Wednesday, March 3, 2010

Farid Kamil Menyesal Berlakon dan Mengarah?

Macam tak percaya bila Farid Kamil mengeluarkan kenyataan tersebut selepas tamat tayangan perdana V3: Samseng Jalanan. Jika dinilai kepada hasilnya, filem tersebut secara keseluruhannya memuaskan malah lebih baik daripada karya yang pernah dihasilkan pengarah senior.

Setahun menunggu untuk dilepaskan, Farid memanjatkan kesyukuran apabila filem pertama arahannya bakal menemui penonton 11 Mac ini.

"Sebagai pengarah baru, saya bertungkus lumus menyiapkan filem arahan ini sebaik mungkin. Namun saya akui ada beberapa bahagian dan karektor yang dapat diperbaiki lagi. Meskipun filem ini dipotong 20%, namun saya cukup berpuas hati ianya bakal dipaparkan kepada umum.

"Daripada pengalaman bikin filem ini, saya sudah serik dan menyesal apabila mengarah dan berlakon pada masa yang sama. Masih banyak yang perlu dipelajari dan susah untuk tempatkan diri sebagai pengarah dan pelakon. Keadaan menjadi sukar bila berlakon tapi dalam masa yang sama saya perlu memikirkan apakah scene seterusnya dan mengarahkan kamera mengikut kesesuaian," ujarnya yang melakukan penggambaran V3: Samseng Jalanan sekitar Alor Star, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menurut Farid, filem ini bukanlah diangkat daripada kisah benar yang terjadi, namun hanya luahan isi hatinya ketika berusia 15 tahun ketika itu.

"Jika diamati dialog yang diucapkan dalam filem ini adalah luahan perasaan rempit yang tidak ada litar atau ruang untuk berlumba. Saya bukan mengangkat golongan ini sebagai hero tapi hanya menjadikan media sebagai medium untuk meluahkannya dan diharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu untuk mencari penyelesaiannya.

"Sebelum adanya filem seperti ini, lumba haram secara besar-besaran telahpun wujud di Lembah Klang sekitar 1969. Saya cuba memperkenalkan wujudnya budaya bahaya di luar sana dan fokus kepada aksi yang menonjolkan kelebihan yang ada pada golongan ini," ujarnya menjadikan Anak Halal sebagai sumber inspirasi dan mood untuk beberapa scene dalam V3: Samseng Jalanan.

Melahirkan kelegaan filem ini sempat disiapkan sebelum garis panduan baru dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan isu rempit dipaparkan secara keterlaluan. Farid menjelaskan, kemungkinan filem V3 adalah filem terakhir yang mengisahkan golongan mat rempit kerana panduan terbaru tidak boleh memaparkan aksi motor berkumpulan dan budaya hidup mat rempit.

Farid kini dalam perancangan untuk projek filem terbaru bertemakan action love. Selain filem terbaru, Farid bakal mengajurkan gathering Mat Rempit yang bakal diadakan pada 27 dan 28 Mac 2010 ini bertempat di litar Universiti Utara Malaysia. Tujuannya adalah untuk membanteras gejala lumba haram. Kepada yang berminat bolehlah join dan datang pada tarikh tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: