Wednesday, March 17, 2010

Ceria dengan gaya versatil


Elegan dengan dres biru paras lutut oleh Coast untuk ke majlis makan malam.


VERSATIL dan ceria - dua elemen yang cuba ditonjolkan melalui himpunan terkini daripada Coast, satu lagi label fesyen yang mula mendapat tempat di kalangan wanita yang mementingkan gaya serta penampilan.

Label himpunan pakaian bermusim yang terkemuka dari United Kingdom (UK) ini, sentiasa mengetengahkan rekaan bagi wanita moden yang mengidamkan kesempurnaan.

Koleksi musim bunga 2010 Coast menawarkan rekaan terbaru yang memberikan penampilan anggun dengan gaya eksklusif dari hujung rambut hingga ke hujung kaki biarpun untuk ke majlis santai.

Secara keseluruhan, rekaan Coast berinspirasikan kebebasan pergerakan dengan ekspresi warna-warna yang membangkitkan personaliti si pemakai.

Kebanyakan pilihan pakaian didatangkan dalam warna kelabu, hitam, biru, hijau kekuningan dan merah hati.

Warna-warna gelap ini merupakan trend semasa bukan saja di Coast, bahkan pilihan pereka-pereka khas di UK.

Menyasarkan kepada semua wanita pelbagai usia, pakaian direka sama ada untuk malam atau siang, rasmi atau tidak rasmi dan digemari oleh wanita yang mementingkan kepelbagaian gaya.

Pemilihan fabrik termasuklah sutera, sutera krep, benang kapas, linen, sutera georgette dan sifon.

Wanita metropolitan memang meminati gaya wanita retro yang tampil sederhana tetapi menawan.

Justeru, adunan rekaan kontemporari dan urban menjadikan si pemakai kelihatan manis dengan gaya yang meyakinkan.

Label British yang mula melebarkan sayap di Malaysia melalui gedung membeli-belah Robinson, di The Garden Midvalley, Kuala Lumpur ini, memberikan penekanan yang serius terhadap gaya dan kemewahan.

Sebagai antara label yang laris sejak tahun 1996, jenama ini memenangi pelbagai anugerah fesyen berprestij selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam pada itu himpunan Jessica - satu lagi label yang mewarnai bahagian pakaian wanita di Robinson turut menawarkan rekaan terbaru yang membuatkan si pemakai kelihatan lebih anggun dan bergaya.

Menariknya, kesemua koleksi diperbuat daripada fabrik berkualiti tinggi termasuk bahan semula jadi sehingga ke fabrik ciptaan teknologi terkini bagi menghasilkan rekaan yang baru dan segar.

Mengetengahkan warna hitam, emas dan perak, himpunan terbaru Jessica ini menyerlahkan kewanitaan si pemakai.

Apa sahaja gaya yang cuba dipadankan dengan koleksi terbaru ini, sentuhan jenama terkemuka ini pasti mampu memenuhi cita rasa.

Koleksi terbaru ini sesuai untuk wanita moden yang memiliki segalanya dan hidup serba eksklusif serta sentiasa inginkan penampilan terbaik.

Kebanyakan rekaan mengetengahkan potongan gaun pendek tanpa lengan yang dipadan bersama seluar kasual.

Warna eksklusif ini turut melambangkan gaya hidup wanita yang mementingkan prestij dan stailo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: