Monday, March 15, 2010

Ramuan maut ‘profesor gila’

KUALA LUMPUR: Dia langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, jauh sekali menggenggam segulung ijazah, namun seorang warga emas berlagak ala profesor apabila dikesan merumus ribuan botol ubat sakit sendi dan pil rangsangan seks.

Kegiatan `profesor gila' itu cukup berbahaya berikutan kebanyakan ubat-ubatan dihasilkannya menggunakan resipi pelbagai campuran bahan kimia berbahaya yang boleh mengancam nyawa penghidap sakit sendi dan mati pucuk.


Hasil kegiatan haramnya, warga emas terbabit mampu memiliki rumah dan deretan kereta mewah, dipercayai hasil kegiatan menjual ubat beracun berkenaan.


Kegiatan lelaki berusia lewat 60-an itu terbongkar apabila sepasukan pegawai penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan menyerbu rumahnya di Sungai Petani, Kedah, semalam.


Dalam operasi jam 9.30 pagi itu, pegawai penguat kuasa farmasi melakukan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat selepas pemiliknya dikesan menjadi dalang penjualan pelbagai ubat-ubatan tradisional dan rangsangan seks.


Sumber penguat kuasa farmasi berkata, kediaman mewah yang dikawal beberapa anjing itu dikesan menjadi lokasi memproses dan mengilang pelbagai ubat-ubatan tradisional Cina yang sengaja dicampur bahan kimia berbahaya termasuk sildenafil dan steroid.


“Kedua-dua racun berbahaya itu boleh merosakkan sistem tubuh, mengakibatkan tulang reput selain mengancam nyawa orang ramai yang mengambilnya tanpa kawalan.


“Ramuan sulit lelaki itu dibongkar selepas pihak farmasi menjalankan siasatan rapi bagi mengesan `kilang' haram terbabit yang menjadi pengeluar utama ubat-ubatan berbahaya di pasaran tempatan,” katanya.


Menurutnya, ketika serbuan suspek sedang sibuk memasukkan cecair ubat-ubatan yang dirumusnya sendiri ke dalam botol kecil untuk dipasarkan.


“Ketika disoal siasat, suspek mulanya enggan mengaku menghasilkan sendiri ubat haram terbabit, sebaliknya mendakwa ia diimport dari China berdasarkan label pada botol. “Namun, penemuan pelbagai bahan mentah untuk membuat ubat-ubatan membuktikan segala-segalanya. Malah pegawai farmasi turut menemui pelekat hologram palsu kementerian yang ditampal pada kotak produk untuk mengelirukan pengguna,” katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat, lelaki itu mendakwa turut mengupah beberapa individu untuk membancuh ubat-ubatan haram terbabit.


“Malah, lelaki itu mengaku tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik dalam bidang perubatan atau menghasilkan ubat-ubatan tradisional. Semuanya dilakukan hasil kerja `suka-suka' selain berdasarkan maklumat dikumpulkan daripada rakan-rakan.


“Antara ubat-ubatan dirampas ialah pil ubat batuk cap Ibu, kapsul Renseng Du, kapsul Chu Fong Kee Sar dan pil ubat batuk yang semuanya menggunakan nombor pendaftaran MAL palsu dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM,” katanya.


Menurutnya, semua produk termasuk mesin yang digunakan untuk pengilangan haram itu bernilai hampir RM200,000 kemudian dirampas.


“Kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Disemak 1989) dan Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: