Sunday, March 28, 2010

Antara tranformasi dan keliru


WAJAH penuh karektor Amy menggambarkan kekesalan atas segala kealpaannya selama ini.


DI awal pembabitan dia tercari-cari arah. Insan seni yang satu ini tercari-cari haluan hidup.Sayangnya dalam perjalanan itu dia masih belum bertemu haluan itu dan tidak tahu ke mana hendak melangkah. Tetapi syukurlah sebelum nafas terhenti, Tuhan membuka pintu hatinya untuk menjadikan dia Amy yang baru hari ini.

Itulah gambaran mengenai kisah hidup Suhaimi Abdul Rahman,52, atau Amy yang diceritakan dalam konsert Suatu Masa... Amy.

Konsert yang berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari bermula Jumaat lalu adalah satu transformasi hidup Amy yang sebenar.

Amy cuba membawa penonton mengimbas zaman lampau iaitu zaman permulaan kerjayanya sebagai penyanyi.

Rockers unggul negara itu turut menonjolkan kehidupan sosialnya bermula apabila segmen pembukaan yang menyaksikan kemunculannya dengan imej berambut panjang tercari-cari arah dan haluan hidup.

Tetapi ketika di pertengahan jalan Amy berjaya membangkitkan keinsafan diri apabila hidupnya yang kosong selama ini kembali diisi dengan kerohanian.

Realitinya kehidupan itu adalah satu frasa baru atau transformasi hidup yang berjaya dilakukan Amy.

Suatu Masa... Amy berbeza dengan konsert penyanyi itu sebelum ini. Mungkin ada penonton yang mengharapkan untuk goyang kepala seperti dalam konsert-konsert rocknya tetapi persembahan di Istana Budaya yang akan berkahir pada malam ini cukup berbeza.

Tiada aksi-aksi terlebih rancak ditonjolkan sebaliknya sebuah persembahan yang disampaikan dalam bentuk narator dari zamannya dalam bidang nyanyian sehinggalah kepada transformasi hidup yang lebih terarah kepada kerohanian.

Menyanyikan kira-kira 20 buah lagu, Amy tampil dengan lagu daripada album solonya serta lagu-lagu ketuhanan yang pernah dipopularkan oleh M.Nasir antaranya Kepadamu Kekasih dan Suatu Masa.

Ia turut diselitkan dengan empat buah lagu secara medley iaitu Kongkang, Kepala Sotong, Apa Saja dan Melankolik. Malah gabungan lagu India turut diterjemahkan menerusi Gita Ramasita dan Ishq Ka Bana.

Amy... Suatu Masa turut membawa penonton menghayati elemen dakwah melalui muzik yang menuntut orang ramai agar kembali ke pangkal jalan.

Kita dapat melihat bagaimana jujurnya seorang bernama Amy untuk mengajak peminat-peminat berubah kearah kebaikan. Dan itulah juga sebenarnya tujuan konsert ini yang harus dihayati.

"Ini adalah sebahagian daripada dakwah saya," katanya.

Bagi Amy kemunculannya dalam persembahan tersebut merupakan satu sejarah selepas 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni kerana buat pertama kalinya dia melakukan satu persembahan dengan konsep berbeza.

Kata Amy, konsert berkenaan adalah 'kerja gila' beliau yang tidak pernah difikirkan malah turut menganggap persembahannya itu amat mencabar apabila ia dituntut untuk muncul dengan pelbagai karektor.

Penyanyi ini mengakui hatinya berdebar dan kadang-kala fikirannya hampir bercelaru memikirkan benarkan dia yang membuat persembahan itu?

"Saya tertanya-tanya adakah saya layak untuk berada di pentas yang bertaraf dunia? Adakah saya cukup hebat untuk membuat persembahan berkenaan?" soalnya.

Penyanyi ini melihat persembahannya adalah satu medan perjuangan baru yang menuntut untuk dia melakukan perubahan kearah tujuan yang lebih murni iaitu berdakwah melalui muzik.

Apa kata Ogy?

Pelakon Fauziah Ahmad Daud atau Ogy melihat Amy telah melalui tiga era kehidupan berbeza iaitu hitam, kelabu dan putih.

Ogy juga melihat Amy berada dalam keadaan keliru di pertengahan hidup dan ia digambarkan menerusi persembahan berkenaan.

Katanya bukan mudah untuk menterjemahkan kehidupan Amy dalam bentuk persembahan kerana monolog yang dihasilkan hendaklah benar-benar mampu memberi kesan dan keinsafan dalam diri penonton.

"Saya mahu orang melihat setiap ruang hidup seseorang itu adalah sebuah perjalanan seorang hamba Allah.

"Bila Amy lahirkan keinginannya untuk persembahan ini, saya lihat ia bukan mudah untuk diterjemahkan dalam masa dua jam. Sebab itulah saya begitu tegas ketika sesi latihan dengannya agar apa yang dirancang mendapat penghasilan yang terbaik," katanya.

Konsert Satu Masa... Amy dijayakan dengan iringan muzik oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.

Ia turut mendapat kerjasama Kumpulan Utusan sebagai akhbar rasmi sementara Sinar FM sebagai radio rasmi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: