Tuesday, March 16, 2010

Ramlan ambil kulit mayat ibu jari untuk cari identiti


RAMLAN Din bersama motosikal berkuasa tinggi.


DI saat anak-anak remaja yang lain bersuka ria sambil mengayuh basikal dan bermain bola, namun bagi Ramlan Din, dia hanya mampu bermimpi sahaja. Dia terpaksa menemani ibunya mencari botol kosong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk mencari sesuap rezeki.

Apatah lagi setelah ketiadaan bapanya yang meninggal dunia di kala usianya masih kecil.

Botol-botol kosong itu akan dibawa pulang dan dicuci bersih sebelum dijual di hospital dan kedai runcit.

Begitulah susahnya kehidupan anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang, yang terpaksa ditempuh seawal usia 14 tahun.

Pemergian bapa Ramlan menandakan bermulalah episod kesusahan hidup mereka sekeluarga. Hanya empat ekor ikan digoreng pada satu-satu hari, itu pun kalau ada rezeki.

Ikan itu pula akan dikerat dua bagi membolehkan lapan adik beradik Ramlan berkongsi sama.

Peluang untuk makan daging dan ayam pula hanya dapat dirasai dua kali setahun, iaitu Hari Raja Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.

Tapi siapa sangka, kini Ramlan bergelar Sub Inspektor dan memegang jawatan sebagai orang nombor satu Balai Polis Bangi.

Peluang penulis bersua muka dan menemu bual Ramlan untuk ruangan Gaya Polis kali ini yang telah berkhidmat selama 33 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), disifatkan sebagai satu penghargaan dan tidak harus dilepaskan.

Ini kerana pengalaman dimiliki beliau amat berharga untuk dijadikan panduan bukan sahaja oleh penulis, malah setiap anggota polis yang baru berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.

Walaupun Ramlan, 52, mengabadikan lebih daripada separuh usianya dalam pasukan polis, segala pengalaman yang dikongsikan kepada penulis seolah-olah baru semalam berlaku.

Mengimbau kembali pengalaman beliau selama 18 tahun bertugas sebagai anggota trafik di Jalan Tun H.S. Lee, menjadikan Ramlan seorang insan yang begitu berani dalam menghadapi cabaran.

Manakan tidak, penulis sendiri terkejut mendengar kisah beliau menguruskan puluhan mayat pelbagai keadaan termasuk mayat yang tiada kepala dan hancur anggota badan akibat kemalangan.

Pengalaman mengutip cebisan otak yang hancur berkecai dan usus yang terkeluar pasti sesuatu lumrah kepada dirinya ketika bertugas di cawangan itu.

Ditanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan sejak penglibatannya dalam pasukan beruniform itu, anak kepada pasangan Allahyarham Din Md. Hashim dan Allahyarham Niah Man berkata, insiden itu berlaku ketika beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Balai Petaling.

Beliau menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang lelaki di sungai berhampiran. Lantas beliau ke lokasi kejadian. Keadaan mayat yang kembung, tidak sempurna dan ditambah pula tiada identiti menyebabkan polis sukar untuk mencari waris mangsa.

Apa yang jelas, tanggungjawab untuk menyelesaikan kes itu terletak pada bahu Ramlan. Apa pun adalah penting untuk mencari identiti mangsa terlebih dahulu.

Pemeriksaan cap jari pula menemui kegagalan apabila kulit mangsa menggelupas ekoran terlalu lama di dalam sungai.

Jadi Ramlan terpaksa menggunakan pendekatan tersendiri dengan mengambil kulit di kedua-dua ibu jari mangsa yang mengelupas dan 'dilekatkan' di jarinya sebelum dicap dan dihantar ke Jabatan Pendaftaran.

Menakjubkan, apabila beliau berjaya mengenal pasti identiti serta mencari waris mangsa dalam tempoh tiga hari sahaja.

Anak keenam daripada lapan adik beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Bayan Lepas dan kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Sungai Ara, tempat yang sama sehingga tingkatan lima sebelum menyertai PDRM pada 16 November 1977.

Beliau menemui pilihan hatinya, Zulaila Aminudin dan kini dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 tahun dan 10 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: