Friday, March 26, 2010

Mencari imam muda


PENCARIAN bermula. (Dari kiri), Izelan, Jamil dan Zainir pada sidang media majlis Pelancaran Program Siri Pencarian di Astro Oasis baru-baru ini.


SEBAGAI antara pelopor kepada program realiti televisyen pencarian bakat, Astro kini menampilkan program Imam Muda.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, idea untuk menghasilkan program itu timbul apabila melihat ramai anak muda zaman sekarang yang mempunyai potensi untuk memikul tanggungjawab.

Menurutnya, ada di kalangan anak-anak muda bukan sahaja berpotensi menjadi seorang imam yang versatil tetapi juga seorang pemimpin yang berwibawa.

"Kami ingin mengambil inisiatif itu untuk memberikan landasan yang bukan sahaja mendidik secara intensif beberapa individu yang terpilih kelak.

"Ilmu pengetahuan itu juga secara tidak langsung akan dikongsi bersama beribu-ribu orang penonton yang akan menonton," katanya pada majlis pelancaran Program Siri Pencarian di Astro Oasis di Palace of the Golden Horses, Selangor baru-baru ini yang turut dihadiri Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar.

Tegas Zainir lagi, idea tercetus bagi menerbitkan program seperti Imam Muda adalah sebagai testimonial untuk menerbitkan program-program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melancarkan program tersebut memuji pihak Astro yang berani dalam membuat pelaburan yang besar bagi memartabatkan elemen keagamaan di sebuah stesen penyiaran berprestij.

"Saya melihat program ini nanti bukan sahaja akan berupaya untuk mengukir paradigma baru dalam alternatif hiburan bercorak keagamaan di negara kita tetapi juga dapat mengangkat martabat dan profesyen imam itu sendiri di mata masyarakat.

"Saya percaya program ini nanti dapat menarik minat anak-anak muda malahan golongan dewasa juga ke arah mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan," jelasnya.

Pencarian Imam Muda akan bermula pada 26 dan 27 Mac ini dengan memilih Terengganu sebagai lokasi pertama. Uji bakat yang akan berlangsung pada pukul 8 pagi hingga 1 petang itu diadakan di Pusat Pentadbiran Islam Negeri, Kompleks Seri Iman.

Pada 2 hingga 3 April akan dijalankan Masjid Zahir Negeri Kedah, Alor Setar Kedah, 10 dan 11 April di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru dan diakhiri di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur pada 17 dan 18 April.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: