
PELUMBA sensasi negara, Anuar Manan kini hanya selangkah untuk sekali lagi melakar sejarah pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).
Selepas mencipta sejarah dengan menjuarai perlumbaan peringkat kelima LTdL 2010 dari Muar, Johor ke Port Dickson, Negeri Sembilan kelmarin, Anuar kini tampil untuk merealisasikan misi keduanya iaitu mempertahan Jersi Hijau selaku Raja Pecut pada peringkat terakhir dari Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.
Pelumba pasukan Geumsan Ginseng Asia itu masih memegang status Raja Pecut LTdL 2010 dengan 91 mata, sembilan mata di hadapan pencabar terdekatnya dari Australia, Michael Matthews yang mewakili pasukan Jayco Skins.
Biarpun yakin dengan kemampuannya mempertahankan Jersi Hijau sehingga perlumbaan terakhir edisi ke-15 hari ini, Anuar, 24, tetap enggan berasa selesa.
"Memang misi utama saya tahun ini ialah memenangi satu peringkat perlumbaan dan Jersi Hijau. Satu daripadanya telah tercapai dan kali ini, saya berazam untuk merealisasikan misi kedua saya pula.
"Tumpuan saya hanya terhadapnya (Matthews) dan saya tidak boleh biar dia mengutip mata.
"Sekiranya dia mengutip mata pada tiga zon pecutan esok (hari ini), saya juga kena mengutip mata pada tiga zon pecutan tersebut," kata Anuar selepas menamatkan peringkat keenam dari Putrajaya ke Genting Highlands di tempat ke-77 semalam.
![]() |
| MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyarungkan Jersi Hijau kepada Anuar selepas tamat peringkat keenam LTdL 2010 di Genting Highlands semalam. |
Menurut Anuar, laluan landai pada saingan sejauh 133.7 kilometer hari ini memberi sedikit kelebihan kepadanya.
"Pada saingan hari ini (semalam) saya lebih suka menyimpan tenaga untuk perlumbaan esok (hari ini) kerana laluan pendakian bukan kemahiran saya.
"Laluan pada saingan terakhir esok (hari ini) kebanyakannya laluan landai dan rata, jadi ia mungkin memberi saya kelebihan.
"Namun saya harus lebih berwaspada pada perlumbaan esok (hari ini) dan perlu pastikan yang saya berada dalam keadaan terbaik.
"Saya mahu mencapai misi utama saya iaitu menjadi pelumba negara memenangi Jersi Hijau dalam kejohanan LTdL," kata Anuar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: