Friday, March 19, 2010

Bapa konstabel maut nahas terima RM63,234.29

KUALA LUMPUR: “Kami tidak tahu pun arwah ambil insurans. Oleh itu, dengan duit ini, kami akan tunaikan haji untuk arwah dan melangsaikan semua hutangnya,” kata Rasdi Abdul Hamid, bapa Allahyarham Konstabel Mohd Zulfikri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Tapah, Perak, tahun lalu.

TERIMA...Rasdi dan Naimah bersama cek yang diterima, semalam.
TERIMA...Rasdi dan Naimah bersama cek yang diterima, semalam.
Rasdi, 52, hadir menerima cek RM63,234.39 tuntutan pelan Ikhlas Savings Takaful daripada Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Takaful Ikhlas, Wan Mohd Fadzlullah Wan Abdullah di sini, semalam. Hadir sama, penghidap barah payudara, Naimah Abdul Satar yang menerima cek RM81,106.12 tuntutan pelan Ikhlas Wanita Takaful. Mengimbas kembali detik kejadian, Rasdi berkata, arwah anaknya yang bertugas di Pahang pulang menemui keluarga di kampung di Kuala Nerang, Alor Star, Kedah, sebelum dihantar untuk tugasan ke Timur Leste.


“Namun, tidak sempat menunaikan tanggungjawab ke Timur Leste, dia yang dalam perjalanan pulang ke Pahang ditimpa kemalangan dan maut selepas koma hampir seminggu di hospital,” katanya.


Katanya, arwah yang berusia 22 tahun baru dua tahun bekerja sebagai anggota polis dan anak ketiga daripada lima beradik.


“Saya tidak sangka arwah mempunyai pelan perlindungan berkenaan sehingga menemui buku milik arwah mengandungi senarai kewangan peribadi. Dari situ saya mengetahui arwah mempunyai pelan ini dan terus menghubungi Takaful Ikhlas.


“Ini duit dia (arwah) dan kami akan menggunakannya untuk perkara baik supaya rohnya dicucuri rahmat. Arwah anak yang sering membantu keluarga. Oleh itu, duit ini akan digunakan untuk menampung kehidupan harian dan pembelajaran adik-adiknya,” katanya.


Naimah pula berkata, dia yang mula menyertai pelan berkenaan selepas mendapati sahabatnya menderita kanser payudara tidak menyangka kini penyakit ‘pembunuh’ itu menimpa dirinya. “Mujur saya menyertai pelan ini awal, dua tahun sebelum doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara. Dengan wang ini, sedikit sebanyak dapat menampung kos perubatan yang sememangnya amat tinggi,” katanya. Sementara itu, Wan Mohd Fadzlullah berkata, tindakan Allahyarham dan Naimah menyertai pelan berkenaan memberi manfaat untuk membolehkan kedua-duanya menerima faedah tuntutan pelan perlindungan kewangan berkenaan. “Dengan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dan diri sendiri. Pelan kewangan seumpama ini mampu meringankan beban kewangan diri serta keluarga sekiranya ditimpa musibah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: