Monday, March 15, 2010

Impian Tony Fernandes Dengar Negaraku Bila Lotus Menang

Prinsipal pasukan Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes melambai tangan kepada para media di KLIA di sini, sebelum berlepas ke Bahrain untuk menyaksikan pasukannya beraksi di Formula Satu (F1) pada perlumbaan pembuka tirai 2010 Grand Prix Bahrain hujung minggu ini.

DATUK Seri Tony Fernandes, teraju utama pasukan Lotus Racing, begitu bangga melihat bendera negara terpampang pada kereta pasukan negara itu yang akan bersaing dengan pasukan ternama seperti Ferrari, McLaren, Renault dan Red Bull dalam perlumbaan pertama F1 musim ini bermula di Bahrain Ahad ini.

Namun, apa yang sebenar yang diimpikannya dan akan lebih membanggakannya ialah untuk mendengar Negaraku dimainkan suatu hari nanti apabila Lotus Racing mencipta kemenangan sulungnya dalam sukan penuh prestij ini.

"Hebatkan, melihat bendera Malaysia pada kereta kita, dan mudah-mudahan Negaraku akan dimainkan kelak... impian yang akan menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita di KLIA sebelum berlepas ke Bahrain hari ini.

Fernandes berkata pelumba negara, Fairuz Fauzy, diberi tugas memandu uji kereta Lotus Y127 dalam tiga sesi di Bahrain.

Fairuz juga akan menjadi pemandu untuk sesi ujian pada perlumbaan seterusnya di Australia dan di Malaysia.

Fernandes berkata beliau berpuas hati dengan prestasi Fairuz sepanjang penglibatan pelumba itu dalam pasukan Lotus Racing sejak kemunculannya enam bulan lepas.

"Saya dah lama kenal Fairuz tetapi sejak enam bulan lepas saya lebih mengenalinya sebagai seorang yang tenang dan penuh azam. Beliau akan menjadi seorang contoh ikutan yang hebat kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Fernandes berkata Fairuz adalah seorang yang bersikap profesional dan mempunyai sifat positif.

Pemandu Formula One Lotus F1, Jarno Trulli dari Itali memandu kereta lumba T127 semasa sesi latihan di litar lumba Montmelo berdekatan Barcelona, 26 Februari, 2010.

"Saya harap kita dapat membantunya mencapai impiannya secepat mungkin," katanya.

Lotus Racing adalah satu daripada tiga pasukan baru yang akan bersaing dalam 19 perlumbaan F1 musim ini. Satu lagi pasukan, USF1, menangguhkan penyertaannya kerana masalah kewangan.

Fernandes berkata penyertaan dua pelumba berpengalaman, Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen, dalam Lotus Racing merupakan bukti bahawa mereka mempunyai keyakinan terhadap kemampuan pasukan itu untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar.

"Dalam e-mel mereka kepada saya semalam, Trulli dan Kovalainen berkata mereka yakin dapat memberi saingan walaupun jarak kita dengan pasukan-pasukan besar masih jauh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: