![]() |
| WILLIAM Lee bersama produk edaran Prinsip Cergas di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR 14 Mac - Prinsip Cergas merupakan sebuah syarikat pembekal peralatan pembelajaran menggunakan teknologi dari United Kingdom (UK) yang membantu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui pendekatan lebih interaktif.
Pengurus Besar (Bahagian ICT), William Lee berkata, papan putih interaktif yang dipasarkannya bertujuan menggantikan penggunaan papan hitam dan kapur, seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Menurut beliau, produk utama yang diedarkan oleh Prinsip Cergas ialah Promethean Activboard iaitu papan putih yang dilengkapi dengan projektor, speaker dan perisian Activinspire Studio serta pelbagai perkakasan sampingan yang digunakan bagi memudahkan serta menambahkan lagi keseronokan proses pembelajaran.
"Kami yakin penggunaan alat bantuan mengajar berkenaan dalam proses P&P amat penting dan berkesan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambahnya, syarikat ini juga menyediakan latihan bagi tenaga pengajar untuk membiasakan diri dengan alat berkenaan selain mementingkan perkhidmatan selepas jualan.
Menurutnya, alat bantuan mengajar tersebut masih baru di negara ini tetapi ia telah digunakan di lebih 80 buah negara oleh lebih tiga juta pelajar.
''Antara institusi yang telah menggunakan alat tersebut ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), beberapa politeknik tempatan, Sekolah Seri Cempaka, Sekolah Seri Puteri, SMK Putrajaya Presint 8, SK Putrajaya Presint 9, Alice Smith International School dan Royal Military College (RMC)," jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar semua sekolah di negara ini akan memiliki alat berkenaan dalam setiap kelas pada masa hadapan kerana penggunaannya sangat bersesuaian dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di negara ini.
''Kami juga mengharapkan agar kerajaan dapat melihat dengan lebih teliti tentang kesesuaian penggunaan alat ini dalam bidang pendidikan negara sejajar dengan perkembangan teknologi dunia pada masa kini," jelas William.
Selain Promethean Activboard, syarikat ini turut membekalkan alat pencetakan 3 Dimensi (3D) berwarna, ZPrinter keluaran Z Corporation bagi menghasilkan arca atau reka bentuk sebenar yang sesuai untuk pembelajaran dalam bidang teknikal.
Maklumat lanjut mengenai produk yang dibekalkan syarikat tersebut boleh melayari laman sesawang www.prometheanplanet.com dan www.zcorp.com - Syarikat ini telah menyatakan komitmen kepada Hari Guru 2010 dengan menyertai Festival Hari Guru 2010 di Kuantan pada 13 hingga 16 Mei ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: