Friday, March 12, 2010

Rekod cemerlang Barbara Walters




SEPANJANG lebih lima dekad kerjaya beliau sebagai pengamal media, banyak temuramah yang pernah dilakukannya. Dalam banyak-banyak temuramah tersebut, Barbara Walters mahu menarik balik satu temubual beliau bersama Ricky Martin sedekad lalu.

Walters, 80, mengaku dia telah melakukan satu kesilapan yang besar kerana telah memaksa penyanyi tersebut membuka mulut berhubung kehidupan seksualnya kepada sebuah akhbar paling berpengaruhdi Ontario, Kanada, Toronto Star.

Menurut Walters, temubual tersebut memberi impak jangka masa panjang kepada Ricky Martin. "Saya mendesak Ricky Martin untuk membuat pengakuan sama ada beliau seorang gay atau tidak.

"Ramai yang memberitahu jawapan kepada persoalan itu bakal memusnahkan kerjaya Ricky Martin dan apabila saya memikirkannya semula, saya merasakan soalan itu tidak sesuai langsung saya lontarkan kepadanya," kata Walters yang menyesal dengan tingkah laku agresifnya mahukan kepastian daripada Ricky Martin.

Status penyanyi kelahiran Puerto Rican itu sebagai bapa tunggal kepada dua bayi lelaki yang dilahirkan melalui seorang ibu tumpang. Bagaimanapun Ricky Martin enggan menjawab soalan tersebut.

Kehidupan seksual lelaki yang berumur 39 tahun itu menjadi persoalan sejak bertahun-tahun lamanya. Namun, Ricky Martin tidak pernah memberi sebarang pengesahan.

Wartawan dan pembaca berita wanita Amerika yang mempunyai nama besar dalam industri media itu mencipta sejarah yang luar biasa dalam dunia kewartawanan penyiaran sekitar tahun 70-an apabila berjaya menemuramah pemimpin-pemimpin dunia dan selebriti kelas A.

Sebagai pengacara dan pencipta bersama The View, satu rancangan yang disiarkan di televisyen pada waktu siang, perjalanan kerjaya Walters bermula pada lewat 1950-an. Menghabiskan masa selama 15 tahun dengan National Broadcasting Company's (NBC) sebagai koresponden dan pengacara bersama untuk The Today Show, beliau kemudiannya beralih ke ABC News pada 1976 dan menjadi wanita pertama yang menjadi penyelaras bersama untuk berita malam.

Walaupun tugasnya sebagai penyelaras bersama berita gagal, Walters menjadi salah seorang wanita berprofil tinggi dalam merintis penyiaran televisyen, yang sebelum ini lebih didominasi oleh lelaki. Beliau juga berkhidmat bersama ABC selama 15 tahun dan beliau sinonim dengan program ABC 20/20 dan siri popular The Barbara Walters Specials. Menerusi program tersebut beliau berpeluang menemuramah personaliti daripada ahli politik hinggalah hiburan seperti Menachem Begin, Anwar Sadat, Monica Lewinsky, Fidel Castro, Demi Moore, George Clooney dan Dalai Lama.

Barbara atau nama sebenarnya Barbara Jill Walters merupakan anak kelahiran Boston, Massachusetts. Anak kepada Dena Seletsky Walters dan pemilik kelab malam, Lou Walters itu mempunyai seorang kakak dan seorang adik lelaki. Kakaknya, Jacqueline, yang menghidap masalah mental meninggal pada 1985 akibat kanser ovari, manakala adik lelakinya, Burton, meninggal akibat pneumonia pada 1932.

Dengan gaya hidup sebegitu, Walters membesar sebagai seorang kanak-kanak yang pemalu dan kesunyian kerana beliau cukup rapat dengan rakan sepermainan dan kakaknya.

Kejayaan bapanya meluaskan rangkaian perniagaan kelab malam menyebabkan Walters menerima pendidikan di Boston, New York dan Miami Beach.

Pendidikan Walters bermula di sekolah swasta di New York sebelum meneruskan ke Miami Beach High School.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Inggeris dari Kolej Sarah Lawrence di Bronxville, New York. Berbekalkan ijazah tersebut beliau bekerja sebagai setiausaha. Nasib menyebelahinya apabila ditawarkan bekerja di National Broadcasting Company's (NBC) New York yang bergabung dengan WRCA-TV. Dari situlah Walters terus menggilap bakatnya sebagai penulis dan penerbit.

Beliau juga membuat kerja-kerja perhubungan awam dan penulisan termasuklah sebagai penerbit program wanita di WPIX-TV di New York.

Kemampuan dan pengalamannya dalam penyelidikan, penulisan, perfileman dan penyuntingan membuka ruang kerjaya yang luas sebagai penerbit berita dan hal-hal awam untuk televisyen Columbia Broadcasting System (CBS).


WALTERS dan keluarganya. Dari kiri : Kakak Walters, Jackie; bapanya; Lou Walters, suami; Lee Guber dan ibunya; Dena walters.


Menurut Walters, beliau pernah bergelar pembaca berita cuaca dan hanya diberikan tugasan-tugasan kewartawanan yang ringan sewaktu menyertai program Today Show di stesen NBC. Sewaktu seorang pengacara kanan lelaki, Frank McGee diberi tanggungjawab sebagai pengacara Today Show, lelaki itu menetapkan syarat bahawa Walters tidak boleh menjadi pasangannya di kaca TV.

Namun, kerana semangat kewartawanan yang berkobar-kobar, Walters tidak pernah merajuk apabila wanita sering dipinggirkan dalam bidang kewartawanan penyiaran.

"Zaman itu adalah zaman sebelum Gerakan Wanita tercetus. Zaman di mana wanita tidak dilihat penting dalam program berita, sehinggakan kebanyakan tugasan yang diberikan kepada kami adalah tugasan ringan dan kurang penting," katanya.

Namun, Walters membuktikan faktor gender bukan alasan beliau tidak mampu bersaing. Hari ini, Walters bukan sahaja menjadi ikon kewartawanan penyiaran bahkan beliau merupakan antara pembaca berita yang mempunyai pendapatan termahal dalam sejarah industri itu AS$12 juta (RM40) setahun.

Dalam tempoh tiga tahun menyertai NBC sebagai penulis dan muncul ke udara sesekali untuk rancangan Today, akhirnya dia diberi peluang menemuramah orang kenamaan seperti isteri Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-34, Dwight D. Eisenhower; Mamie Eisenhower, Presiden Mesir; Anwar Sadat dan Ketua Staf White House; H.R Haldeman.

Walters menjadi pengacara bersama bagi rancangan Today bersama Hugh Downs. "Sepanjang menjadi pengacara bersama, saya pernah dilarang mengajukan soalan kepada tetamu penting selagi pengacara lelaki tidak menghabiskan soalan mereka," kata Walters yang pernah menjadi pengacara bersama bagi rancangan Today bersama Hugh Downs.

Bersama Today, Walters memaparkan pelbagai topik menarik dan memberinya banyak peluang-peluang yang tidak dirancang sekal gus menjadikan laporannya lebih berkredibiliti. Walters berjaya mencipta identitinya sendiri menerusi teknik temu bual yang kasual.

Dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengendalikan program bual bicara waktu pagi, Walters memenangi anugerah pertamanya sebagai hos terbaik dalam siri bual bicara Daytime Entertainment Emmy Award.

Dengan pendapatan lebih kurang AS$1 juta (RM3.4 juta) setahun, Walters menerima tawaran ABC pada 1976 sebagai pengacara wanita pertama untuk program berita.

Walters disegani kerana kemampuannya mengendalikan temu bual dengan bijak dengan lontaran soalan-soalan yang cukup bernas. Pendekatan yang berbeza ketika mengajukan soalan kepada subjek membuatkan rancangannya dinanti-nantikan oleh penonton.

Bagaimanapun, kehidupan peribadi beliau tidak seindah kerjayanya. Beliau pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya ialah Bob Katz seorang ahli perniagaan. Namun perkahwinan tersebut bernoktah tidak lama kemudian. Walters kemudiannya berkahwin dengan seorang penerbit teater, Lee Guber. Dikurniakan seorang anak perempuan, Jacqueline Dena, hayat perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama 13 tahun. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Merv Adelson.


WALTERS bersama Monica Lewinsky dalam satu temubual pada 1999.


Walters Wanita yang pernah berkahwin sebanyak tiga kali itu menjadi koresponden separuh masa untuk rancangan berita ABC 20/20. Beliau berjaya mendapatkan temubual eksklusif dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-37, Richard Nixon.

Walters merupakan pengacara dan juga penerbit eksekutif program bual bicara pagi, The View, yang memaparkan kisah politik, keluarga, kerjaya dan sebagainya. Program itu berjaya memenangi pelbagai anugerah dan pencalonan.

Kemampuannya mendapatkan temu bual eksklusif dengan Monica Lewinsky, wanita yang dikaitkan dengan skandal Presiden Bill Clinton disaksikan oleh 74 juta penonton antara kejayaan besar wanita itu.

Populariti Walters bukan sahaja menyebab dia dianugerahkan Anugerah Pencapaian Terbaik Seumur Hidup untuk program berita dan dokumentari di Anugerah Emmy pada 2009, bahkan sebelum itu namanya terlebih dahulu diukir pada Hollywood Walk of Fame.

Walters umpama satu revolusi dalam bidang kewartawanan. Kehebatannya mencium berita berbanding agensi media lain menyebabkan beliau disegani sekali gus meninggalkan saingannya jauh ke belakang.

"Kejayaan Walters membuktikan bahawa golongan wanita mampu menjadi pengamal media yang baik ekoran sifat semula jadinya.

"Wanita mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah. Pendekatan yang wanita gunakan dan kelembutan cara membuatkan responden berasa selesa untuk meluahkan segala," kata Profesor di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Azizah Hamzah ketika dihubungi.

Ujar Azizah, naluri kewanitaan dan kebolehan berkomunikasi dengan baik menjadikan mereka lebih berjaya sebagai pengamal media.

Menurut beliau, ahli politik dan bekas Perdana Menteri Cuba, Fidel Castro misalnya tidak membenarkan mana-mana wartawan untuk menemubualnya.

Tetapi, apabila Walters mengemukakan hasrat untuk satu sesi wawancara, Fidel Castro tidak menolaknya. Ini membuktikan bahawa Walters mempunyai kedudukan dalam kelas tersendiri.

"Ketika itu Barbara masih muda. Kerana sifat kewanitaannya, Fidel percaya bahawa Barbara mampu menyeimbangkan maklumat dan pandangan serta tidak menjejaskan imejkan.

"Ini membuktikan wanita mampu berada di barisan hadapan dari segi pemberitaan. Wanita melihat satu subjek daripada pelbagai sudut manakala lelaki melihat pada satu dimensi sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Azizah tidak menafikan dari sudut pengurusan dalam organisasi pemberitaan, lelaki mempunyai pengurusan yang lebih terarah kepada.

Namun di sebalik kejayaan demi kejayaan kewartawanan penyiaran wanita, kredibiliti mereka masih lagi diragui. Sebagai contoh kemampuan wartawan, Christiane Amanpour dari rangkaian CNN yang banyak membuat liputan mengenai peperangan tetap dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

"Ramai mengganggap apabila wartawan wanita membuat liputan di kawasan perang, ia tidaklah terlalu bahaya kerana wanita pun mampu boleh berada di sana.

"Sedangkan, peperangan tersebut sangat dahsyat dan boleh mendedahkan wanita terbabit kepada risiko kematian akibat pengeboman dan sebagainya,"

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: