Monday, September 28, 2009

Suka, duka bekerja pada Aidilfitri


EmPaT penyampai astro awani tidak sabar untuk meraikan Syawal bersama keluarga tersayang. Dari kiri, Azean Ishak, Zaiful Mohd Ariffin, Umaira Uyop dan Ahmad Faris Abdul Hamid.

RAMADAN sudah berlabuh. Lalu, menyambut Syawal bersama keluarga dan sanak saudara serta rakan-rakan di kampung halaman pastinya kesempatan yang tidak boleh dilepaskan.

Tapi, tidak semua orang berpeluang untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama orang yang disayangi. Dalam senyum ada juga yang memendam rasa kerana terpaksa bertugas pada hari lebaran. Biarpun di mulut berkata tidak apa, tapi jauh di lubuk hati, pastinya terlintas perasaan kecewa dan sedih juga, tidak banyak, tetapi sedikit.

Antara mereka yang perlu pernah bekerja di Aidilfitri ialah empat personaliti Astro Awani, Zaiful Ariffin, Faris Abdul Hamid, Azean Ishak dan Umaira Uyop. Mereka sudah biasa untuk ‘melupakan’ sementara waktu keseronokan meraikan Aidilfitri di kampung halaman.

Bagi Pengarang Eksekutif Hal Ehwal Semasa, Zaiful Ariffin, sejak mula terbabit dalam kerjaya di bidang penyiaran, memang dia sudah bersiap sedia mengenai kemungkinan untuk diarahkan bertugas pada Aidilfitri.

“Kerjaya seperti ini tidak menentu masa cutinya. Saya reda apabila diminta bertugas di hari raya. Ini sebenarnya memberikan pengalaman tersendiri. Macam manapun, saya bersyukur kerana diberikan cuti hampir seminggu sejak 18 September lalu,” kata Zaiful yang tidak pernah balik kampung di Dungun, Terengganu untuk beraya selama tiga tahun berturut-turut.

Sebelum menyertai Astro Awani, Zaiful pernah menjadi penyampai berita di ntv7. Ketika di ntv7 juga, dia pernah menimba pengalaman dalam bidang penyiaran bersama-sama Wan Kamarudin dan Azlina Awang Had. Dan, sejak menyertai Awani pula, dia beruntung kerana terus memperoleh ilmu daripada Suhaimi Sulainan dan Ali Alimin.

Manakala Ahmad Faris Abdul Hamid pastinya berasa lega dan boleh beraya selepas selesai mengacarakan Awani Pagi. Bagaimanapun, dia hanya beraya di Kuala Lumpur dan beberapa hari selepas itu di Beruas, Perak.

“Setiap tahun saya dan keluarga beraya di Kuala Lumpur. Tahun lalu, saya dapat cuti, tapi tahun ini saya kena kerja. Paling seronok raya dapat menikmati kuih raya kegemaran saya seperti kuih Makmur, tat nenas dan Almond London,” katanya yang turut mempunyai segmen sendiri Pusing Pusing Fariz dan Bikin (Gala TV).

Jejaka kelahiran Kelantan berusia 23 tahun ini memulakan kerjaya di Astro Awani sebagai penolong penerbit program WW. Bermula sebagai seorang yang takut berada di depan kamera, Faris mula membiasakan diri kerana diberi mandat sebagai pengacara.

“Saya lebih suka bekerja di belakang tabir. Saya lebih terarah menghasilkan dokumentari membabitkan Shah Rukh Khan dan Yasmin Ahmad. Dokumentari itu diterbitkan saya sejak zaman belajar lagi,” kata Faris.

Sementara itu, Umaira Uyop, 25 pula berkata, sudah dua kali dia menyambut lebaran sebagai petugas Astro Awani.

“Tahun lalu, saya dapat cuti dua hari saja. Raya kedua sudah bertugas. Selalunya apabila dapat peluang bercuti raya, saya beraya di Pekan dan Temai di Pahang.

“Selepas melawat kubur ahli keluarga, saya berkumpul dengan saudara mara. Bahulu gulung berinti strawberi antara kuih tradisional kegemaran saya,” katanya yang mula bertugas di Astro Awani sejak Julai 2007.

Umaira memulakan kerjaya sebagai pembantu pengarah di bilik kawalan produksi, dan pada Disember tahun lalu, dia dipilih sebagai penyampai dan wartawan Gala TV.

“Saya ini jenis yang susah nak cepat mesra. Namun demi kerja ini, saya sudah mula membiasakan diri menjadi peramah. Komunikasi sosial saya juga semakin meningkat. Saya sukakan muzik berbanding gosip kerana saya tidak suka mengambil tahu hal orang,” kata Umaira.

Penyampai program Temu Janji dan Awani Pagi, Azean Ishak tidak ada masalah sama ada perlu bertugas pada hari raya atau sebaliknya kerana keluarganya menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Disebabkan itulah, wanita berusia 31 tahun ini tidak perlu terkejar-kejar pulang ke kampung halaman. Azean pada mulanya hanya bergelar koordinator jemputan mengundang tetamu untuk program Astro Awani. Pada masa sama, dia melakukan kerja pemasaran dan perhubungan awam. Pelawaan Suhaimi Sulaiman untuk menyertai bidang penyiaran secara langsung mengubah diri anak keempat daripada lima beradik ini.

“Saya tidak ada latar belakang kewartawanan dan penyiaran, tetapi banyak rakan membantu untuk saya membiasakan tugasan mengacara sejak Februari lalu. Selepas menjalani empat hingga lima kali latihan, saya sudah boleh membiasakan diri di depan kamera,” katanya yang turut aktif dalam bidang teater dan tarian.

Profil

  • Nama penuh: Zaiful Mohd Ariffin
  • Tarikh lahir: 22 Disember 1974
  • Tempat lahir: Kuala Lumpur
  • Emel: zaiful_ariffin@astro.com.my.

    Profil
  • Nama penuh: Ahmad Faris Abdul Hamid
  • Tarikh lahir: 2 Julai 1986
  • Tempat lahir: Kelantan
  • Emel: faris_hamid@astro.com.my

    Profil
  • Nama penuh: Umaira Uyop
  • Tarikh lahir: 19 Mei 1984
  • Tempat lahir: Pekan, Pahang
  • Emel: cherrynalien@yahoo.co.uk

    Profil
  • Nama penuh: Azean Ishak
  • Tarikh lahir: 26 Mei 1978
  • Tempat lahir: Kampung Baru
  • Emel: azean_ishak@astro.com.my
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: