![]() |
| BIARPUN berlainan generasi, namun Aznil tidak lokek berkongsi pengalaman dan nasihat dengan Jimmy.. |
NAMA pengacara tersohor ini kembali menjadi sebutan menjelang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) yang akan membuka tirainya minggu depan.
Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, nama Aznil Nawawi sudah mula dicanangkan apabila AC Mizal mengumumkan pengundurannya daripada menjadi pengacara konsert mingguan.
Maka ramai yang menaruh harapan untuk melihat Aznil kembali mengendalikan rancangan realiti televisyen nombor satu negara itu.
Sementelah AF berjaya meletakkan namanya di puncak selama lima musim.
Bukan sekadar posisi pengacara, namanya juga disebut-sebut sebagai salah seorang calon kerusi pengetua AF8.
Tetapi, semua telahan itu silap apabila Astro mengumumkan secara rasmi siapakah individu yang akan memegang portfolio ‘panas’ itu.
Biarpun begitu, hanya ada satu lagi posisi yang belum diisi dan kedudukan itu juga bukanlah sembarangan iaitu pengkritik tetap AF8.
Sekali lagi, nama Aznil diletakkan di senarai teratas apabila dia dikatakan akan menduduki tempat yang sebelum ini dipegang oleh Kudsia Kahar, Adlin Aman Ramlie, Fauziah Ahmad Daud, Ning Baizura dan Edrie Hashim itu.
Kalaulah Aznil kembali ke gelanggang AF sebagai pengkritik tetap musim ini, ia merupakan khabar paling gembira buat peminatnya dan pengikut setia AF.
Namun, Aznil lebih selesa untuk mengambil sikap berdiam diri biarpun berkali-kali diasak dengan pertanyaan sewaktu menjalani sesi fotografi bersama Jimmy Shanley baru-baru ini..
Sebetulnya, sehingga kini, tiada sebarang tawaran rasmi daripada Astro buat Aznil. Namun beliau mengakui, sudah ada perbincangan antara kedua-dua belah pihak.
Sebagai orang lama dalam akademi seni itu, Aznil juga tidak teragak-agak mengesahkan penyertaannya sebagai pengkritik tetap AF8 sebaik menerima tawaran itu.
“Sebagai pengkritik tetap, saya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu para pelajar membina keyakinan diri mereka untuk bergelar penghibur.
“Saya tidak akan menyentuh aspek teknikal kerana akan ada individu yang lebih layak untuk memperkatakan tentang soal itu.
“Cuma, saya mahu berkongsi dengan para pelajar pengalaman yang telah saya timba dan perolehi sepanjang dua dekad bergelumang dalam industri,” kata Aznil memberikan jawapannya terhadap khabar angin yang sedang bertiup kencang buat masa ini.
Kalau benar sekali pun Aznil sudah sah menjadi pengkritik tetap, pastinya ia merupakan satu rahsia besar yang hanya dapat dibongkar pada konsert mingguan AF8 pertama pada 20 Mac ini.
Malah, dengan penuh jujur anak jati Kuala Lumpur ini memberitahu, dia rela menjadi pengkritik tetap daripada kembali sebagai pengacara.
Bukan mahu mendabik dada dan bersikap angkuh, tetapi jelasnya, dia mahu muka baru dan segar diberi peluang untuk mengendalikan AF8.
Aznil merupakan orang paling gembira apabila Jimmy diumumkan sebagai salah seorang pengacara AF8.
Sebagai seorang yang realistik, Aznil berpendapat, jika dia terus bergelar pengacara AF, barangkali rancangan akan menjadi statik.
“Saya sudah tua. Keadaan tidak akan sama seandainya saya meneruskan tugas sebagai pengacara.
“AF semakin membesar dan ia perlu bergerak seiring dengan perubahan masa kini.
“Jadi, apabila Jimmy digandingkan dengan Sarimah Ibrahim untuk konsert mingguan, saya sudah nampak perubahan yang akan berlaku,” ujar personaliti kebanggaan ramai ini.
Ditanya tentang kredibiliti Jimmy untuk menghangatkan kembali populariti AF, Aznil yang juga penyampai radio Era tanpa ragu-ragu yakin dengan kemampuan Jimmy untuk mengendalikan konsert mingguan dan Diari AF.
Jelasnya, sepanjang tujuh musim AF bersiaran, Aznil melihat jiwa Jimmy telah dicurahkan sepenuhnya untuk sewaktu mengendalikan Trek Selebriti AF dari uji bakat sehinggalah pasca rancangan tersebut.
“Itu kelebihan yang ada pada Jimmy kerana dia lebih mengenali para pelajar daripada saya sendiri sewaktu menjadi pengacara untuk lima musim.
“Lagipun, sudah tujuh tahun dia mengendalikan rancangan berbentuk rakaman. Inilah masanya dia perlu membuktikan kemampuannya mengacarakan rancangan siaran langsung pula,” jelasnya memuji Jimmy.
Malah, Aznil juga melihat Jimmy seperti dirinya satu ketika dulu apabila diberi peluang mengendalikan Anugerah Juara Lagu pada tahun 1993.
Kerana kata Aznil yang juga pengacara rancangan Jangan Lupa Lirik! itu juga, ketika itulah pertama kali dia diberi peluang mengendalikan rancangan siaran langsung.
“Pada masa yang sama, Jimmy harus belajar untuk menjadi lebih spontan dan peka untuk berdepan dengan segala kemungkinan sepanjang rancangan berlangsung.
“Bukan itu sahaja, dia juga perlu bijak mengawal audiens di dewan dan di rumah untuk terus mengundi kerana kuasa penonton di rumah lebih besar,” tuturnya sambil menitipkan nasihat buat Jimmy yang sudah dikenalinya hampir sedekad itu.
Kata-kata perangsang Aznil itu cukup mengharukan Jimmy kerana sebagai orang baru, dia mengharapkan sokongan daripada semua pihak.
Memang tidak wajar katanya, untuk cuba membandingkan dirinya dengan Aznil dan AC kerana semua memiliki gaya dan persembahan yang tersendiri.
Apabila sudah diberikan peluang keemasan ini, Jimmy berikrar untuk mengendalikan konsert mingguan dan diari dengan caranya yang sendiri.
Satu yang pasti katanya, tanda pengenalan atau trademark Yesszzaaaa yang dipegangnya selama mengendalikan Trek Selebriti akan jauh ditinggalkan selepas ini.
“Walaupun pada mulanya pihak Astro mahu saya mengendalikan rancangan ini dengan gaya yang lebih matang, tetapi saya fikir memang agak sukar untuk berbuat demikian.
“Bayangkan saya perlu menjadi orang lain ketika mengendalikan diari dan mewujudkan personaliti berbeza sewaktu konsert mingguan.
“Memang saya tidak boleh berbuat demikian dan akhirnya mereka bersetuju dengan idea saya yang akan terus menjadi diri saya sebenar,” kata selebriti berusia 29 tahun ini panjang lebar.
Tanpa berselindung, pemilik nama penuh Jimmy Shanley Norjahan Saleh ini memberitahu, dia memang gugup dan gementar apabila memikirkan situasi untuk mengendalikan konsert mingguan kelak.
Seperti mana Aznil, pemuda kacak ini juga memiliki darah gemuruh setiap kali mahu menjejakkan kaki ke atas pentas.
Tetapi mujurlah kata Jimmy, dia bertuah kerana digandingkan dengan Sarimah yang memiliki kelebihan untuk menghangatkan dan menceriakan pentas konsert mingguan AF.
“Untuk diari itu mungkin saya tidak mempunyai masalah kerana pengalaman mengemudikan Trek Selebriti tidak banyak bezanya.
“Cuma untuk konsert mingguan kelak, saya harus menyiapkan diri sebaiknya agar saya tidak akan nampak kekok di atas pentas,” katanya yang akan membuat penampilan pertama bersama Sarimah menerusi rancangan Tirai Akademi Fantasia 8 pada 13 Mac ini.
Ketika menerima lamaran daripada Astro untuk mengemudi AF8, Jimmy dapat merasakan yang tuah benar-benar berpihak padanya.
Ketika itu, dengan pantas dia menjelaskan dia mahu mengacarakan diari kerana tiada bezanya dengan Trek Selebriti.
Namun, selepas diberitahu bahawa format untuk musim ini akan bertukar dengan menampilkan dua pengacara, dia fikir sudah tiba masanya untuk dia meluaskan lagi skop tugasnya sebagai pengacara.
“Inilah peluang untuk saya buktikan kepada semua pihak yang saya dapat melakukannya dan saya harus berkorban untuk menanggalkan baju lama dan menggantikannya dengan yang baru,” ujarnya pemuda peramah ini dalam nada cukup optimis.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: