Nasi beriani SalmonPERNAHKAH anda makan dosai ikan salmon, pau salmon dengan ayam, nasi beriyani salmon, salmon tartar dengan sos XO dan yong tau foo salmon? Itu adalah antara ilham tujuh chef Malaysia yang terkandung dalam buku koleksi resipi bertajuk, Mosaic - Inspirasi Malaysia Dengan Salmon Norway.
Mosaic mempromosikan tujuh chef Malaysia dengan setiap chef menyumbangkan dua resipi menggunakan ikan salmon Norway, iaitu satu hidangan utama serta masakan kegemaran pada zaman kanak-kanak.
Buku koleksi penerbitan Norwegian Seafood Export Council - NSEC itu mengadunkan kepelbagaian masakan negara ini dengan ikan salmon Norway yang serba guna.
Salmon Norway kelihatan segar.Ia ditulis sempena lawatan rasmi Putera Mahkota Norway, Haakon Magnus dan Puteri Mahkota, Mette-Marit selama tiga hari ke Malaysia mulai Isnin lalu.
Ia dihadiahkan kepada Haakon semasa baginda menjadi tetamu kehormat satu pertandingan memasak salmon yang diadakan di Berjaya University College of Hospitality (BERJAYA UCH) baru-baru ini.
Tujuh chef terbabit ialah Presiden Persatuan Chef Malaysia, Chef Federico Michieletto, Chef Chandra Mohan Arunasalam yang merupakan Chef de Cuisine, Studio, Hilton Kuala Lumpur dan Chef Bong Jun Choi (Chef Eksekutif Cina, Lai Po Heen, Mandarin Oriental Kuala Lumpur).
Lain-lain chef termasuk Chef Rajesh Kanna (Chef Eksekutif, Sheraton Imperial Hotel, Kuala Lumpur), Chef Sam Leong (Pengarah Dapur-dapur, Kumpulan Tung Lok) serta Chef Edward Voon (Chef Eksekutif, Tower Club, Singapura).
Putera Mahkota Norway, Haakon Magnus menanyakan sesuatu kepada para peserta pertandingan memasak Salmon.Turut menulis buku koleksi resipi ialah Chef Yong Bing Ngen (Chef merangkap Pemilik, Restoran Majestic dan Restoran Jing) dan Chef Zubir Mohd Zain (Executive Sous Chef, Le Méridien Kuala Lumpur, Malaysia).
Sama ada ikan salmon Norway dimakan mentah, diawet, direnih atau digoreng dalam pan, ‘raja ikan di negara utara Eropah’ ini tetap enak dimakan.
Tidak mustahil, Salmon Norway memang dihargai chef dari segenap pelosok dunia kerana kekayaan rasa serta serba guna.
Ia juga berkhasiat kerana mempunyai asid lemak Omega-3, protein, vitamin serta garam galian.
Ikan kegemaran ramai ini berasal daripada jenis Salmon Atlantik (atau salmon salar).
Ia diternak di banjaran glasier negara Norway yang sejuk. Tempat ini sememangnya ideal untuk penternakan Salmon.
Salmon mendapat permintaan tinggi orang ramai malah menjadi menu utama di kebanyakan restoran.
Sekadar menyebut beberapa hidangan: masak asam kepala ikan, yee sang (salad ikan mentah), sashimi (makanan Jepun yang berupa filet ikan mentah).
Meleleh air liur anda apabila mendengarnya? Sebenarnya masih terdapat banyak cara masakan salmon yang mampu menambah selera.
Salmon diternak di banjaran glasier negara Norway yang sejuk. Pertandingan memasak salmon di BERJAYA UCH menonjolkan hidangan baru salmon yang belum pernah dicuba di pasaran.
Ia adalah kemuncak siri demonstrasi memasak salmon yang dianjurkan oleh NSEC pada awal tahun ini.
BERJAYA UCH dan TAYLOR’S University College, School of Hospitality, Tourism & Culinary Arts mendaftarkan tiga pasukan masing-masing dalam pertandingan enam penjuru tersebut.
Setiap pasukan yang diwakili dua peserta diwajibkan menghidangkan satu pembuka selera dan satu hidangan utama yang menggunakan ikan Salmon tetapi berperisa Malaysia.
Akhirnya, semua pasukan BERJAYA UCH menyapu bersih hadiah yang ditawarkan. Pasukan Blue Culinarian yang diwakili Michelle Tan Lee Yuen serta Tatiana Tanusha memenangi hadiah utama iaitu perjalanan empat hari, tiga malam ke Ekspo Dunia 2010 di Shanghai, China.
SCA Dream Team (Shaun Oh Chit Shan serta Wilfred Liow Lye Jue) menggondol tempat kedua dan Berjaya Young Talent Team (Alex Tiew Yong Fu dan Richmond Ng Jiunn Yann) memperolehi tempat ketiga.
Terdahulu, Michieletto mengiringi Putera Mahkota Norway, Haakon Magnus melawat ke dapur bagi menyaksikan para peserta menyiapkan masakan Salmon.
Seterusnya, Magnus dijemput ke restoran mewah kemegahan BERJAYA UCH, Samplings on the Fourteen untuk menyaksikan hidangan para peserta yang telah siap.
Pau Salmon dengan ayam“Saya tertarik dengan apa yang disediakan oleh para peserta di sini dengan menggunakan Salmon. Hidangan tersebut begitu istimewa,” kata Magnus kepada pemberita.
Michieletto kemudian menyampaikan buku Mosaic kepada Magnus.
Di ceruk dapur pula, Chef Eksekutif dari Nobu InterContinental Hong Kong, Oyvind Naesheim menunjukkan kepakaran memasak Sashimi Salmon ‘gaya baru’.
Salmon dihiris nipis kepada sembilan kepingan dan diatur di atas pinggan. Letak potongan kecil bawang putih, racik helai (julienne) halia serta potongan kucai (chives).
Semburkan sos kicap yuzu dan bijian di atasnya. Sebelum menghidangkannya, panaskan minyak New Style dalam pan sehingga ia berasap. Tuangkannya di atas salmon dan hidangkannya.
“Ia masak 10 peratus di luar tetapi mentah 90 peratus di dalamnya,” jelas Naesheim dengan penuh bangga kepada pemberita.Apabila penulis dipelawa untuk mencubanya, dagingnya lembut seperti “mencair” dalam mulut. Lazat.
Aromanya yang menyelerakan mendorong untuk makan lagi tetapi telah habis dimakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: