SERI KEMBANGAN - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedih melihat sikap pengguna jalan raya di negara ini yang berbeza dengan pemandu di negara lain.
Ketika diminta mengulas mengenai Ops Sikap ke-20 yang mencatatkan angka kematian yang tinggi, beliau berkata: "Saya sudah berjalan di merata dunia tetapi tidak pernah tengok orang bawa kereta laju seperti di Malaysia dan mereka pun bukan cekap sangat tapi seolah-olah tak boleh tunggu, semuanya nak cepat hingga berlaku kemalangan."
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak-pihak yang melanggar undang-undang lalu lintas digantung lesen memandu selama dua atau tiga tahun bagi menyedarkan mereka.
"Saya pergi ke tempat lebih banyak kereta macam Jepun, tetapi mereka pandu perlahan sahaja.
"Saya fikir kita kena tarik balik lesen dua atau tiga tahun," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini semalam.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan supaya pesalah jalan raya dikenakan hukuman khidmat masyarakat seperti menyapu sampah dan menjalani kursus pemanduan berhemah supaya mereka malu dan insaf dengan kecuaian di jalan raya.
"Mungkin kerajaan boleh pertimbangkan, cuba setahun tetapi kalau hendak bagi malu, conteng muka dia dan suruh berdiri tengah jalan tetapi mereka ini di Malaysia tidak malu, mana mereka malu," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: