Thursday, March 18, 2010

Nostalgia Sri Mersing


SRI Mersing (kiri) lakonan Elly Mazlein dan Damak (Adi Putra) ketika pementasan Sri Mersing di Istana Budaya.


LONTARAN dialog klasik oleh Allahyarham seniman Nordin Ahmad berbunyi ‘kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu’ sekitar 50 tahun lalu sememangnya masih diingati sehingga kini.

Diungkapkan menerusi filem Sri Mersing arahan Allahyarham Salleh Ghani, dialog penuh emosi itu cukup dikagumi oleh segenap penggemar filem Melayu sehinggakan ia tetap segar biarpun sudah berpuluh tahun berlalu.

Begitulah penangan keasyikan, penghayatan dan kuatnya emosi yang dibawakan oleh Allahyarham seniman itu yang boleh dikatakan cukup sinonim dengan filem-filem Melayu klasik.

Kini, selepas 50 tahun usianya, filem klasik tersebut ‘dihidupkan’ semula apabila dipersembahkan dalam bentuk teater berjudul Sri Mersing.

Menariknya, ia membawa kembali dua bintang yang pernah menjadi antara ‘penggerak’ menghidupkan filem Sri Mersing pada 1960 dahulu.

Mereka adalah Datuk Mustapha Maarof dan Datin Rosnani Jamil.

A. Galak turut ditampilkan dalam teater Sri Mersing. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa A. Galak juga pernah beraksi di dalam filem itu.

Bukan bertindak dalam senarai pelakon, tetapi A. Galak muncul untuk seketika sebagai penari zapin.

Meski 'dizahirkan' dalam bentuk pementasan teater yang menyelusuri sembilan babak, teater Sri Mersing bagaimanapun mengalami 30 peratus penambahan cerita berbanding apa yang dipaparkan di dalam filem asal cerita itu.

Kata Pengarahnya, Rosdeen Suboh, penambahan itu membabitkan watak Merah iaitu anak kepada Damak yang singgah ke bumi Mersing ketika dalam perjalanan ke Pahang dari Riau untuk mencari kepastian cerita tentang bapanya.

''Kami juga memaparkan watak Sri Mersing di usia tua yang tidak berkahwin kerana cintanya setia terhadap Damak.

''Meski ada penambahan, jalan cerita asal yang diterbitkan dalam filem dipaparkan. Cuma, ia diubah kepada dialog yang bertepatan dengan konsep teater,'' ujarnya ketika ditemui di Istana Budaya, baru-baru ini.

Bagi pementasan teater Sri Mersing, Mustapha memegang watak sebagai Pak Sireh, Rosnani (Sri Mersing tua) dan A. Galak (Pak Malau).

Barisan pelakon lain adalah Adi Putra selaku Damak, Elly Mazlein (Sri Mersing muda), Abd. Mutaliff (Deli), Azizah Mahzan (Mak Dara), Yus Raja Lawak (Awang Sulong), Jeff Sepah (Jalak Lenteng), Melissa Saila (Siantan) dan Mardiana Alwi (Siti Payung).

Memeriahkan lagi pementasan, Rusdi Ramli diberi peranan sebagai Bentayan, Abu Bakar Juah (Penghulu), Hairi Anak Wayang (Merah), Leez AF (Sri Melati) serta Shuib Sepah (Tambak).

Watak Mak Tanjung pula dipegang oleh Rozilawati Abd. Rahim manakala Bohari Ibrahim (Tok Batin), Othman Jupri (Penghulu Lanchang Kuning), Mohd. Nor Fatih (Orang Kaya), Abu Bakar Sulaiman (Pak Rabu), Natasyhra Shafira (Anak Pak Rabu), Siti Norhabsah (Mak Banang).

Menyambung perbualan, jelas Rosdeen, komitmen barisan pelakon terhadap pementasan Sri Mersing dilihat cukup baik biarpun 80 peratus daripada mereka tidak memiliki asas lakonan teater sebelum ini.

Mengakui agak sukar untuk berhadapan dengan mereka yang 'kosong' dalam lakonan teater, jelasnya, ia diatasi dengan cara menguatkan sesi latihan di samping sentiasa melakukan perbincangan.

''Sesi latihan juga terpaksa digandakan dan alhamdulillah, mereka dapat menghayati watak yang diberikan.

''Bagi A. Galak, ini adalah teater pertama yang membabitkannya. Walaupun sedemikian, pengalaman lakonannya turut membantu.

''Begitu juga Elly. Saya amat berpuas hati dengan lakonannya yang cukup berkesan. Elly tidak pernah 'ponteng' semasa sesi latihan,'' ujarnya.

Berkenaan babak pergaduhan pula, Rosdeen berkata, ia dilakukan dengan menggunakan senjata seperti tombak dan parang yang betul dan bukannya mainan.

Ditanya mengenai babak pergaduhan membabitkan Damak dan Awang Sulong yang dilihat kurang berkesan, jelas Rosdeen, pementasan Sri Mersing memakan masa dan memerlukan babak yang perlu diringkaskan.

Jelasnya, ada dua babak pergaduhan yang telah dipotong agar Sri Mersing nampak lebih padat.

''Tentang pergaduhan, tenaga pelakon perlu dijaga kerana bimbang mereka akan letih. Adi Putra contohnya perlukan tenaga yang cukup untuk melakonkan babak bergaduh dan dia juga perlu menyanyi,'' jelas Rosdeen.

Teater Sri Mersing dipentaskan bermula 12 Mac lalu sehingga 21 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).

Pementasan teater Sri Mersing membabitkan Megat Mohd. Noor Salleh Ghani selaku Penerbit Eksekutif, Amir Zainudin (Penerbit), Hairul Anuar Harun (Penulis Skrip), Irwan Ismadi Shahrin (Pengarah Artistik), Zulkifly Bahrom (Penasihat Persembahan), Nik Nizam (Pengarah Muzik) dan On Jaafar (Pereka Tari) yang dibantu oleh Abdul Mutalif.

Barisan 'tulang belakang' teater juga dibarisi Dino sebagai Pereka Busana, Taiyuddin Bakar (Penolong Pengarah), Dale Majid (Pengurus Produksi), Kit (Pengurus Publisiti), Razali Itam (Pereka Set), Adam (Pereka Penata Bunyi), Jai (Penata Cahaya) dan Danny Hoo (Visual).

Azizah Mahzan 'bunuh' watak utama?

Sementara itu, pementasan Sri Mersing melihatkan watak Mak Dara lakonan Azizah Mahzan boleh dikatakan seakan 'membunuh' watak-watak yang mewarnai teater tersebut.

Dengan lakonan bersahaja, Azizah Mahzan diakui seorang pelakon yang cukup bertenaga dan tidak mengecewakan ketika di pentas teater.

Memberi maklum balas mengenai situasi tersebut, Rosdeen secara jujur mengakui akan perkara berkenaan.

''Watak Mak Dara memang akan jadi 'pembunuh'. Tetapi, ia menjadi penghidup yang mewarnai kepada keseluruhan teater.

''Teater sebegini tidak boleh semuanya serius dan memerlukan watak sampingan yang kuat sebagai daya tarikan,'' tambahnya.

Tiket-tiket menyaksikan persembahan Sri Mersing dijual dari RM20 sehingga RM150. Sebarang tempahan dan maklumat boleh diperoleh dengan melayari www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: