![]() |
| PEMBAHARUAN gaya baju pengantin lelaki yang dipadankan dengan kot moden. Pengantin wanita pula tampil ayu gabungan fabrik moden. |
TAMPIL cantik, sopan dan kemas merupakan impian setiap pasangan pengantin. Ada yang inginkan sesuatu istimewa untuk majlis ijab kabul, resepsi dan persandingan. Tidak ketinggalan juga ingin memilih konsep moden seperti mengenakan gaun putih atau memakai kot. Namun, ada yang lebih selesa dengan songket atau sutera yang biasanya dijadikan pakaian tradisional sama ada oleh masyarakat keturunan Melayu, Cina atau India.
Sempena cuti persekolahan yang bermula minggu ini tentu banyak undangan majlis perkahwinan menanti anda. Bagi bakal pengantin yang belum ada tema pakaian perkahwinan, minggu ini Mingguan Malaysia memberi sedikit panduan. Sambil mencari idea di majlis perkahwinan orang lain, tatapan ini mungkin membantu anda.
Rumah pengantin, Ziana D Muar memberi beberapa panduan untuk mereka yang ingin memilih busana berkonsepkan kontemporari iaitu nilai tradisional dan moden.
Penggunaan beberapa jenis fabrik seperti renda, sutera shantung, satin dan sifon sutera India kebiasaannya menjadi pilihan pakaian berkonsep kontemporari. Setiap fabrik pula punya fungsi yang tersendiri, misalnya kain sifon yang lembut sifatnya cukup sesuai untuk menghasilkan rekaan berjurai di bahagian tangan khususnya di hujung lengan. Sekiranya rona pakaian untuk majlis nikah masih tertumpu kepada putih dan kuning lembut, pemilihan warna untuk majlis bersanding dan bertandang pula berbeza. Ramai yang menggemari warna berunsur kelembutan dan tidak ketinggalan warna warna keemasan serta merah jambu. Memenuhi gaya semasa, pengantin lelaki boleh menggayakan baju Melayu dipadan dengan kot moden atau songket. Selain bertudung, wanita juga boleh membuat rambut sanggul supaya lebih kemas dan cantik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: