Thursday, March 18, 2010

Semangat tinggi

KELIBAT pasukan Harian Metro Honda SCK Racing pastinya dinantikan peminat Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas bagi melihat sejauh mana kemampuan jentera Honda yang menjadi tunggangan mereka musim ini.

SEDIA GEGAR...Mustapa (lima dari kanan) bersama pegawai dan barisan  pelumba Harian Metro SCK Honda Racing di majlis pelancaran pasukan  berkenaan di Balai Berita, semalam.
SEDIA GEGAR...Mustapa (lima dari kanan) bersama pegawai dan barisan pelumba Harian Metro SCK Honda Racing di majlis pelancaran pasukan berkenaan di Balai Berita, semalam.
Adakah skuad yang dibarisi tiga pelumba, Mohd Affendi Rosli, Norizman Ismail dan Suhadi Ali Rahmat yang cukup sinonim dengan siri kejuaraan itu mampu memberikan cabaran.


Apapun, pengurus pasukan, Soong Chee Kieong yang mengikat kontrak tiga tahun dengan Honda yakin jentera itu mampu memberikan cabaran, tapi tidak berani memberikan harapan merangkul gelaran juara keseluruhan.


Menjelang tirai pembukaan yang akan berlangsung di Litar Alor Star, bermula esok dan Sabtu, tiada harapan tinggi diletakkan Chee Kieong terhadap pelumbanya, begitupun mengharapkan ketiga-tiga pelumbanya mampu menamatkan perlumbaan.


“Masih banyak yang perlu diperbaiki terutama daripada segi penyelarasan jentera Honda. Tidak banyak yang boleh diperkatakan selagi mereka belum turun bersaing dalam perlumbaan.


“Setiap jentera dalam siri kejuaraan ini mempunyai kelebihan masing-masing, begitu juga dengan Honda dan apa yang boleh saya katakan, kami akan memberikan cabaran terbaik dan berusaha untuk menaiki podium,” katanya selepas majlis ringkas pelancaran pasukan Harian Metro Honda SCK Racing di Balai Berita, semalam.


Chee Kieong mempertaruhkan pengalaman Suhadi selaku juara kategori Expert pada 2006 untuk membantu dua muka lama dalam pasukan itu, Affendi dan Norizman dalam mencari penyelarasan terbaik kerana Suhadi cukup berpengalaman dalam bidang berkenaan.


Katanya, bagi musim ini, ketiga-tiga pelumbanya bakal mengibarkan cabaran dalam kategori CP130 dan Chee Kieong menganggap syarat baru berkenaan mampu menggegarkan arena perlumbaan cub prix negara dengan cabaran berbeza hadir daripada setiap jentera perlumbaan.


Katanya, syarat baru berkenaan mampu menghangatkan lagi cabaran dan memberi peluang kepada semua pasukan untuk menang berikutan tiada lagi status pelumba pilihan atau pasukan pilihan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: