Thursday, March 18, 2010

Siaran pertama The Pacific kurang sambutan


BABAK cemas dalam drama perang bersiri The Pacific semasa tentera AS mahu mendarat di sebuah pulau yang dikuasai tentera Jepun. - AGENSI


LOS ANGELES 17 Mac - Drama epik perang bersiri HBO berbajet besar, The Pacific yang mengisahkan tentang Perang Dunia Kedua, bermula dengan agak perlahan pada tayangan pertamanya malam Ahad lepas, dengan disaksikan hanya 3.1 juta penonton di Amerika Syarikat.

Siri 10 episod daripada penerbit eksekutif Steven Spielberg dan Tom Hanks itu merupakan penerbitan terbesar dalam sejarah rangkaian kabel berbayar tersebut dengan bajet dilaporkan sebanyak AS$250 juta (RM875 juta).

Bagaimanapun, kadar penontonnya mencatat hanya 69 peratus lebih tinggi berbanding masa tayangan biasa iaitu pada pukul 9 hingga 10 malam, di mana tayangan semula episod pertamanya mencatat 4 juta penonton.

Pembukaan rancangan itu juga mencatat jumlah penonton 22 peratus lebih tinggi berbanding semasa tayangan pertama rancangan bersiri terakhir HBO, John Adams yang mengandungi tujuh siri, yang ditayangkan pada Mac 2008.

John Adams menelan belanja AS$110 juta (RM385 juta).

Rancangan bersiri yang pernah dihasilkan Spielberg dan Hanks sebelum ini, Band of Brothers berjaya mencatat 10 juta penonton semasa tayangan pertamanya pada September 2001.

Walaupun bermula dengan jumlah penonton yang besar, siri tersebut dianggap sebagai bermula agak lambat dan hanya berjaya melalui tayangan semula serta penjualan cakera padat digital (DVD).

The Pacific juga dijangka mampu pergi lebih jauh, terutamanya apabila pengkritik mengatakan, bahagian kedua penerbitan itu lebih hebat berbanding bahagian pertamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: