MICHAEL Jackson dan gambus? Kedengaran agak janggal, tetapi tiada yang mustahil bagi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dalam merealisasikannya.
Pertama kali menyaksikan persembahan OTM pada konsert pelancaran orkestra tersebut 5 Februari lalu di Panggung Sari, Istana Budaya cukup membuka mata.
Siapa sangka, orkestra yang dianggotai seramai 86 pemuzik itu mampu mempersembahkan lagu-lagu terkini menggunakan peralatan muzik yang lazimnya hanya mengiringi persembahan bersifat kebudayaan dan klasik.
Tiada gesekan biola, gitar, drum dan alat muzik moden yang lain. Sebaliknya pada persembahan julung kali itu, ia digantikan dengan gambus, kompang, erhu, sitar dan pelbagai alat muzik tradisional lain yang ada di antaranya mungkin tidak ramai yang mengetahui namanya.
Mempersembahkan lagu-lagu seperti Gadis Melayu, Pattu Padava, Babola, Moon Song, Kehebatan Cinta, Seri Mersing, The Phantom Of The Opera, medley lagu Michael Jackson, lagu-lagu ASEAN seperti Sebai sebai, Adai adai, Di Tanjung Katong, Begawan Solo, Dahil Sayo serta Puteri Santubong dan Gunung Kinabalu membuktikan kehebatan orkestra yang diketuai oleh konduktor orkestra, Mohd. Yazid Zakaria.
Yazid yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang muzik cukup gembira apabila orkestra tradisional yang dibayangkan hanya dalam minda sejak beberapa tahun itu menjadi realiti apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberi sokongan yang padu dalam usaha memartabatkan muzik tradisional Malaysia.
Menurutnya, perjalanan untuk menubuhkan sebuah orkestra tradisional bukan satu perkara yang mudah. Semuanya bermula apabila pihak kementerian membuat kajian muzik di Korea Selatan yang mana negara tersebut cukup terkenal dengan orkestra tradisional mereka.
Menggunakan konsep yang serupa, perkara itu dibawa ke Malaysia dengan harapan memperkenalkan muzik tradisional kepada rakyat Malaysia sendiri sebelum mengharumkan orkestra tersebut ke peringkat antarabangsa.
|
|
"Jika tidak mahu alat muzik tradisional pupus dan menimbulkan minat generasi muda, inilah cara yang terbaik. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.
"Bila kanak-kanak dan remaja kenal alat muzik dan tahu cara untuk memainkannya ia akan menimbulkan keseronokan yang akhirnya memelihara alat muzik tradisional dari hilang ditelan zaman," ujar Yazid.
Katanya lagi, untuk merakyatkan muzik tradisional bukan satu perkara yang mustahil jika perkara tersebut mendapat sokongan daripada semua pihak dan kerajaan.
Caranya cukup mudah, harus diperkenalkan pada peringkat sekolah dan universiti.
"Kita boleh jalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dan universiti. Setakat ini sudah ada beberapa universiti yang berminat untuk bekerjasama.
"Selain itu, OTM akan mengadakan siri jelajah ke seluruh Malaysia dan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan. Jika kita bawa orkestra ini ke luar negara saya amat pasti, OTM akan mendapat sambutan yang hangat kerana orang luar amat menghargai muzik seperti ini.
"Tetapi sebelum memartabatkan muzik tradisional di luar, perkara pertama yang perlu dijayakan ialah memperkenalkan muzik tradisional Malaysia kepada rakyat Malaysia sendiri.
"Tiada gunanya OTM dikenali di luar negara tetapi tidak di negara sendiri," ujarnya yang menjelaskan muzik tradisional bukan muzik kelas kedua tetapi itulah yang difikirkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
Hanyut
Meskipun mendapat sokongan padu kerajaan, hakikatnya bukan mudah untuk menyatukan kesemua alat muzik tradisional Malaysia dalam satu orkestra dan memastikannya mengeluarkan melodi yang indah.
Kajian dan penelitian harus dilakukan sebelum memutuskan satu-satu alat muzik itu sesuai untuk digabungkan bersama alat muzik tradisional yang lain.
Dalam orkestra, ia terbahagi kepada lima kumpulan atau seksyen. Pertama, alat bertali yang digesek, seperti erhu dan gaohu. Kedua, alat bertali yang dipetik seperti gambus, sitar, pipa dan sape. Ketiga, alat bergong seperti gamelan dan caklempong. Keempat, alat bertiup antaranya, seruling dan serunai. Kelima adalah alat perkusi seperti geduk.
"Pemilihan alat muzik berdasarkan seksyen adalah melalui perhatian saya dan perbincangan bersama ahli orkestra OTM sendiri.
"Setiap pemuzik yang bersama OTM telah di ujibakat terlebih dahulu sebelum mereka layak berada dalam orkestra ini," ungkapnya tentang kualiti yang dibentuk dalam OTM.
Bercerita lanjut tentang OTM yang mula ditubuhkan hampir dua tahun yang lalu, Yazid memberitahu gubahan lagu untuk OTM juga amat berbeza dari orkestra biasa.
"Sebenarnya untuk membuat gubahan lagu, kebanyakannya dibuat melalui kajian. Orkestra seperti ini merupakan yang pertama di Malaysia, jadi kami masih tidak tahu karakter sesebuah alat muzik. Kajian yang dibuat tidak lama sangat, hanya dalam masa setahun.
"Kami banyak buat gubahan lagu yang dirasakan sesuai dengan OTM. Tetapi kami masih belum berada di tahap yang dikatakan selesa dan sempurna kerana kami masih mencuba mencari yang terbaik," luahnya.
Uniknya OTM, menggabungkan hampir kesemua alat muzik pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia dan dimainkan oleh pemuzik yang juga terdiri daripada pelbagai kaum serta etnik.
Boleh dikatakan OTM mengumpulkan semangat 1Malaysia yang sebenar.
"Buat permulaan, peralatan muzik tradisional sesuatu kaum masih dimainkan oleh kaum itu sendiri seperti kompang dimainkan oleh orang Melayu, sitar oleh orang India dan erhu oleh orang Cina.
"Saya ingin sangat lihat alat-alat muzik tradisional sesuatu kaum turut dimainkan oleh kaum dan etnik yang lain.
"Dalam erti kata lain, kompang dan gambus dimain oleh orang Cina atau India dan begitu sebaliknya. Perkara ini masih dalam proses sebab itu kerajaan mewujudkan OTM," katanya yang berharap dapat membawa OTM ke serata dunia.
Luar negara
|
|
Rais yang ditemui pada majlis pelancaran tersebut juga amat kagum dengan muzik yang dimain oleh OTM.
Menurutnya, OTM merupakan satu tanda aras dalam perkembangan muzik tradisional di Malaysia yang selama ini dipandang sebelah mata oleh rakyat Malaysia sendiri.
"Jika kita tidak buat sesuatu daripada sekarang, berkemungkinan besar 10 atau 20 tahun akan datang, generasi muda tidak tahu apa itu rebana atau gamelan serta alat muzik tradisional yang lain," katanya.
Justeru, langkah yang diambil adalah bagi memperkenalkan muzik tradisional tempatan kepada generasi muda terutamanya yang terlalu hanyut dengan muzik moden.
"OTM baru sahaja ditubuhkan dan untuk jangka panjang kita akan mencari bakat dari sekolah-sekolah dan universiti untuk diterapkan dalam OTM.
"Melalui cara itu, selain memperkenalkan alat muzik tradisional, kita juga akan memperkembangkan lagi muzik tradisional.
"Selama ini, kebanyakan orang ingat alat muzik tradisional hanya boleh dimainkan untuk lagu-lagu tradisional dan pada mereka itu adalah satu perkara yang membosankan.
"Namun, apabila alat muzik tradisional juga boleh digunakan untuk menggubah dan memainkan lagu-lagu terkini, ia sudah menjadi satu hal yang sangat menarik," jelasnya.
Bagaimanapun, ulas Rais, pihak kementerian belum ada perancangan untuk membawa OTM ke luar negara buat masa terdekat kerana baginya OTM harus menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya di Malaysia terlebih dahulu sebelum melangkah ke luar negara.
"Saya ingin lihat lebih ramai rakyat Malaysia kenal apa itu alat muzik tradisional dan menghargai muzik yang dibawa OTM sebelum dinikmati serta dihargai oleh orang luar. Lebih baik dahulukan rakyat kerana ini budaya kita sendiri," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: