Sunday, March 7, 2010

Anis membesar di dapur




LEBIH mesra disapa Anis, pemegang Diploma Professional Chef in Culinary Arts dari Food Institute of Malaysia ini memang suka masak dan suka makan. Itulah sebabnya, Anis Nabilah Umaruddin melanjutkan pengajian dalam bidang masak-memasak.

"Saya memang minat sejak kecil lagi. Ibu dan tujuh lagi adik-beradik perempuan saya pandai masak. Setiap hari ada saja makanan sedap yang ibu sediakan. Pengaruh kuat daripada ibu, minat kepada memasak datang dengan sendiri. Saya seperti membesar di dapur kerana setiap kali ada masa lapang, saya pasti mencuba apa sahaja untuk memasak," katanya yang meminati masak lemak dari Negeri Sembilan.

Menurut wanita berusia 24 tahun ini, wanita kini tidak perlu menganggap memasak sesuatu yang remeh dan menyusahkan. Baginya, setiap wanita perlu tahu memasak.

"Misalnya, saya sendiri mencuba pelbagai resipi baru setiap hari sehingga mendapat rasa yang sebaik mungkin. Namun, saya lebih suka memakan masakan orang lain daripada makanan yang saya masak sendiri. Saya cuba ketengahkan pelbagai resipi mudah sama ada moden atau tradisional untuk mencipta sajian gabungan resipi negara berbeza," ujarnya yang gemar menjaga kecantikan diri termasuk bersolek.

Dalam pada itu, Anis minat pada wangian manis, segar dan tahan lama seperti One Drop Perfumes.

Icip-icip yang disiarkan di saluran Astro, 703 bermula 25 Februari lalu memberi idea kepada penonton dalam menyediakan hidangan secara cepat, mudah dan ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: