Thursday, March 11, 2010

Evolusi instrumen gramafon




GESEKAN jari jemari disc jockey (DJ) di atas piring hitam bermain instrumen turntable ketika mengadakan persembahan mampu menarik perhatian dan memukau penonton.

Kehalusan dan kepantasan gerak geri tangan mereka mengendalikan turntable membuatkan penonton tidak senang duduk ternanti-nanti muzik tanpa henti yang bakal diperdengarkan kepada mereka.

Apabila muzik berkumandang, rentak bass mula membuatkan kaki bergerak disusuli badan dan tangan mengikuti lagu yang semakin pantas sehingga membuatkan jantung berdegup kencang. Impaknya, seluruh ruang ibarat pesta!

Demikian antara daya penarik artis bernama DJ yang tidak perlu menyanyi di depan penonton tetapi hanya menggunakan teknik dan gaya tersendiri dalam mengendalikan turntable untuk menghiburkan penggemar muzik.

Naz Muammar Zar, 26, atau lebih dikenali Nas-T berkata, kerjaya sebagai seorang DJ merupakan cabang seni yang semakin mendapat tempat dalam industri muzik tempatan.


NAS-T (tengah) dan Fuzz melakukan demonstrasi penggunaan turntable dan mixer.


“Tidak banyak perbezaan yang dapat dilihat oleh seorang DJ dan pemuzik lain. Mereka menggunakan instrumen seperti gitar, dram dan piano untuk bermain muzik.

“DJ pula akan menggunakan turntable, mesin mixer dan fon kepala untuk menghiburkan penggemar muzik,” katanya yang menyimpan keazaman mengendalikan turntable sejak berusia 17 tahun.

Nas-T menambah, bagi menguasai teknik dan kemahiran sebagai seorang DJ, peralatan asas yang diperlukan ialah dua turntable, satu mesin mixer serta fon kepala.

Katanya lagi, terdapat banyak jenama turntable di pasaran tetapi kebanyakan kelab-kelab dan profesional menggunakan jenama Vestax PDX-2000MKII.

Antara nama-nama besar yang menggunakan jenama Vestax termasuklah Carl Cox, DJ Krush, DJ Heather, Jeff Mills, Johnny Fiasco, Towa Tei, Mix Master Mike, Satoshi Tomiie, D-Styles, DJ Scratch dan DJ Qbert.

Turntable Vestax PDX-2000MKII mempunyai berat 9.5 kilogram (kg) amat sesuai digunakan oleh DJ profesional dan mereka yang baru menceburi bidang itu kerana didatangkan dengan teknologi Anti Skipping Tonearm System (ASTS) bagi memudahkan penggunaannya.

Ciri-ciri lain yang boleh digunakan ialah panel break untuk menghentikan muzik, panel ultra-pitch dan fine pitch bagi memudahkan kerja adunan dan pemadanan bunyi dilakukan dengan tepat.


PERALATAN asas yang menjadi instrumen DJ untuk menghiburkan penggemar muzik.


Apakah turntable?, Nas-T menjelaskan ia merupakan evolusi instrumen gramofon yang membolehkan seseorang memutar rekod piring hitam yang dilengkapi teknologi terkini agar dapat digunakan oleh DJ-DJ.

Selain turntable, Nas-T menambah, mesin mixer Vestax PMC-07 turut digunakan untuk mengawal rentak, bunyi dan lagu-lagu yang diputarkan apabila mengadakan persembahan ataupun berlatih secara sendirian.

“Kalau melihat persembahan, penonton akan melihat fon kepala tidak berenggang daripada DJ kerana ia dapat membantu mereka memastikan kesinambungan lagu dapat dilakukan dengan sempurna.

“Teknologi pada hari ini semakin berkembang dan terdapat Pioneer CDJ-800 yang memudahkan menyimpan rekod-rekod lagu dalam mesin berkenaan serta tidak perlu membawa rekod piring hitam yang banyak apabila melakukan persembahan,” kata pelakon siri drama Blogger Boy itu.

Dalam pada itu, Ceza Mutyara, 27, atau DJ Cza berkata, penggemar muzik yang ingin menjadi seorang DJ perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM6,000 untuk membeli peralatan asas.

“Adalah lebih baik jika mereka dapat membeli peralatan sendiri kerana dapat melakukan latihan dan mempelajari teknik-teknik terkini dengan baik,” katanya.


TURNTABLE jenama Vestax PDX-2000MKII dan mesin Vestax PMC-07 merupakan antara peralatan asas untuk menjadi DJ.


Sementara itu, Pengarah Akademi DJ Mixology, Farzwa Emir, 33, atau lebih dikenali sebagai DJ Fuzz berkata, seseorang boleh bermain turntable dengan baik dalam tempoh tiga bulan asalkan ada asas dan minat yang mendalam terhadap bidang ini.

“Di Malaysia, fenomena turntable mula berkembang pada akhir 1980-an dan sejak kebelakangan ini ia semakin dikenali dan diminati penggemar muzik tempatan.

“Kalau dilihat ada beberapa cabang DJ yang memainkan turntable ini mengikut minat masing-masing seperti ke arah genre muzik hip-hop ataupun elektro,” ujarnya.

Fuzz menambah, antara teknik yang boleh dipraktikkan oleh peminat turntable ialah baby scratch, iaitu kaedah menggerakkan tangan ke depan dan belakang dalam gerakan selari menghasilkan bunyi wiggy-wiggy.

“Rentak juggling iaitu teknik mengadun semula lagu secara live dengan memainkan versi instrumental pada satu turntable sambil memainkan lagu yang sama pada satu lagi turntable. Breakbeats pula merupakan rentak digunakan sebagai asas perkusi untuk lagu hip-hop.


SALAH seorang pelajar di Akademi DJ Mixology menunjukkan bakatnya bermain turntable.


“Chirp Scratch adalah bunyi seperti kicauan burung, atau versi baby scratch yang lebih cepat tetapi lebih panjang dengan menarik rekod ke belakang untuk menghasilkan bunyi. Selain itu terdapat banyak lagi teknik-teknik menarik yang boleh dipelajari olrh penggemar turntable ini,” ujarnya.

Tambah Fuzz, seseorang yang ingin menjadi DJ berkebolehan perlu melakukan latihan berterusan untuk mendalami lebih banyak teknik. Dalam komuniti di Malaysia penggiat turntable ini dikenali sebagai Kelab DJ atau Battle DJ.

Katanya, sebagai seorang DJ mereka boleh menjadi pemuzik latar untuk artis-artis terkemuka dan bertindak secara bersendirian mengadakan persembahan mengawal penonton berhibur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: