Tuesday, March 16, 2010

Gadis 22 tahun rentasi Atlantik




GEORGETOWN, Guyana - Seorang gadis berusia 22 tahun dari Amerika Syarikat (AS), Katie Spotz kelmarin mencipta rekod dunia sebagai individu paling muda merentasi Lautan Atlantik dengan berdayung.

Spotz yang menghabiskan masa lebih dua bulan di lautan itu memeluk bapa dan abangnya setelah 200 orang menyambut ketibaannya di bandar Georgetown iaitu ibu negeri Guyana di Amerika Selatan.

"Paling sukar ialah melakukannya secara solo," kata Spotz.

Dia memberitahu terpaksa berdepan dengan rasa bosan dan sukar untuk tidur di dalam perahu sepanjang enam meter yang sempit.

Spotz mendayung selama 10 jam sehari, sebelum berehat untuk tidur, navigasi dan menyelenggara perahu.

Dia yang berasal dari Mentor, Ohio, AS itu memulakan perjalanan dari Dakar, Senegal pada 3 Januari lalu dan merentasi lautan tersebut sejauh 4,533 kilometer.

Spotz berdayung tanpa sebarang bot sokongan melainkan sebuah kapal peronda laut yang mengiringinya ke perairan Guyana.

Usaha yang dilakukan gadis itu ialah bagi mendapatkan dana dan meningkatkan kesedaran buat Yayasan Larian Planet Biru. Ia merupakan organisasi yang tidak mementingkan keuntungan yang bermatlamat membekalkan air minuman bersih kepada satu bilion penduduk dunia yang memerlukannya.




"Rekod ini satu bonus buat Spotz. Mendayung di Lautan Atlantik dan mendapatkan dana untuk air bersih merupakan perkara yang benar-benar ingin dilakukannya," kata jurulatihnya, Sam Williams.

Rekod pendayung muda merentasi lautan secara solo sebelum ini milik Oliver Hicks dari Britain yang melakukannya pada usia 23 tahun.

Dia mendayung dari New Jersey ke England pada tahun 2005.

Spotz membawa bekalan makanan segar selain taugeh yang tumbuh di atas perahu.

"Saya akan masak tiga masakan kering setiap hari di atas dapur kecil.

"Pada waktu malam pula, saya akan mengemas kini Facebook dan e-mel. Tidak banyak perkara yang boleh dibuat di atas perahu ini," tambahnya.

Waktu yang paling menakutkan ialah semasa di akhir perjalanannya.

Semasa menghampiri benua Amerika Selatan, ombak menghempas perahunya dan Spotz bimbang ia akan terbalik.

Pada Sabtu lalu, dia terpaksa menggunakan alat pemadam api apabila sebahagian kecil peralatan dalam perahu itu terbakar.

Ahli-ahli keluarganya sangat lega sebaik sahaja melihat Spotz berjaya menamatkan usaha terbarunya itu.

"Perkara pertama yang saya buat ialah menghubungi isteri di Ohio untuk memberitahunya bahawa Spotz telah tiba dengan selamat," kata bapanya, Dan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: