Thursday, March 18, 2010

Inisiatif bangunkan sistem hidro di Sabah


Bantuan syarikat seperti DiGi menjadikan kampung di pedalaman Sabah ini lebih makmur


KEKURANGAN kemudahan elektrik di kebanyakan kawasan komuniti pedalaman Sabah pastinya menyukarkan aktiviti pembangunan sosio ekonomi di daerah tersebut.

Dalam usaha mendapatkan bekalan tenaga, penduduk-penduduk hanya bergantung kepada kaedah konvensional iaitu menggunakan generator diesel.

Cara tersebut sebenarnya bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi tetapi juga memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga kesihatan manusia.

Melihat kepada keperluan berkenaan, syarikat telekomunikasi terkenal, DiGi Telecommunications (DiGi) bersama Rakan Pembangunan Kampung (Tonibung) mengadakan kerjasama membangunkan projek hidro mikro di Kampung Lumpagas, Sabah, baru-baru ini.

Kampung tersebut merupakan kawasan penempatan komuniti Murut yang terletak di antara sempadan Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

Secara keseluruhannya, terdapat seramai lebih kurang 131 orang penghuni tinggal di 15 buah rumah di kampung tersebut.

Aktiviti sara hidup mereka lebih banyak bergantung kepada pekerjaan seperti memburu haiwan, menangkap ikan, mengumpul buah-buahan dan sayur-sayuran hutan serta menanam padi bukit.

Menurut Ketua Tanggungjawab Korporat DiGi, Vimal Kumar, sistem hidro mikro itu bakal menawarkan penduduk kampung dengan kuasa mekanikal bagi menjalankan pelbagai aktiviti.

''Ia merupakan sumber tenaga bersih dan tidak melibatkan penggunaan bahan seperti kayu api, kerosin, diesel dan petrol yang boleh menyebabkan masalah pemanasan global,'' jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Tonibung, Adrian Lasimbang pula memberitahu, syarikatnya akan terlibat dalam aspek teknikal dalam pembangunan sistem berkenaan

''Komuniti kampung akan diberi peluang mengurus dan mengendalikan sistem ini secara langsung agar mereka tahu menghargainya

''Jawatan kuasa pembangunan dari kalangan penduduk kampung juga akan dilantik bagi mengatur dan mereka bentuk sistem berdasarkan idea yang telah dicadangkan,'' jelasnya.

Sistem tersebut akan melibatkan pembangunan infrastruktur paip dengan ketinggian lapan sentimeter (sm) dan disambung terus kepada turbin untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Pembangunan projek di bawah inisiatif Deep Green DiGi itu melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM160,000 dan dijangka siap menjelang Jun tahun ini dengan sokongan kuasa sehingga tiga kilowatt (kW).

Setelah siap, sistem itu mampu mengurangkan kebergantungan penduduk kampung terhadap kuasa generator yang boleh menghasilkan gas merbahaya dan bahan toksik.

Menerusinya, ia bukan sahaja membantu mereka menjalankan aktiviti harian, malah turut menawarkan peluang pekerjaan serta sumber pendapatan tetap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: