Monday, March 15, 2010

Tangan Berdarah Ibrahim Terus Berkarya

Allayarham Datuk Ibrahim Hussein

KEISTIMEWAAN pelukis tersohor Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein bukan sahaja terletak pada lukisan bahkan tulisan seni khat Cina dan jawi pada kanvas. Sentuhan seninya amat menakjubkan, halus lagi kreatif. Setiap abjad atau karakter dilakar secara seragam dan teratur menggunakan tangannya.

Hasil kreativitinya yang asli menceritakan isu-isu sosial secara kiasan dan memperlihatkan banyak ciri keabstrakan yang tinggi antaranya, 13 Mei, Tsunami dan Myanmar.

Allahyarham dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada tahun 1936 dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara pelukis Malaysia yang ulung dan memiliki auranya tersendiri.

Beliau telah banyak menyumbang kepada kegiatan seni di dalam dan luar negara selain mengasaskan Muzium dan Yayasan Budaya Ibrahim Hussein di Hutan Lipur Pasir Tengkorak, Teluk Datai, Langkawi.

Lukisan 'Kabuki', antara karya pelukis tersohor, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.

Seniman berbakat besar ini meninggal dunia pada 19 Februari tahun lalu pada usia 73 tahun. Sebuah buku riwayat hidup Allahyarham dalam bahasa Inggeris bakal dilancarkan pada 13 Mac ini di Concourse, Bangsar Village II bagi membolehkan orang ramai lebih mengenali pelukis tersohor itu.

Isteri Allahyarham, Datin Sim Hussein berkata, orang ramai dapat menyelami falsafah hidup dan bagaimana suaminya menjalani kehidupan menerusi buku yang mula ditulis pada akhir tahun 2007 sebelum beliau meninggal dunia.

Sempena pelancaran buku itu, satu pameran karya terkini Allahyarham sejak dua tahun kebelakangan ini turut diadakan di kompleks membeli-belah yang sama.

“Sebanyak 13 karya terpilih dan belum pernah dipamerkan di mana-mana akan dipamerkan di Tingkat 3, Bangsar Village II dari 14 Mac hingga 4 April ini.

“Ia seperti satu muzium moden di New York yang sesuai untuk mempamerkan kesenian visual. Pengunjung akan mengingati lukisan Allahyarham sampai bila-bila,” kata Sim pada sidang akhbar mengumumkan penerbitan ‘IB: A Life - The Autobiography of Ibrahim Hussein” dan pameran karya-karya tiga tahun terkini Ibrahim Hussein di Kuala Lumpur Rabu lalu.

Turut hadir, dua penyunting buku autobiografi iaitu penulis Eddin Khoo dan Alia, anak perempuan Ibrahim.

Satu edisi bahasa Melayu, Riwayat Hidup Ibrahim Hussien sedang dalam proses penterjemahan dan akan diterbitkan dalam beberapa bulan akan datang.

Lukisan terakhir Allahyarham bertajuk Myanmar adalah antara lukisan yang akan dipamerkan. Menurut Sim, ia adalah hasil kerja terakhir yang disiapkan Allahyarham sehari sebelum kepulangannya ke rahmatullah.

Menceritakan pemilihan gambaran di negara itu, Sim memberitahu, suaminya tersentuh dengan penindasan junta tentera Myamnar terhadap sami-sami lalu menterjemahkannya dalam lukisan.

Lukisan itu hakikatnya belum siap, tetapi ketelitian Ibrahim pada setiap hasil seninya mengakibatkan sentuhan itu kelihatannya telah sempurna.

Melalui mukadimah autobiografinya, Allahyarham mengakui bahawa beliau gemar memberikan reaksi terhadap insiden-insiden di persekitarannya melalui lukisannya. Begitulah membaranya semangat beliau setiap kali menghasilkan karyanya walaupun di penghujung hayatnya.

Cintanya pada kerjaya melukis menyebabkan beliau tidak jemu-jemu melukis setiap hari, namun selepas lebih setengah abad ‘menghambakan’ pada kanvas, Allahyarham mengalami kesan negatifnya.

“Tangannya mengelupas dan berdarah. Kenapa? Sebagai artis, Allahyarham banyak menggunakan bahan kimia dan kulit tangannya selalu terdedah kepada akrilik yang berasid,” beritahu Sim.

Ekoran itu, kulit tangan suaminya itu menjadi semakin nipis dan merekah sehingga berdarah. Pun begitu, akrilik tidak dapat menghakis keazaman menggunungnya untuk meluahkan cetusan hatinya di atas kanvas sehingga menghembuskan nafas terakhirnya.

Darah seni sememangnya mengalir dalam tubuhnya. Tidak hairanlah, adik-beradiknya turut menceburkan diri dalam bidang kesenian. Allahyarham merupakan adik kepada Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein dan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.

Selepas Tingkatan Lima, Allahyarham yang baru berumur 17 tahun bekerja di sebuah syarikat pengiklanan selama tiga tahun. Bakatnya menulis seni khat terserlah ketika itu sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di Sekolah Seni, Barnshaw di London dengan bantuan biasiswa.

Kesohoran beliau turut diiktiraf di Amerika Syarikat atas kecemerlangan hasil kerjanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: