Wednesday, March 3, 2010

'Panggil saya Kat saja'

SUATU ketika selepas selesainya program Mentor 2, Siti Khatijah Hassan atau Kat pernah membuat percubaan menghasilkan single berjudul Chiki bersama sebuah video muzik, namun usahanya tidak begitu mendapat perhatian.

pix_middle



Namanya seakan-akan suram dan kurang menjadi perhatian. Kini sesudah hampir dua tahun terasing daripada publisiti media, Kat kembali dengan semangat baru untuk menggegarkan persada seni.


Lihat saja aksinya dalam Rap hari ini sebagai bukti kebangkitan semula Kat.


Pada pertemuan dengan Rap, Ahad lalu, Kat muncul bersama pengurusnya, Chris sambil menunjukkan koleksi foto yang menarik dan seksi, diambil bagi koleksi terbaru pereka tempatan, Wanpa.


Perbualan dengan Kat dimulai dengan menjurus kepada topik misteri kehilangannya.


Jelas rumusan daripada setiap inci perbualan bersama anak jati Pulau Pinang ini menggambarkan dia tidak pernah patah semangat.

"Saya tidak hilang ke mana pun, cuma kurang bergiat dalam arena arus perdana. Kelakar dan terkejut juga apabila ada peminat bertanya, apakah saya sudah berkahwin memandangkan sudah lama tidak mendengar publisiti mengenai saya.


"Terus-terang, saya menyepi bukan kerana berkahwin. Saya masih solo. Apapun tanggapan orang, saya menilai semuanya dari sudut positif.


"Selain mengamatinya dengan penuh rasa syukur kerana tidak sangka masih ada yang sudi mengambil berat mengenai saya," katanya.


Kat akui dia masih aktif menyanyi dan sering membuat persembahan di kelab dan majlis tertutup terutama di Pulau Mutiara.


Bagaimanapun, sukar untuknya mengembangkan bakat di arus perdana jika bergerak sendirian tanpa bantuan mereka yang berpengalaman.


"Sekarang segalanya lebih mudah apabila saya bertemu dengan Chris yang bertindak sebagai pengurus saya dan dia juga ada pengalaman menguruskan artis terkenal sebelum ini.


"Saya kenal Chris melalui Mas Anizah (pengurus Izwan Pilus). Saya mulanya minta Kak Mas menguruskan saya, tetapi saya faham sukar untuknya menguruskan dua artis sekali gus.


"Lalu Kak Mas perkenalkan saya kepada Chris. Pertama kali jumpa, saya dapat rasakan kami ada keserasian. Dalam masa yang singkat juga Chris dah berjaya dapatkan saya 'job' baru dan alhamdulillah, saya makin bersemangat untuk terus menyanyi," katanya.


Chris yang turut berada di sisi Kat berkata, sebelum bertemu dengan Kat, dia sempat menonton video muzik Chiki dan terfikir kenapa gadis secantik dan berbakat besar seperti Kat sukar diketengahkan.


"Saya rasa ruginya kalau tidak cuba ketengahkan Kat. Dia cantik dan berbakat. Sepanjang menguruskan Kat, saya lihat dia ada kelebihan dari segi penguasaan pentas.

"Dia bijak berinteraksi dengan penonton dan persembahannya bertenaga. Mungkin sebelum ini Kat tidak begitu menyerlah kerana kurang sokongan.


"Sebagai orang baru Kat perlukan pengurus untuk membantunya membina 'contact' dengan banyak pihak seperti media dan orang dalam industri, termasuk merencanakan karier seninya.


"Dia juga perlukan sokongan daripada mereka yang berpengalaman sekali gus membantu mengetengahkan namanya. Melihatkan Kat ada banyak potensi, saya terus bersetuju jadi pengurusnya," jelas Chris.


Sebagai langkah permulaan, selain membiasakan diri membuat persembahan di tempat terbuka, Kat juga dalam perancangan menghasilkan single terbaru.


Memilih jalur muzik pop dance, Kat juga mahu nyanyiannya dironai dengan pelbagai karakter muzik seperti balada dan rock.


"Saya mahu dikenali sebagai penyanyi yang 'versatile' yakni tidak terikat dengan satu-satu konsep saja walaupun 'dance pop' akan menjadi teras muzik pilihan saya.


"Selera penonton berbeza-beza. Biasanya dalam persembahan yang saya jayakan ada juga penonton yang mahukan lagu dangdut dan lagu asli.


"Justeru, jika seorang penyanyi itu dapat menguasai semua jenis lagu itu lebih bagus," katanya.


Jika single Chiki menampilkan Edrie Hashim sebagai komposer, sempena penjenamaan baru Kat, dia mahu menimba pengalaman bekerjasama dengan komposer berbeza pula.


Namun, dia belum sedia berkongsi siapa penulis lagu hebat yang bakal menerbit single terbarunya itu kerana ia masih di peringkat perbincangan.


"Untuk kemunculan semula ini saya juga mahu dikenali sebagai Kat bukan lagi Kat Mentor. Kalau sebut Kat dari program Mentor itu dah OK bagi saya.


"Bukannya hendak menidakkan hakikat program Mentor melonjakkan nama saya sebaliknya berasakan penggunaan Kat itu lebih meluas.


"Saya mahu melebarkan karier muzik sejauh mana yang boleh. Takkan selamanya saya kena jadi Kat Mentor," katanya.


Melihat gayanya yang seksi, Kat berkata dia suka berfesyen mengikut keselesaan dirinya sendiri sambil menyokong jenama Wanpa.


"Selepas melihat saya di sebuah majlis, Wanpa terus menghubungi Chris dan menyatakan hasrat untuk menjadikan saya sebagai model bagi koleksi terbarunya.


"Saya melihat ini sebagai peluang keemasan selepas agak lama menyepi dan sebagai model, saya sudi pakai apa baju yang yang suka.


"Saya tidak rasa gambar itu seksi sangat sebabnya walaupun baju itu singkat, saya masih memakai seluar pendek di dalam.


"Apapun saya ingin ucap terima kasih kepada Wanpa kerana kepercayaan yang diberikan kepada saya.


"Memeriahkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009), Wanpa sekali lagi memilih saya untuk memperagakan rekaannya," kata Kat.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Siti Khatijah Hassan

NAMA KOMERSIAL: Kat

TARIKH LAHIR: 14 Mei 1987

USIA: 23 tahun

TEMPAT LAHIR: Pulau Pinang

BINTANG: Gemini

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

PROFESION: Penyanyi

STATUS: Bujang

SINGLE:
Chiki

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: