Friday, March 5, 2010

One Nation Emcees Teruja Duet Dengan Inul Daratista

Biarpun baru setahun jagung menapak dalam industri, dan masih belum mengecapi populariti di kalangan peminat muzik tanah air, namun juara Gang Starz musim dua, One Nation Emcees berjaya membuka mata penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista. Yang lebih membanggakan, Inul sendiri melamar kumpulan ini dan menyatakan keinginannya untuk berduet bersama.

"Kami difahamkan Inul berminat setelah melihat sendiri nyanyian kami berjudul Raja Gelek di You Tube dan suarakan keinginannya untuk berduet. Kemungkinan besar kami akan berduet untuk lagu Kerna Uang bersama Inul. Lirik lagu ini kami cipta sendiri.

"Peluang ini datang terlalu cepat di kala kami masih baru dan menyebabkan kami agak takut dan tak yakin untuk berduet dengan bintang besar sepertinya. Namun ia merupakan penghargaan besar kerana kehadiran kami dalam industri ini tidak sia-sia," ujar Mimi mewakili anggotanya yang lain.

Nafi Tiru Black Eyed Peas

Mengakui konsep yang cuba ditonjolkan One Nation Emcees sangat berbeza daripada apa yang ditawarkan artis di Malaysia. Kumpulan yang dianggotai Mimi, Jojoe, Kozae dan Zydee ini berbangga kerana berjaya menampilkan kelainan pada penampilan dan konsep mereka.

"Tak ada artis lain di Malaysia yang sama seperti kami dan susah untuk buat perbandingan kerana konsep kami sangat berbeza daripada The Fabolous Cats dan Ahli Fiqir. Ada juga yang menyamakan kami dengan Black Eyed Peas (BEP) dan kami anggap itu satu penghormatan.

"Mungkin ada persamaan dengan BEP berdasarkan kepada gaya yang kami tonjolkan. Namun muzik kami berbeza kerana mereka lebih kepada futuristik. Dan jika ada yang kata kami tiru BEP memang tak munasabah kerana mereka menyanyi dan rap dalam Bahasa Inggeris, kami pula gunakan Bahasa Melayu," ujar Mimi ringkas.

One Nation Emcees pernah dikritik kerana dikatakan perasan bagus semasa berada di atas pentas. Apa komen mereka?

"Memang diakui kami poyo di atas stage tapi bila tak membuat persembahan, kami biasa-biasa saja. Kami masih tegur orang lain. Cuma kami tanamkan attitude perasan bagus sebab tak mahu ada orang lain alihkan perhatian semasa show. Kalau boleh biarlah spotlight itu hanya untuk One Nation Emcees," tambah mereka yang akan ke Singapura dalam rangka promosi album terbaru.

One Nation Emcees kini muncul dengan album sulung mereka yang memuatkan enam buah lagu termasuk lagu tema untuk Piala Dunia 2010, Laungkan. Lagu Apa Ku Kisah akan menjadi taruhan empat anak muda ini untuk terus bertahan dalam industri tanah air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: