Wednesday, March 10, 2010

Penyamun sasar rumah pelajar pulang sekolah

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini penjenayah dikesan mengekori kereta mewah untuk menyamun mangsa kini muncul pula taktik terbaru apabila sekumpulan perompak mengekori bas sekolah untuk merompak rumah murid yang baru tiba dari sekolah.

Penjenayah bermotosikal terbabit yang bersenjatakan parang sengaja menunggu peluang apabila mangsa yang juga murid sekolah mengetuk dan membuka pintu sebelum suspek meluru masuk ke dalam rumah untuk menyamun penghuni kediaman.


Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, dua penjenayah yang menaiki motosikal mengekori sebuah bas sekolah yang membawa sekumpulan murid untuk dihantar pulang ke rumah masing-masing.


Sumber polis berkata, ketika kejadian, bas terbabit menurunkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun di hadapan rumahnya di Taman Salak South, di sini.


“Mangsa yang turun dari bas sekolah kemudian berjalan menuju ke pintu pagar rumah teresnya sebelum mengetuk pintu. “Beberapa minit kemudian, pintu rumah terbabit dibuka datuk mangsa berusia 60-an yang berada di dalam rumah bersendirian.


“Sebaik mendapati pintu rumah itu dibuka, suspek terus meluru masuk ke dalam rumah sebelum mengacukan parang ke arah warga emas dan cucunya itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan diarahkan tidak melawan sebelum diikat penjenayah menggunakan tali.


“Suspek mengheret mangsa ke dapur sebelum ditinggalkan di ruangan terbabit. “Sementara itu, dua penjenayah terbabit menggeledah rumah sebelum mengambil barang kemas dan wang tunai.


“Suspek yang berada dalam rumah berkenaan lebih 10 minit melarikan diri dengan membawa barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan lebih RM20,000,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang diikat berjaya mengurai jerutan tali sebelum menghubungi polis.


“Susulan laporan mangsa, polis cuba mengesan penjenayah yang dipercayai gemar melakukan samun dan ragut di kawasan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: