![]() |
| Syanie selepas melakukan pembedahan di Hospital Pakar Damansara, Selangor. |
KEINGINAN untuk hidup itu penting. Lebih-lebih lagi orang ramai sering menganggapnya seorang yang optimis walaupun obesiti. Walaupun ada perasaan malu, pelakon Syaniza Hisham atau lebih dikenali Syanie, 35 cuba menepis sikap itu.
28 September ini, genaplah empat bulan dia menjalani pembedahan. Dalam pada itu, ramai yang salah sangka kerana menganggap dia melakukan pembuangan lemak.
Takutkan komplikasi kesihatan pada masa akan datang, Syanie perlu melakukan pembedahan pintasan perut (gastric bypass) bagi memendekkan usus.
"Tipulah kalau Syanie kata tiada perasaan malu. Kadang-kadang hendak pergi festival filem pun, Syanie sedikit segan. Tetapi memandangkan Syanie sentiasa positif memandangkan Syanie sendiri tidak akan duduk di rumah sahaja. Syanie suka keluar dengan kawan. Sebab Syanie sentiasa ingat, setiap orang perlu ada keinginan hidup," katanya.
Bagi Syanie, sejak di peringkat sekolah lagi, dia akan lakukan perkara yang dia suka selagi dia mampu.
Ceritanya, pernah suatu ketika, dia tahu dia mungkin tidak muat menaiki rollercoaster tetapi dia mencuba juga.
perubahan
Dari segi pemakanan, Syanie mengakui dia mengalami perubahan.
Selera makannya masih sama seperti dulu.
"Selepas tiga bulan, berat badan saya turun kepada 32 kilogram. Tetapi saya masih perlu senaman untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Saya tidak mahu berat badan saya turun secara mendadak. Buat masa sekarang, saya bersyukur kerana pembedahan telah berjaya," katanya yang kini sedang mengenali hati budi seseorang.
Mengimbas keadaan Syanie sebelum dibedah, dia mengakui berat badan yang berlebihan ketika itu menyukarkannya berjalan.
Paling perit, dia tidak boleh berdiri lama dan terpaksa duduk di atas kerusi.
Takut berhadapan dengan komplikasi sakit jantung, Syanie yang sering semput berasa perlu melakukan pembedahan tersebut.
"Bayangkan dulu Syanie tidak boleh membawa kereta. Kini Syanie dapat atasi masalah tersebut. Mudah untuk Syanie bergerak ke mana-mana sahaja. Bukan itu sahaja, Syanie juga mengalami masalah ketika tidur. Ini kerana oksigen tidak sampai ke otak. Dulu Syanie tidak pernah cukup tidur. Kini, Alhamdulillah, saya dapat tidur dengan nyenyak kerana saya lebih mudah tidur. Jadi, saya tidak mengantuk ketika bekerja," ujarnya yang sudah 18 tahun berlakon.
Syanie bersyukur dengan keputusan yang dia ambil dan berharap dapat turunkan berat badan sendiri.
Seminggu menyambut raya, Syanie gembira kerana dapat berehat sepuas-puasnya.
Apatah lagi tahun ini, dia menyambutnya dalam suasana yang berbeza.
"Hanya berbeza dari segi pemakanan. Kalau dulu pergi ke bazar Ramadan, pasti nak makan semua. Tetapi kini semuanya bersederhana. Doktor pun pesan, Syanie akan mengalami perubahan sistem penghadaman selama enam bulan. Tidak semua nasi putih saya boleh makan," katanya yang menggemari nasi dagang yang dibuat oleh nenek sendiri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: