Tuesday, March 16, 2010

Maszaliza pindah rumah, diganggu mat rempit


BAHAGIA...Maszaliza bersama suami dan anak-anaknya selepas tamat latihan asas polis.


BANYAK cabaran yang terpaksa dilalui oleh pegawai trafik wanita apatah lagi memegang jawatan sebagai Pemangku Ketua Trafik Daerah Hulu Selangor. Dugaan paling kuat adalah apabila berhadapan dengan golongan mat rempit. Namun ia sedikit pun tidak menghalang Cif Inspektor Maszaliza Ibrahim, 32, melakukan yang terbaik dalam kerjayanya.

Malah wanita ini telah mula merasai tekanan tersebut apabila memasuki Cawangan Trafik Daerah Hulu Selangor sejurus selepas tamat kursus latihan asas polis di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak.

Cabaran dan kenangan pahit dilalui Maszaliza adalah apabila menerima panggilan selain khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah daripada individu yang tidak berpuas hati terhadap tindakan beliau.

"Bagi saya perkara itu bukanlah satu pengalaman yang hebat untuk dibandingkan dengan pegawai dan anggota lain yang berkhidmat lebih lama.

"Namun sedikit sebanyak kejadian seumpama itu mengganggu fikiran saya yang telah berkeluarga," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Selangor, baru-baru ini.

Dugaan itu diterima Maszaliza setiap kali beliau dan pasukan trafik Hulu Selangor mengadakan operasi membanteras gejala lumba haram.

"Setiap kali terlibat dalam operasi, pasti akan ada individu yang akan menghantar SMS atau membuat panggilan lucah kepada saya.

"Saya tidak tahu daripada mana mereka mendapat nombor telefon saya," ujarnya.

Walaupun pernah terasa seperti dicabar dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu namun beliau tidak sesekali melayannya.

Baginya perkara itu dilakukan bagi melemahkan dirinya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai trafik.

"Nasib baiklah suami saya iaitu Zaihisham Zainal Amdulok, 33, sentiasa membakar semangat saya dan meminta saya tidak gentar dengan tohmahan itu.

"Malah dia juga tidak cepat melatah serta tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan membalas SMS tersebut," jelasnya.

Meskipun begitu, beliau tidak pernah menukar nombor sehinggalah telefon bimbitnya itu hilang.

Namun begitu peristiwa itu berulang lagi apabila beliau menggunakan nombor telefon baru.

Selain Maszaliza, keluarganya juga turut diganggu dengan bunyi bising dari motosikal mat rempit ketika mereka menetap di Batang Kali.

Kumpulan berkenaan bukan setakat berlumba sambil membuat bising di hadapan rumahnya malah turut melakukan aksi-aksi bermotosikal yang berbahaya.

Berikutan gangguan itu, beliau sekeluarga terpaksa berpindah ke Kuala Kubu Bharu.

Kejadian yang berlaku di Batang Kali juga dikatakan sebagai kemuncak gangguan yang dialaminya.

Maszaliza memberitahu, beliau mempelajari banyak ilmu untuk menjadi pegawai trafik yang baik daripada dua bekas ketuanya iaitu Supritendan Che Hussin Omar iaitu Ketua Trafik Selangor ketika ini dan Deputi Supritendan Zaldino Zaludin.

Jawatan yang di pangku beliau ketika ini merupakan amanah yang diberikan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya sebelum dihantar pengganti daripada pihak atasan.

Maszaliza yang dilahirkan di Besut, Terengganu merupakan anak ketiga daripada enam beradik.

Beliau memulakan pengajian awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim di Setiu.

Sebelum menamatkan sepenuhnya pembelajaran di sekolah, beliau telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di SMK Gong Nering sebelum diterima sebagai anggota polis.

Sebelum berkhidmat sebagai anggota polis, cinta yang berputik antara beliau dengan suaminya telah membawa mereka ke jinjang pelamin pada 4 Ogos 1998.

Hasil perkahwinan itu pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua putera dan seorang puteri yang berusia antara tiga dan 11 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: