Najis lembu juga merupakan skrab untuk membuang sel-sel kulit mati dan meningkatkan sistem peredaran darah.”
Senarai turutan aplikasinya mengikut Gumat, mempunyai satu senarai yang agak panjang. Ia meliputi ubat-ubatan sehinggalah kelengkapan dandanan diri seperti sabun, syampu, ubat gigi, kayu setanggi dan ubat nyamuk.
Produk-produk itu menerima pujian dalam kalangan kumpulan-kumpulan nasionalis Hindu. Ini termasuklah kumpulan terbesar seperti Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) yang melancarkan minuman ringan sendiri berasaskan urin lembu sebagai alternatif kepada Coca-Cola dan Pepsi.
Gau Jal atau air kencing lembu telah dihasilkan di Jabatan Perlindungan Lembu RSS, sebuah kemudahan penyelidikan yang terletak di utara bandar Haridwar, bersebelahan sungai suci Gangga.
“Ia akan mengakhiri penguasaan minuman bikarbonat di pasaran,” ramal Pengarah Kemudahan Pasaran, Om Prakash.
Proses pengeluaran Gou Jal masih menunggu kelulusan daripada kerajaan. Sementara itu Prakash memberitahu, pasukannya kini menumpukan proses pembungkusan, pemasaran dan pengawetan untuk mengelakkan minuman itu rosak akibat musim panas di India.
Lembu dianggap sebagai haiwan suci oleh majoriti penganut agama Hindu. Sehubungan itu mereka dihalang daripada makan dagingnya, namun penggunaan bahan buangan haiwan itu dibenarkan seperti produk tenusu.
Lazimnya, najis lembu dibiarkan kering dalam masa lebih seminggu, sebelum ia dibakar pada suhu yang tinggi untuk membunuh kuman dan bakteria. Produk akhir najis itu dijadikan serbuk sebelum ia diadun bersama bahan-bahan lain untuk membuat ubat-ubatan dan kelengkapan dandanan diri.
Sementara itu, urin haiwan tersebut akan didihkan untuk membuang segala kotoran.
Raghav Gandhi, yang mengetuai Jabatan Nutrisi Lembu di salah sebuah pusat penyelidikan di Ahmedabad menegaskan, proses tersebut bermula lebih awal sebelum sisa-sisa itu dikumpulkan.
“Ia mungkin kelihatan seperti kita mengambil sisa kumuhan haiwan ini untuk membuat ubat-ubatan tetapi proses berkenaan tidak semudah yang disangka,” kata Ghandi.
“Kita perlu melayan lembu itu pada setiap minit,” kata Ghandi yang memberi lembu-lembunya makan rumput yang dicelupkan ke dalam susu, herba dengan gula tebu yang tidak ditapis dan air yang mengandungi garam galian.
Dia juga menyanyikan lagu kepada haiwan-haiwan itu.
“Ia amat mudah,” kata Ghandi. “Apa yang dimakan itulah yang dikeluarkan. Najis lembu mengandungi pelbagai nutrien dan mineral penting. Air kencingnya pula mempunyai ciri-ciri penyahjangkit penyakit.”
Pakar-pakar perubatan pula berbelah bagi mengenai kebaikan dalam bidang perubatan. Ada antaranya yang menunjukkan bahawa perawatan kuratif itu belum pernah pernah disahkan oleh mana-mana badan bebas.
Bagaimanapun, ada kalangan mereka yang melihat perawatan sedemikian tidak memudaratkan pesakit dan menganggap produk-produk itu mampu membantu mereka.
“Saya pernah terbaca mengenai kelebihan air kencing dan najis lembu,” kata Mayur Patel, seorang pakar kanser di Pusat Penyelidikan Kanser Negeri Gujerat.
“Seorang pesakit saya mengambilnya dan saya membenarkan mereka melakukannya. Ia hanya merupakan satu kaedah alternatif dan tidak mempunyai kesan sampingan,” kata Patel.
Seorang suri rumah di Ahmedabad, Nila Parmar, 42, memulakan harinya dengan mengambil suntikan air kencing lembu sejak bertahun-tahun lamanya. Wanita itu mengakui tidak mempunyai sebarang keraguan tentang keberkesanannnya.
“Percayalah, saya pernah mencuba kaedah perawatan alopati dan homeopati untuk mengubati penyakit yang dialami namun ia tidak berkesan,” ujarnya.
“Saya sering bertukar-tukar doktor selama lebih dua tahun tetapi hanya gau mutra (air kencing) yang berjaya menyembuhkan penyakit saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: