Tuesday, March 23, 2010

Terjemah rumi ke kod bintik




DI tingkat satu pejabat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur terdapat satu ruang yang dipenuhi ratusan naskhah buku Braille, cakera padat dan juga kaset.

Semuanya adalah untuk kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, bagi meluaskan pengetahuan mereka melalui pembacaan.

Namun, berapa ramaikah di antara kita menyedari kewujudan Perpustakaan Pusat Sumber di MAB itu yang turut menyediakan perkhidmatan pinjaman dan juga bahan bacaan?

Sekitar bulan Oktober tahun lalu, Kosmo! pernah memaparkan mengenai perpustakaan tersebut dan kerumitan kerja menghasilkan buku Braille bergambar rajah.

Terpanggil dengan maklumat artikel tersebut, pelajar-pelajar dari Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana tampil menjadikan MAB sebagai lokasi projek mereka.

Sebagai mengisi jam kredit kursus Kesusasteraan Maklumat, seramai 33 orang pelajar daripada semester tiga, empat dan lima menjalankan projek amal khidmat sosial di perpustakaan tersebut. Projek itu merangkumi 20 peratus daripada keputusan akhir peperiksaan mereka.

Antara objektif projek tersebut adalah untuk mengenal pasti kaedah yang digunakan untuk mengakses maklumat dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Para sukarelawan itu juga berkesempatan menimba pengetahuan mengenai kepelbagaian format maklumat.

Selain merasai pengalaman melakukan kerja-kerja khidmat sosial, secara tidak langsung projek itu adalah pembuka pintu kepada kumpulan mahasiswa itu menjalinkan hubungan erat kemasyarakatan bersama golongan cacat penglihatan.

Bagai serampang dua mata, program seumpama itu bukan sahaja penting untuk memenuhi kriteria kursus, malah mampu meningkatkan kesedaran sivik dan sosial.


DUA orang sukarelawan komited membantu menyelesaikan proses terjemahan buku.


Menurut Pengarah Projek, Melissa Yusoff, 21, ramai di antara rakan-rakannya tidak mengetahui mengenai kewujudan perpustakaan untuk orang buta.

"Selepas membaca di Kosmo! barulah saya tahu bahawa terdapat perpustakaan untuk OKU cacat penglihatan. Apabila saya beritahu rakan-rakan mengenai cadangan projek di perpustakaan ini mereka semua terpinga-pinga.

"Saya mahu lebih ramai masyarakat terutama golongan muda mengambil tahu mengenai perpustakaan ini. Saya harap akan ada lebih ramai sukarelawan tampil membantu," ujarnya bersemangat.

Terdapat banyak perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan MAB seperti penerbitan buku-buku Braille, peminjaman buku Braille dan buku audio (talking-book), peminjaman peralatan Braille untuk pelajar cacat penglihatan serta perkhidmatan imbasan buku melalui komputer.

Proses menghasilkan sebuah buku Braille agak rumit dan memerlukan bantuan orang normal dalam penghasilannya. Walaupun mempunyai perisian khas iaitu JAWS bagi menterjemahkan tulisan rumi kepada Braille, ia tetap memerlukan kerja membaca dan menaip.

Sesebuah buku yang hendak diterjemahkan perlu ditaip menggunakan perisian Microsoft Word sebelum dipindahkan ke perisian JAWS. Kemudian, ia perlu disunting supaya tidak ada kesalahan sebelum dicetak menggunakan mesih khas iaitu mesin embosser Everest keluaran Index yang bernilai RM16,425 sebuah.

Mesin itu berfungsi seperti mesin pencetak biasa, bezanya, ia mencetak kod Braille.

Taip terjemahan Braille

Dalam menggandakan hasilnya, mekanisme khidmat sukarelawan amat diperlukan. Tidak hairanlah jika antara misi utama 33 orang pelajar itu adalah untuk menaip sebanyak mungkin terjemahan buku dalam setiap hari.

Sebagai kerja tambahan, mereka juga membantu menyusun dan mengemas kini bahan-bahan di rak-rak yang tersedia.

Kata Melissa, perpustakaan itu adalah istimewa dan berbeza dengan perpustakaan lain. Ia adalah pendedahan yang menarik bagi mereka sebagai pelajar Pengurusan Maklumat.


PARA pelajar UiTM menyeru orang ramai supaya tampil sebagai sukarelawan demi memberi kemudahan kepada golongan kurang upaya penglihatan.


"Kami belajar bagaimana golongan OKU penglihatan mengakses maklumat menerusi pembacaan dan juga penyediaan bahan bacaan itu sendiri.

"Di samping itu, kami dapat membantu menambahkan sumber bacaan bagi kegunaan pengunjung perpustakaan ini," jelasnya.

Kata Melissa, golongan insan normal tidak mungkin memahami apa yang dirasai oleh golongan istimewa itu. Apa yang pasti, usaha tersebut sedikit sebanyak telah membuka mata mereka untuk lebih menghargai kehidupan.

Pelajar itu membawa sendiri komputer riba bagi memudahkan mereka menaip buku-buku yang disediakan oleh pihak MAB. Ada buku berunsur ilmiah dan ada juga novel-novel cinta.

Selain daripada menaip, ada juga sebahagian pelajar yang membantu membaca supaya OKU penglihatan boleh terus menaip menggunakan mesin Braille.

Kebanyakan pelajar ini gembira dengan kerja-kerja yang dilakukan dan berhasrat untuk kembali melakukan kerja-kerja sukarelawan sekiranya mempunyai masa terluang.

Kata Timbalan Pengarah Projek, Rezuwan Dahlan, 22, generasi muda dan pelajar universiti digalakkan untuk menjadi sukarelawan di MAB.

"Daripada membuang masa, lebih baik taburkan bakti di sini. Dapat juga kita membantu golongan OKU ini," katanya.


BRAILLE ibarat jendela dunia bagi mereka yang kurang upaya melihat.


Mula-mula menjejakkan kaki ke MAB, Rezuwan mengakui bahawa dia sedikit kekok kerana berhadapan an berurusan dengan ramai golongan OKU penglihatan. Dia yang tidak mempunyai rakan atau keluarga yang cacat penglihatan, jujur mengakui bahawa permulaan tugas itu agak janggal buatnya.

"Apabila sudah berada di sini, saya dapat lihat bagaimana mereka meneruskan hidup. Pekerja di sini juga majoritinya adalah golongan OKU penglihatan.

"Kita yang celik penglihatan sering tertanya bagaimana mereka menjalani hidup dalam faktor kekurangan tersebut. Hendak tahu bagaimana, datanglah dan saksikan sendiri," Rezuwan mempelawa.

Kumpulan mahasiswa itu sependapat, walaupun pada mulanya mereka memerlukan waktu untuk beradaptasi, kini mereka sudah lebih memahami. Koordinasi tugas mereka bersama golongan istimewa itu sudah membawa kepada kesepaduan dan kemesraan.

n Pihak MAB sangat mengalu-alukan orang persendirian ataupun organisasi tertentu yang sudi untuk menjadi sukarelawan di perpustakaan tersebut. Sekiranya ada yang berminat boleh hubungi MAB di talian 03-2272 2677.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: