Thursday, March 18, 2010

Penghargaan Lis untuk seniman agung


RUSDI Ramli dan Sazzy Falak memegang watak sebagai suami isteri dalam drama Pabila Larut Malam yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini. Di tengah pula merupakan anak kedua Melissa Saila, Zain yang menjadi anak kepada Rusdi dan Sazzy. dalam drama ini.


SESUDAH mengarahkan drama pertamanya, Rompakan Kabinet yang pernah disiarkan di Astro Ria sedikit masa lalu, Melissa Saila kini tampil dengan buah tangan keduanya.

Kali ini, Melissa atau lebih mesra disapa Lis mempertaruhkan sebuah drama yang jauh berbeza dengan apa yang ditampilkan menerusi Rompakan Kabinet.

Dengan mengambil judul Pabila Larut Malam, tiada lain buat Lis adalah untuk menghargai kedua bapa dan ibu saudaranya iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma yang dipanggil daddy dan mama oleh Lis.

Apatah lagi dengan sambutan hari lahir P. Ramlee yang jatuh pada 22 Mac ini, Lis berpendapat drama ini diterbitkan tepat pada waktunya.

Bakal bersiaran pada Ahad ini (21 Mac) di saluran Astro Prima (saluran 105, Astro) pukul 10.30 malam, tiada lain yang Lis harapkan melainkan drama kedua arahannya itu mampu memberi satu santapan baru buat penonton tempatan.

"Bagi saya, produksi kali ini memberi erti yang cukup besar dan bermakna sekali apabila mereka yang terlibat semuanya mempunyai kaitan secara langsung dan tidak dengan P. Ramlee.

"Lantaran itu, saya merasakan Pabila Larut Malam merupakan sebuah karya yang begitu dekat dengan saya serta ahli keluarga yang lain.

"Bukan itu sahaja, saya juga mengharapkan penonton akan dapat merasakan perasaan yang sama apabila menontonnya kelak," ujar Lis ketika dihubungi Hits baru-baru ini.

Pabila Larut Malam yang diterbitkan oleh syarikat milik Lis, Kus Semangat Aktor Sdn. Bhd., menampilkan Rusdi Ramli dan Sazzy Falak sebagai teraju utama.

Dalam drama tersebut, mereka berdua memegang watak sebagai Liyas dan Mariam di samping pelakon-pelakon lain seperti Khir Rahman, Dian P. Ramlee, Rozita Rohaizad dan ramai lagi.

Seperti mana kata Lis, drama ini menghimpunkan individu yang mempunyai sejarah dan hubungan dengan kehidupan P. Ramlee

Lis sendiri selaku pengarah drama ini merupakan anak saudara kepada seniman dan biduanita negara itu selain kakaknya, Rozita yang turut berlakon serta menyumbang nyanyiannya untuk watak Sazzy.

Ini termasuklah anak angkat seniman agung itu sendiri, Dian yang memegang watak sebagai ibu Liyas.

Tidak cukup dengan itu, seorang lagi kakaknya, Shashah turut terlibat sebagai pereka kostum selain anak-anak saudaranya yang menjadi penari untuk beberapa adegan dalam drama ini.

Bercerita tentang konsep penceritaan drama semi muzikal dan komedi ini, aktres filem Ranjau Sepanjang Jalan dan Main-Main Hantu ini memberitahu idea adalah daripada suaminya, Megat Fauzi yang mengambil inspirasi daripada jalan cerita lagu Bila Larut Malam.

"Daripada situ, kami mengolah liriknya dan menjadikannya sebagai sebuah jalan cerita yang saya percaya mampu menarik perhatian penonton kelak.

"Drama ini turut menyelitkan beberapa buah lagu nyanyian daddy dan mama sekali gus dapat mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan mereka ketika itu," jelas Lisi.

Menjalani penggambaran di Janda Baik, Pahang, Lis tidak menafikan cabaran dalam menghasilkan drama bercorak period ini menuntut kesabaran yang tinggi.

Mengenai pemilihan Janda Baik sebagai lokasi, sebilangan rumah dan bangunan yang ada di kawasan persekitaran amat bertepatan dengan konsep serta suasana yang dapat menghidupkan zaman 50-an.

"Saya perlu memastikan bahawa saya tidak terlepas pandang dari sudut kesinambungan serta memantau gerak kamera yang merakamkan sebarang reka bentuk moden yang ada di situ.

"Selain itu, saya perlu menjaga dari segi suntingan bunyi kerana tidak mahu bunyi-bunyi yang tidak berkaitan masuk dalam drama ini yang akan menyebabkan kesinambungannya terjejas.

"Memang saya akui agak tertekan sedikit dengan penghasilan drama ini.

"Mujurlah dengan komitmen semua pihak saya dapat mengharungi cabaran itu dengan baik," katanya yang sudah mempunyai idea untuk drama ketiganya.

Mengenai pemilihan Rusdi dan Sazzy pula, memang pihaknya meletakkan nama Rusdi sebagai pilihan pertama kerana watak Liyas memang dicipta khas buat aktor pujaan ramai itu.

Tetapi, Lis tidak dapat menyembunyikan kerisauannya apabila Rusdi hampir tidak dapat terlibat dalam produksinya kerana kesibukan serta komitmen seninya yang lain.

Namun, segalan kerisauan itu bertukar gembira apabila Rusdi berjaya mengatur jadualnya dengan baik lalu dapat melibatkan diri dalam drama ini.

"Lagipun, bapa Rusdi sendiri pernah menjadi pembantu peribadi kepada P. Ramlee dan kerana itu, Rusdi berusaha untuk melibatkan diri dalam Pabila Larut Malam.

"Mengenai Sazzy pula, saya memang mahukan seorang pelakon yang jarang muncul di kaca televisyen selain mempunyai bakat berlakon, menari serta memiliki humor tersendiri.

"Semua itu saya nampak dalam diri Sazzy dan saya mahu memberi peluang kepadanya selain mahu mengikis stigma masyarakat terhadap dirinya yang hanya layak berlakon dalam drama urban.

"Sazzy berjaya melakonkan watak Mariam dengan baik seperti mana yang saya mahukan," kata Lis memuji lakonan Sazzy yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006) itu.

Buat peminat setia P. Ramlee dan Saloma, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton Pabila Larut Malam yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini (Ahad) secara eksklusif di Astro Prima (saluran 105, Astro) pukul 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: