Monday, March 1, 2010

Legasi songket tradisional


Pelbagai kraf tangan yang diperbuat daripada songket.


WALAU telah diperkenalkan sejak abad ke-13 yang lalu, songket masih menjadi pilihan generasi masa kini terutama sebagai persalinan raja dan ratu sehari.

Seiring perubahan masa, kini songket dipelbagaikan fungsinya mengikut keperluan.

Untuk melihat sendiri bagaimana songket dihasilkan dalam pelbagai medium kreatif dan moden, orang ramai mungkin boleh meluangkan masa ke pameran sempena Hari Kraf Kebangsaan yang berlangsung di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur dari 24 Februari hingga 8 Mac ini.

Pameran tersebut juga akan berlangsung di Hotel JW Marriott Jalan Bukit Bintang dari 13 hingga 24 Mac ini.

Turut terbabit dalam pameran sempena Hari Kraf Kebangsaan itu ialah Royal Terengganu Songket, sebuah jenama yang bernaung di bawah Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) yang bertanggung jawab meneruskan legasi songket tradisional ini.

Di bawah naungan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, matlamat Royal Terengganu Songket adalah untuk memastikan seni tradisional Melayu ini tetap terpelihara.

Selain itu usaha Royal Terengganu Songket juga untuk memperluaskan pasaran songket dengan pencetusan idea yang lebih kontemporari dan inovatif.

Selain kain songket, Royal Terengganu Songket turut menghasilkan selendang, kaftan yang amat sesuai untuk dijadikan hadiah.

Bukan itu sahaja, item hadiah tersebut juga disediakan dalam beg khas indah yang turut diperbuat daripada songket.

Sejak penubuhan YTNZ ia telah mewujudkan lebih 60 peluang pekerjaan bagi penenun songket di negeri Terengganu dan Sarawak.

Kebanyakan penenun ini terdiri daripada wanita yang berasal dari kelas pendapatan rendah.

Kesannya, taraf hidup wanita terbabit dapat ditingkatkan sekali gus membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Royal Terengganu Songket turut menyokong program ibu tunggal dengan cara mempelbagaikan lagi produk cenderahati berasaskan songket seperti beg, bingkai gambar, kotak barang kemas juga anak patung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: