Monday, March 22, 2010

Jumbo Gajah Biru hiburan untuk keluarga


AKIM dan Mila masing-masing menyumbang suara dalam filem animasi Thailand, Jumbo Gajah Biru yang kini ditayangkan di pawagam.


JIKA anda berpeluang menyaksikan filem animasi Thailand, Jumbo Gajah Biru atau tajuk asalnya Khan Kluay 2, pasti tahu alasan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), membawa filem tersebut ke negara ini.

Selain menghiburkan, filem yang padat dengan adegan mendebarkan dan lucu yang memulakan tayangannya pada 11 Mac lalu bukan sahaja sesuai ditonton oleh golongan cilik malah, juga seisi keluarga.

Menariknya, filem yang berjaya meraih rekod kutipan pecah panggung tertinggi di Thailand mencecah 80 juta baht itu dialih ke bahasa Melayu menggandingkan paduan suara dua artis terkenal, Akim dan Mila.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah pada tayangan perdana animasi tersebut di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, selain memberi hiburan kepada seisi keluarga ia juga mampu mencetuskan pelbagai idea serta panduan kepada bakat-bakat industri kreatif negara.

"Menonton sahaja filem ini, saya pasti semua akan terhibur kerana daripada perhatian saya animasinya setaraf dengan animasi filem-filem Inggeris.

"Ini secara tidak langsung mampu memberi aspirasi kepada bakat industri kreatif dalam penghasilan animasi di negara ini kerana saya merasakan inilah salah satu tahap yang perlu dicapai oleh industri kreatif tempatan," kata Zainir.

Bagi Astro sendiri, ia merupakan satu lagi usaha dalam melebarkan minat masyarakat terhadap animasi. Malah, ia merupakan kesinambungan usaha Astro selepas memperkenalkan animasi Mat Kacau tahun lalu.

Menariknya tentang filem animasi, selain kreativiti dalam penghasilan karakter-karakter yang pelbagai, kesesuaian si penyumbang suara turut memainkan peranan yang tidak kurang beratnya.

"Secara peribadi, menonton animasi saya rasa mendengar adalah lebih baik daripada membaca senikata. Sebab itu filem ini kami alih suara ke bahasa Melayu.

"Apa yang kami harapkan, selepas ini pengedar mahupun pihak penerbitan dapat melihat bahawa alih suara mampu membuka satu lagi peluang pekerjaan dalam industri kreatif," kata Zainir lagi.

Sekilas mengenai Jumbo Gajah Biru, ia menyingkap kisah seekor gajah bernama Jumbo yang terpilih sebagai gajah diraja milik Maharaja Naresuan setelah berjaya menewaskan pesaingnya dalam satu pertempuran gajah terhebat.

Dalam masa yang sama, Jumbo terpaksa mengenepikan seketika urusan keluarga termasuk menjaga isterinya, Luna yang sarat mengandung demi tanggungjawab mempertahankan negara.

Namun begitu, setelah dua tahun, Jumbo menghadapi dilema apabila kumpulan Hongsawadee menyerang kampung halaman yang didiami ibu, isteri dan sepasang anak kembarnya, Baron dan Leah.

Apakah kesudahannya apabila kali ini Jumbo memilih untuk menderhaka kepada raja demi menyelamatkan nyawa keluarga tercinta.

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan kesudahan filem animasi tersebut yang kini ditayangkan di pawagam.

Akim, Mila kongsi pengalaman alih suara

Pertama kali digandingkan menerusi animasi Jumbo Gajah Biru, rupa-rupanya melahirkan rasa kurang selesa oleh dua pelantun suara Akim dan Mila pada peringkat awal proses alih suara filem tersebut.

Namun, rasa tersebut segera dibuang oleh dua penyanyi itu demi memberikan yang terbaik buat para peminat mereka.

Ini bukanlah kali pertama penyanyi kecil molek, Mila terlibat dalam alih suara.

Sebelum ini, kata Mila ketika sesi sidang akhbar tayangan filem tersebut, dia pernah terlibat untuk sesi alih suara siri muzikal terkenal, High School Musical tidak lama dahulu.

"Termasuk Jumbo Gajah Biru, ini merupakan pengalaman keempat saya dalam alih suara.

"Berbanding berlakon filem mahupun drama, apa yang sukarnya tentang animasi ialah saya perlu melahirkan emosi hanya bergantung kepada monitor dan gambar di skrin," kata Mila.

Bagi Akim pula, disebabkan ini merupakan pengalaman pertamanya terlibat dalam alih suara maka kesukarannya lebih dirasai berbanding Mila.

"Walaupun sebelum proses dubbing kami telah diberi menonton dahulu filem ini namun, tetap merasa susahnya kerana perlu pastikan emosi, penghayatan dan jalan cerita selari," kata Akim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: