Tuesday, March 23, 2010

Hobi selepas bekerja


BAGI penggemar hobi yang sama, koleksi Rozaini ini boleh menjadi alasan untuk berasa cemburu.


"MEMBUAT dan melukis model miniatur motosikal dan kereta Tamiya bukan saja sekadar minat, ia bagaikan satu kepuasan tidak terhingga kepada saya.

"Malah, bukan mudah untuk menyiapkan sesebuah model motosikal misalnya. Banyak bahagian yang kecil dan terperinci perlu dipasang dalam kedudukan yang betul.

"Penggunaan pelekat-pelekat berwarna yang terlalu kecil untuk mencantikkannya juga perlu dilakukan secara berhati-hati tanpa merosakkan pelekat. Hasilnya nanti, model itu menyerupai motosikal sebenar cuma di dalam saiz miniatur," jelas seorang pengumpul hobi tersebut, Mohd. Rozaini Mohamed, 34.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu sebenarnya sudah lama berminat mengumpul model miniatur Tamiya sejak zaman belajar lagi, namun disebabkan kos memilikinya agak tinggi keinginan tersebut terpaksa disimpan.

Sehingga kini, Rozaini membelanjakan hampir RM10,000 untuk memiliki lapan buah model miniatur motosikal, empat model miniatur kapal terbang dan masing-masing sebuah bagi model kereta kebal, jet dan helikopter.

Antara model miniatur yang dimilikinya termasuklah Mick Doohan, Norick Abe, Loris Capirossi dan CBR 1100.

Walaupun hobinya itu dilihat sesetengah individu sebagai membazir, namun baginya minat mengumpul model motosikal dan kereta Tamiya memberi kepuasan tersendiri.


ROZAINI menunjukkan model miniatur miliknya yang mengikut temamilitari.


"Hobi ini sebenarnya karya seni yang mampu mempengaruhi persekitaran dan individu yang melihatnya, bergantung kepada mutu hasil akhir.

"Ia berupaya menjadi terapi minda, memberi kreativiti serta kesabaran yang tinggi ketika menyiapkannya," katanya yang sudah biasa membahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan hobi itu.

Disebabkan peluang waktu yang terhad untuk menyiapkan model miniatur yang cantik, penyandang jawatan Penolong Pengarah di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pemprosesan Maklumat itu terpaksa memperuntukkan tempoh tiga bulan untuk menyiapkan sebuah model miniatur.

"Sekarang saya sudah mula menghasilkan tapak atau mini landskap untuk model-model miniatur saya. Misalnya, untuk model kereta kebal, saya hasilkan tapak perang dengan bahan-bahannya diperoleh bukan sahaja dari kedai Tamiya tetapi juga di kedai-kedai perkakasan lain," katanya.

Jika diketepikan aspek nisbah dan saiz miniatur kereta kebal milik Rozaini di atas tapak perang itu, reka bentuknya saling tidak tumpah seperti kereta kebal sebenar. Binaan rangka badan kereta kebal itu lengkap dengan celoreng militari selain terdapat bahagian-bahagian dinding yang mempunyai kesan karat dan tayarnya yang kelihatan dikotori tanah.


SELAIN memerlukan skil melukis, hobi ini menuntut tahap kesabaran tinggi.


"Memang saya ingin menghasilkan model miniatur kereta dan motosikal seperti dalam keadaan sebenar. Sebab itulah saya memerlukan pelbagai peralatan bantuan seperti pisau, campuran pewarna, berus, kanta pembesar, gunting dan penyepit," katanya yang meletakkan kesemua model miniaturnya di dalam sebuah almari kaca.

Rozaini menghasilkan model-model miniaturnya berpandukan tip yang diperolehnya di laman web selain bertukar idea dengan kawan-kawan yang mempunyai hobi yang sama.

Menurut Rozaini, ada sesetengah individu yang menghasilkan model miniatur itu mempunyai agenda untuk menjualnya atau untuk menyertai pertandingan. Tetapi, Rozaini menghasilkan model-model miniaturnya semata-mata untuk kepuasan dan keseronokan sendiri.

Lebih manis, anak sulungnya, Mohamed Adam Mohd. Rozaini, 5, kini terikut-ikut dengan minat terhadap hobi tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: