Friday, September 11, 2009

Tipulah kalau tak sunyi


DARI (kiri) Yasmin Haron dan Airis Yasmin.

Airis Yasmin tunggu Mr Right, Yasmin Haron pula elak bicara soal jejaka

MEREKA memang jelita tetapi kejelitaan itu tidak menjamin jodoh mereka dengan pasangan masing-masing kekal sehingga ke akhir hayat. Lalu dalam usia yang masih muda mereka sudah pun bergelar janda.

Rasa sepi seorang wanita yang menggalas gelaran ibu tunggal tidak perlulah dicerita. Tetapi Yasmin Haron dan Yasmin Md Isa yang kini menggunakan nama komersial Airis Yasmin, mereka tetap positif menjalani kehidupan bersama anak tunggal masing-masing.

Malah kisah pahit, suka dan duka melayari kehidupan harian tidak sesekali dijadikan alasan untuk menoktahkan perjalanan hidup, bahkan ia menjadi pengalaman terbaik mematangkan diri.

Bagi Airis yang sudah lapan tahun memegang gelaran ibu tunggal, perasaan sunyi itu ada kalanya mencengkam jiwa. Malah ibu kepada Salma Nurdiana, 9, ini pernah mengusik anaknya sama ada sudah bersedia untuk menerima bapa baru.

“Tipulah kalau saya cakap tidak sunyi tanpa lelaki bergelar suami. Kalau orang lain menikmati Ramadan dan bermaafan sesama suami isteri di pagi raya, saya pula harus menerima hakikat untuk tidak lagi merasai pengalaman itu. Paling terjejas dengan apa yang terjadi pastinya anak.



“Tetapi saya bersyukur bekas suami masih tidak lupa tanggungjawab dan tak pernah lupa mengucapkan Selamat Hari Raya kepada anak. Kami juga bergilir-gilir beraya dengannya di kampung masing-masing. Sejak usia lima tahun, saya ajar anak berpuasa dan alhamdulillah dia tidak pernah tinggal puasa.

“Anak saya sebenarnya pernah cuba untuk menyatukan kami kembali. Tapi saya jelaskan kepadanya bahawa sudah tiada lagi jodoh antara kami. Malah, saya pernah berseloroh kepadanya untuk berkahwin lagi. Tapi hingga kini, saya masih kosong tanpa pengganti,” katanya.

Tambah Airis, jika suatu hari nanti, dia dipertemukan dengan calon suami yang sesuai, nescaya dia akan terbuka hati untuk memilih jalan akhir menamatkan status yang dipegangnya.

“Mungkin masa itu perasaan nak kahwin sudah terbit. Anak saya pun suruh saya kahwin cepat cuma calon belum ada. Setakat kawan rapat itu adalah, tapi saya belum nampak hubungan itu akan berakhir dengan sebuah ikatan yang suci. Semuanya berbalik kepada jodoh,” katanya lagi yang akan beraya di Kampung Melayu, Ampang.

Masih meneruskan bidang lakonan yang diceburinya sejak tiga tahun lalu, Airis yang pernah muncul sebagai cameo di dalam filem Bollywood, Don, turut menguruskan perniagaan dan memikul tanggung jawab sebagai pengarah urusan Fine Beauty Sdn Bhd bersama rakan kongsi.

“Saya bersyukur jadual seni dan perniagaan saya tidak bercanggah kerana pihak Aquila Emas membuatkan semua jadi teratur. Sudah setahun lebih saya diuruskan Aquila Emas dan saya berpuas hati dengan apa yang ditawarkan,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem, Memintas Seribu Bulan, Coklat Riben Biru, Berikan Aku Kasih dan Aku Yang Aku Cari.

'Bos Arab pernah ajak kahwin'

SEMENTARA itu, Yasmin pula berkata pertemuannya dengan Airis seperti siri Jejak Kasih selepas sudah lama tidak bersua muka. Mereka pernah berlakon sama tetapi tidak ingat judul drama terbabit.

Pertemuan di rakaman Melodi Raya digunakan untuk bertukar nombor telefon kerana selepas balik dari Dubai dan menukar telefon bimbit baru, kebanyakan nombor telefon kenalan lama hilang begitu saja.

Pemergian Yasmin ke sana sejak hujung 2007 hingga Jun lalu kerana ditawarkan tugas sebagai pembantu peribadi kepada pengerusi syarikat Midein.

“Syarikat ini mempunyai cabang kerja yang banyak termasuklah dalam bidang pembuatan dan pemasaran. Malah sepanjang berada di sana, saya juga menempatkan anak saya, Mohamad Arif (tujuh tahun) di sekolah swasta. Sepanjang berada di sana, pengalaman yang tak boleh saya lupakan apabila bos saya nak ajak kahwin.

“Tak saya nafikan, bos saya antara lelaki Arab yang mempunyai wajah kacak. Tapi saya terpaksa menolak secara baik kerana saya dapat tahu dia sudah beristeri dua. Itu antara dugaan terbesar yang saya harus hadapi apatah lagi terpaksa berdepan dengannya setiap hari,” kata Yasmin yang sudah tiga tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Sekembalinya ke Malaysia, pelakon Misi XX-Ray 2 ini mula rindu untuk kembali berlakon. Sebagai permulaan, Yasmin sudah berjinak-jinak dalam dunia komersial dan ke sesi uji bakat berlakon iklan. Saat ditanya mengenai kisah peribadinya pula, Yasmin cuba mengalih topik terbabit dengan bercerita mengenai anak kesayangannya.

“Hubungan saya dengan anak memang sangat rapat. Kalau kami keluar jalan, kami akan berpegangan tangan seperti pasangan kekasih. Dia antara sumber kekuatan hidup saya. Dia selalu memberi nasihat bernas yang ada kalanya tidak langsung difikirkan saya yang sudah terlebih dulu makan garam.

“Sebagai contoh, saya pernah berhasrat untuk membeli kereta baru. Tetapi, anak saya cakap daripada membeli kereta baru, lebih baik gunakan duit itu untuk membeli benda yang lebih penting. Akhirnya, saya pakai kereta lama saja. Malah, dia sering mengingatkan saya apa yang dilalui kini adalah ujian yang terus menguatkan kami,” kata Yasmin sambil tersenyum.

INFO: Airis Yasmin, Yasmin Haron

  • Airis pernah bertugas sebagai pembantu peribadi di syarikat Medein,

  • Yasmin Haron pernah bergelar pramugari dan pengacara. Sebelum terbabit dalam dunia penyiaran dan lakonan, Yasmin adalah bekas anak kapal bagi Penerbangan Malaysia (MAS) dan syarikat penerbangan Singapura. Turut ditawarkan menjadi pengacara untuk program Wanita Hari Ini (WHI) dan program Pekan Ke Pekan terbitan Eurofine Sdn Bhd.

  • Airis pernah mencuba bakat watak Saliha dalam filem Aduh Saliha yang masih tersadai lagi pembikinannya.

  • Yasmin Haron pernah membintangi filem Tentang Bulan.

  • Airis akan muncul dengan filem Syy... Dia Datang di sisi pelakon komedi popular, Saiful Apek dan aktor kacak, Aaron Aziz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: