QIXIAN - Seorang lelaki China didakwa membunuh seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan memakan otaknya bagi mengubati penyakit sawan yang dihidapinya di Yunan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada Rabu lalu, akhbar Shenghuo Xinbao melaporkan Chaoxu, 29, telah ditangkap selepas dia dilihat oleh seorang saksi memegang leher budak itu.
Saksi itu menyatakan budak lelaki itu, Li Xuetang kelihatan seperti tidak sedarkan diri dan terdapat darah pada mulutnya semasa Chaoxu memegang lehernya.
Polis kemudian menemui mayat budak itu ditanam di sebuah ladang kacang pis selepas dia dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada 23 Januari lalu.
Seorang ketua kampung, Wang Wenzhong menemui dua tompokan darah pada batu di ladang itu dan beberapa tulang sebelum mayat budak tersebut ditemui ditanam di kawasan berhampiran.
Bahagian atas kepala budak itu dikopek manakala otaknya telah dikeluarkan semasa mayatnya ditemui pada hari yang sama dia dilaporkan hilang.
Selepas ditangkap, lelaki itu memberitahu polis bahawa dia memakan otak bersama cacing tanah dan semut kerana dia mempercayai cerita rakyat bahawa penyakitnya dapat disembuhkan melalui cara tersebut.
Chaoxu menyatakan kepada polis dia telah berkahwin dengan seorang jururawat tetapi isterinya meninggalkannya kerana penyakit sawan itu menyebabkan dia tidak mampu untuk bekerja.
Polis kini sedang melakukan siasatan sama ada seorang budak perempuan berumur tiga tahun yang didapati hilang turut mempunyai kaitan dengan kes itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: