Monday, March 1, 2010

Terima kasih ‘bonda’ Shariffah Asmak


Shariffah Asmak Alwee (tiga dari kiri) atau lebih mesra dipanggil bonda, mengusap air mata pilu menerima cenderamata seutas gelang tangan emas daripada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Aini Md. Jadi yang mewakili warga sekolah itu di Gombak, Selangor, baru-baru ini.


GOMBAK 28 Feb. – Alunan muzik instrumental Seri Dewi Malam begitu menyentuh hati dan perasaan hampir 600 warga Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak di sini baru-baru ini.

Lagu kegemaran Pengetua Cemerlang sekolah itu, Shariffah Asmak Alwee, dimainkan untuk kali terakhir pada majlis penghargaan sempena persaraannya Selasa lepas.

Beliau yang mesra dipanggil bonda, bersara awal pada usia 56 tahun selepas menabur jasa dan khidmat bakti dalam dunia pendidikan sejak 1978.

Pemegang ijazah jurusan Sejarah Universiti Malaya ini bermula sebagai guru di Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru (JB), Johor.

Kemudian berpindah ke Sekolah Menengah Sains Sultan Muzaffar Shah, Melaka. Pernah mengajar di Sekolah Tun Fatimah sebelum menjadi Pengetua SBPI Temerloh, Pahang.

Biarpun hanya setahun sahaja di SBPI Gombak, namun sumbangannya amat bermakna dan dihargai.

Bonda berjaya mengekal dan meningkatkan prestasi akademik SBPI Gombak dalam kelompok terbaik antara SBP di seluruh negara. Begitu juga dalam bidang kokurikulum.

Pesan bonda, guru mesti menjadi seorang yang mursyid iaitu guru yang amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tugas dan tanggungjawab guru amat berat khususnya dalam mendidik para pelajar yang merupakan aset dan warisan penting negara pada masa depan,” nasihatnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pelajar sekolah itu, Mohd. Syafiq Mazli, 17, berkata, bonda berjaya menubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang fokus kepada hal kebajikan dan pengurusan program sekolah.

Katanya, MPP menjadi pelengkap kepada Lembaga Pengawas Sekolah yang bertanggungjawab penuh dalam hal-hal berkaitan disiplin pelajar.

Justeru, persaraan bonda diiringi doa dan air mata. Doa warga SBPI Gombak khasnya dan seluruh anak didiknya untuk kesihatan serta kesejahteraan beliau. Air mata pula tanda hilangnya sebutir permata dalam profesion perguruan.

Sesungguhnya, bertemu dan berpisah, adat manusia biasa. Hilang di mata, tapi di hati tak kan lupa.

Terima kasih bonda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: