Sunday, March 28, 2010

Cinta mati Bard R1




DENGAN munculnya album kedua yang mempertaruhkan lagu Cinta Mati sebagai single pertama, Bard R1 atau nama sebenarnya Badrul Hisham Ramli, 37, membuktikan dia bukanlah artis satu album sahaja.

Kesungguhannya memasuki proses album kedua menunjukkan dia mahu mempertaruhkan bakatnya.

"Kali ini saya mengambil Edrie Hashim sebagai produser bersama. Dia memahami apa yang saya mahukan malah menyumbangkan beberapa buah lagu," ujarnya yang turut menulis lagu untuk albumnya itu.

Mencari kelainan melalui bunyi, Bard bertindak menggunakan khidmat pemuzik Indonesia termasuk untuk proses rakaman dan penyusunan beberapa buah lagu.

"Setakat ini respons terhadap lagu-lagu saya amat baik. Bahkan ada yang menyatakan lagu-lagu saya ada kelainan dan kena dengan pasaran," sambungnya yang menduda tahun ini.

"Cinta Mati merupakan single pertama saya yang menunjukkan cinta saya terhadap bidang muzik tidak pernah pudar.

"Saya juga akan terus berjuang. Kalau dulu radio susah untuk memutarkan lagu-lagu saya tetapi untuk album terbaru ini mereka telah memainkannya," katanya.

Kelainan kali ini juga terletak pada peralihan genre muzik pilihan Bard. Metal bukan lagi taruhan sebaliknya Bard memilih genre berentak moden rock untuk album keduanya ini.

Bernaung di bawah pengurusan Koperasi Artis Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Bard mula merasakan perjalanan karier dan promosi bakatnya berjalan lancar.

Mengambil masa empat tahun untuk mengeluarkan produk kedua, Bard menjelaskan faktor mendapatkan material yang sesuai menjadi sebab kelewatan tersebut.

Di hati terdalam dia mengharapkan lagu-lagu seperti Cinta Mati, Terpikat, Bahtera Angan dan Kau Matahari dapat meresap ke dalam jiwa pendengar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: