Tuesday, March 16, 2010

Seri Nano White

pix_gal0
6ixth Sense, Fasha Sandha, Dira, Nurul Syuhada luangkan masa tinjau produk Tohtonku Sdn Bhd yang juga penaja ABPBH 2009

WANITA dan kecantikan umpama sahabat baik, wanita khususnya sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tampil cantik. Bagaimanapun, kini lelaki turut mengutamakan kecantikan. Memahami kehendak pelanggannya, banyak syarikat pengeluar produk kecantikan menawarkan pelbagai produk yang kini tidak hanya khusus kepada wanita tetapi juga lelaki.
Tohtonku Sdn Bhd, salah satu penaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, yang sudah bertapak lebih 46 tahun di negara ini bermula sebagai pengedar produk dari Jepun kini berjaya mengeluarkan pelbagai produk kecantikan pada harga berpatutan. Syarikat yang mengeluarkan jenama syampu Follow Me satu ketika dulu kini mempunyai sebanyak 19 jenama produk dengan enam daripadanya adalah jenama utamanya iaitu Alaisyah, Secret, Ubermen, Nano White dan Nutox.

Bagi mengukuhkan lagi jenama Nano White yang baru tiga tahun berada di pasaran, Tohtonku sekali lagi menaja ABPBH sebanyak RM200,000 menerusi label berkenaan. Usaha sama itu terjalin kerana kepercayaan Tohtonku terhadap ABPBH yang sudah 23 tahun dianjurkan.

Usaha sama antara Nano White dan ABPBH termeterai baru-baru ini disaksikan Pengurus Komunikasi Tohtonku, Monita Goh dan Pengarang Hiburan merangkap Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah. Turut hadir pada majlis itu ialah empat finalis ABPBH iaitu Fahsa Sandha, Nurul Syuhada, 6xith Sense dan Dira Abu Zahar.

Monita Goh berkata, kerjasama dengan ABPBH dapat membantu mengembangkan lagi jenama Nano White yang masih baru di pasaran. Katanya, Nano White kini menyasarkan kepada pengguna Melayu. Dengan kerjasama bersama ABPBH serta label halal yang dimiliki produknya, Tohtonku yakin ia strategi yang baik untuk menarik pengguna Islam.
“Kami menerusi label Nano White amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama sekali lagi bersama ABPBH. Bagi kami kerjasama yang terjalin ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Pembabitan kami di dalam ABPBH secara tidak langsung dapat mendekatkan lagi jenama Nano White yang masih lagi baru di pasaran kepada pengguna kami,” katanya.

Sementara itu, empat finalis yang menyerikan majlis ini nyata teruja kerana dapat mengenali sebuah produk yang bernaung di bawah sebuah syarikat yang terkenal. Selain teruja dapat mengenali produk Nano White, mereka turut teruja kerana kehadiran ke dalam industri diterima peminat.

Sebagaimana keterujaan Tohtonku dapat bekerjasama dengan ABPBH. Begitu juga keterujaan empat finalis ini apabila dapat meloloskan diri di dalam senarai Top 5. Meskipun mungkin sukar untuk bergelar pemenang, namun kejayaan berada di dalam senarai lima teratas adalah kejayaan peribadi buat mereka.

Terkejut wartawan penyiaran masuk Top 5

PENGACARA Majalah 3, Nurul Syuhada sendiri tidak menyangka berjaya berada di tangga Top 5 hanya selepas lima tahun berada di dalam dunia penyiaran. Gadis yang digilap bakatnya menerusi pertandingan Malaysian Top Host terbitan TV3 itu terkejut apabila menerima kiriman e-mel menyatakan kejayaannya.

“Saya tidak menganggap diri saya selebriti. Saya menganggap diri saya wartawan penyiaran, tak sangka pula wartawan juga berpeluang dicalonkan kerana sebelum ini senarai itu dimonopoli artis. Selepas beberapa tahun, tak pernah pula nama saya tersangkut. Apabila diberitahu mengenai pencalonan ini, saya memang sangat terkejut.

“Mungkin peminat menghargai kerja yang saya lakukan di dalam program Majalah 3. Selama tiga tahun mengendalikan Majalah 3, saya mengakui selesa dengannya. Malah, kini kami sedang sibuk mengumpul bahan untuk wajah baru Majalah 3, banyak yang ingin kami ketengahkan pada musim baru sempena 25 tahun usia program itu,” katanya.

Seperti mana Nurul Syuhada, 6xith Sense juga mengalami nasib sama. Empat tahun dalam industri, baru kini nama mereka berjaya menembusi senarai lima popular.

Tanpa angan-angan tinggi, kumpulan yang dianggotai Wan, Atan, Ayoi, Adi dan Gjie itu menganggap pencalonan mereka di dalam kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular sebagai peluang untuk menaikkan lagi nama kumpulan mereka.

Juga tidak menyangka mampu berada di dalam senarai itu, 6xith Sense turut tidak menafikan mereka terkejut apabila diberitakan mengenai perkara itu. Ucapan terima kasih mereka tujukan buat peminat kerana jika bukan mereka, 6xith Sense tidak mungkin berada di dalam senarai ini.

“Undian peminat hanya dapat kami balas dengan memberikan kerja yang baik untuk mereka. Alhamdulillah, tahun ini kami dapat merasakan peminat menerima kami. Lagu kami seperti Tanpa, Khatimah Cinta, Tak Bisa Memilihmu diterima baik oleh peminat.

“Kami tak meletakkan harapan tinggi untuk menang apa lagi menghadapi saingan sengit kumpulan indie khususnya iaitu Hujan, Meet Uncle Hussain & Black, Bunkface serta Adam dan Stacy. Bagi kami tersenarai di dalam Top 5 adalah kemenangan untuk diri sendiri,” kata mereka.

Tak sangka artis bergelar ibu ada peluang

DIRA Abu Zahar, pendatang baru yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular pula tidak menyangka, wanita yang sudah berumahtangga dan memiliki seorang cahaya mata sepertinya masih diterima masyarakat.

“Ketika mula menjejakkan kaki ke dalam industri ini, saya sedar tidak memiliki pakej lengkap sebagai seorang artis. Apabila melangkah kaki dalam dunia lakonan, saya hanya berlandaskan apa yang saya ada.

“Pelakon wanita ramai, lagipun saya bermula pada usia yang agak lewat iaitu 23 tahun. Jadi saya tak menyangka nama boleh tercalon sehingga mampu berada pada senarai Top 5. Saya juga tidak mempunyai isu untuk disensasikan, namun saya tidak dapat menafikan pembabitan dalam Sehati Berdansa juga salah satu faktor yang membantu,” katanya yang pernah membintangi drama Rona Roni Makaroni, Merah Putih dan Delima.

Pelakon kontroversi yang memiliki nama indah, Nur Fasha Sanda pula tidak menyangka kontroversi yang melandanya satu ketika dulu langsung tidak menjejaskan popularitinya. Sokongan padu peminat menyebabkan pelakon jelita ini terasa dia begitu dihargai, hingga setiap hari dia memastikan akan berkomunikasi bersama mereka melalui laman sosial sebagai tanda terima kasih.

“Pelbagai dugaan yang menimpa saya tahun ini menyebabkan saya tidak menaruh harapan untuk berada dalam senarai Top 5. Saya terharu kerana peminat masih ada hati untuk mengundi. Setiap orang mahu menang, bagi saya perasaan itu normal. Namun saya berserah dengan apa saja keputusan.

“Jujur saya amat-amat terharu dengan peminat. Ini adalah tahun kelima nama saya dicalonkan. Bagi saya bukan senang untuk berada dalam senarai Top 5 kerana sekarang ini pelakon baru ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: