Monday, March 1, 2010

Dunia ukiran Azizul


Ukiran kayu motif bunga dan daun indah menghiasi dinding rumah.


Melakukan kerja yang diminati membuatkan seseorang itu tidak kisah untuk mencurah segala tenaga dan masa bagi mencari kepuasan dalam kerjayanya.

Keghairahan dan semangat yang sama dapat dirasai apabila bersua muka dengan pemilik nama, Azizul Ahmad, 36, yang membuatkan sesiapa sahaja akan berpendapat bahawa sememangnya dia layak berada di tempatnya.

Bermula dengan 'kosong' dia bertatih sendirian menerokai dan mendalami bidang ukiran kayu sehinggalah kini sampai ke puncaknya.

Hampir 10 tahun bergelumang dalam dunia ukiran halus dengan menempuh pelbagai cabaran dan rintangan, nyata Azizul puas dengan pencapaiannya sekarang.

''Biarpun saya bermula dari bawah, namun kesungguhan dan minat kepada sesuatu kerja mampu memberikan kebahagiaan dan keseronokan kepada diri sendiri,'' ujarnya ketika ditemui sempena pelancaran Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyingkap sejarah ringkas pembabitan awalnya dalam dunia ukiran kayu, anak jati Pulau Langkawi, Kedah ini memberitahu, minat dalam seni ukiran bermula selepas tamat sekolah.

Masa rakan-rakan lain mengintai peluang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi terutama ke menara gading, dia pula mula menapak dan berjinak-jinak dalam industri tersebut.

''Biarpun rakan-rakan lain berlumba-lumba ke universiti tetapi saya ada perancangan dan matlamat sendiri.

"Memanglah apabila saya bercerita tentang rancangan dan minat saya itu ada di kalangan rakan-rakan serta saudara mara yang memandang sinis kerana tidak yakin dengan kebolehan saya dalam seni ukiran kayu," katanya.

Bagi Azizul pandangan-pandangan sedikit pun tidak mematahkan semangatnya bahkan azamnya semakin kuat untuk membuktikan kebolehannya.

Minat yang mendalam dalam dunia seni ukiran membuatkan anak jati ini sanggup merentas lautan dan meninggalkan kampung halaman semata-mata mencari ilmu di negara orang.

Langkahnya bermula dengan menimba ilmu asas ukiran di Sekolah Tinggi Seni, Bali, Indonesia, selama setahun.

Daripada situ bermulalah hidupnya sebagai tukang ukir bermain dengan habuk kayu serta tukul dan pahat.

''Sejak dari itu saya yakin bidang ini mampu memberikan keseronokan dan mampu memberikan kebahagiaan kepada diri saya sendiri," katanya bersungguh.

Azizul mengakui pada peringkat awal mencari ilmu pengalaman yang dilalui amat getir tetapi kesungguhan dan kesabaran mampu mengatasi segala-galanya.

''Semuanya saya lakukan sendiri daripada mencari kayu sehinggalah selesai ukiran, malah kerja-kerja promosi dan penjualan juga uruskan.

"Memang awalnya amat getir, namun saya berpegang pada pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya,'' ujarnya.

Berkat keyakinan dan kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa Azizul kini berjaya menubuhkan syarikat sendiri, Idea Craftwork Sdn. Bhd., di kampung halamannya, Langkawi.

Pertimbangan untuk menubuhkan syarikat sendiri dibuat selepas melihat potensi yang cerah dalam bidang ukiran kayu.

''Saya menggunakan modal yang cukup minimum untuk membuka sebuah bengkel kraf tangan dan berkat kesabaran kini saya mempunyai pelbagai peralatan membuat kraf tangan,'' katanya

Menariknya, semua kerja-kerja mengukir di bengkel tersebut dilakukan sendirian kerana dia tidak menggaji pekerja.

''Bagi saya berkerja sendirian lebih memberi kepuasan kerana dengan cara itu barulah saya boleh mengaku inilah hasil kerja tangan saya,'' ujarnya yang gemar mengetengahkan motif alam semula jadi flora dan fauna dalam ukirannya.

Menurut Azizul, motif tersebut dipilih kerana ia mampu menghidupkan lagi sesebuah ukiran.

Dia juga gemar mencari mencari kelainan dengan membuat seni ukiran yang bermotifkan flora dan fauna serta tumbuh-tumbuhan sebagai motif utama dalam ukirannya.

Ditanya mengapa mahu lari daripada kebiasaan dalam seni ukiran tradisional, anak jati Langkawi ini dengan tegas memberitahu, itulah kelainan yang ada pada dirinya.

''Itulah kelainan yang cuba saya tonjolkan, malah ia membuktikan bahawa seni ukiran ini bukan hanya fokus kepada bunga-bungaan semata-mata tetapi juga mampu menghasilkan corak yang berbeza,'' katanya lagi.

Malah tegasnya lagi, motif-motif tersebut menjadikan ukiran yang dihasilkannya 'lebih hidup'.

Kini dia boleh tersenyum selepas hasil ukirannya diterima bukan saja oleh orang tempatan bahkan pelancong asing yang datang ke Malaysia.

''Ramai pelancong yang datang ke negara kita kagum melihat hasil ukiran kita, malah ada kalangan mereka sanggup membuat tempahan untuk diletakan sebagai hiasan di rumah mereka.

"Malah ada juga pelancong yang membeli rumah di Langkawi dan menggunakan hasil ukiran saya sebagai dekorasi rumahnya,'' katanya.

Bercerita lebih lanjut kerja-kerja ukirannya, Azizul memberitahu, selain menggunakan kayu jati dan merbau, dia banyak menggunakan kayu cengal dan meranti dalam menghasilkan seni ukiran tersebut.

''Jenis kayu juga mampu mempengaruhi seni ukiran menjadi lebih kemas dan tersusun,'' ujarnya.

Mengenai tempoh untuk menyiapkan sesebuah ukiran, Azizul memberitahu ia bergantung kepada saiz ukiran tersebut.

Tegasnya lagi, mengukir kayu memerlukan ketelitian dan kesabaran jadi kerja-kerja mengukir tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa.

''Dalam menghasilkan ukiran kita kena teliti. Ketelitian itu akan membuahkan hasil seni cukup halus dan menarik. Ia seolah-olah sama seperti pelukis mempunyai identiti sendiri cuma yang berbeza nama pengukir tiada pada ukiran tersebut,'' katanya sambil tersenyum.

Bagaimanapun akuinya lagi, untuk menghasilkan seni ukiran yang baik pengukir perlu menjiwai maksud di sebalik ukiran tersebut.

''Sebab itu, ada yang yang mengatakan pengukir kayu sebenarnya mempunyai jiwa yang sensitif seperti seniman-seniman lain,'' ujarnya tersenyum memperihalkan diri sendirinya.

Secara umum, Azizul amat mengagumi kehebatan dan kehalusan seni ukiran kayu Melayu sehingga ada sesetengahnya telah diterima dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sebagai contoh, ukiran kayu Melayu dipilih menjadi penghias dalaman untuk sebuah auditorium di Universiti Oxford.

Walaupun ia bukan hasil ukirannya, dia turut berbangga kerana hasil kraf orang tempatan diterima sehingga sejauh itu.

''Itulah hebatnya seni ukiran kayu Melayu yang dulunya hanya sekadar menjadi penghias istana lama,'' ujarnya.

Malah katanya, terdapat pelbagai jenis kraf tangan tradisional yang dihasilkan oleh masyarakat negara ini yang didapati begitu unik dan menarik untuk diketengahkan sama ada di pasaran tempatan mahu pun antarabangsa.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, pemuda yang masih bujang ini menegaskan, dia berhasrat untuk membawa bidang seni ukiran kayu ke persada dunia.

''Ini keunikan yang ada pada orang Melayu, jadi kelebihan ini patut dicontohi oleh orang luar yang lebih mengagungkan sains dan teknologi daripada hasil kerja tangan.

''Inilah hebatnya orang Melayu yang sememangnya terkenal dengan sikap tekun dan rajin.

''Lagipun kerja tangan ini memerlukan ketelitian dan kreativiti sendiri, hanya memiliki jiwa sensitif sahaja mampu menghasilkannya'' ujarnya serius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: